HOG PJ Breakfast Ride Ke Kodai D’Sawah, Kuala Pilah

  • Harley-Davidson Petaling Jaya telah menganjurkan HOG PJ Breakfast Ride ke Kodai Sarapan D’Sawah di Kuala Pilah semalam.
  • Sekitar 80 orang penunggang ahli kumpulan HOG PJ telah menyertai keraian ini.
  • Destinasi sarapan pagi yang terkenal itu telah dipilih atas sebab makanannya yang hebat dan terletak berdekatan dengan sawah padi yang cantik, dikelilingi latar belakang yang bergunung-ganang.

Bagi kebanyakan penunggang motosikal di Malaysia, pagi Ahad adalah masa yang bertepatan untuk menunggang motosikal mereka bersiar menjelajahi jalan menuju ke destinasi kegemaran masing-masing. Ini termasuklah menikmati sarapan pagi dengan sahabat handai di lokasi yang menarik, dan itulah yang telah dilakukan oleh kumpulan motosikal Harley Owners Group (HOG) Petaling Jaya semalam.

Lebih kurang 80 orang pemilik Harley telah menyertai keraian ini di mana mereka telah berkumpul di Harley-Davidson Petaling Jaya di The Gasket Alley, PJ. Ianya satu pemandangan yang hebat menyaksikan rakan serta taulan bertegur sapa dan beramah mesra sesama mereka sebelum ketua konvoi dan para marsyal menghimpunkan mereka bagi mengadakan taklimat ringkas sebelum permulaan perjalanan.

Selesai taklimat, 80 orang penunggang ini telah bersiap sedia di atas motosikal masing-masing bagi menuju ke destinasi tujuan hari itu, Kodai Sarapan D’Sawah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Laluan Lebuhraya LEKAS telah dipilih atas sebab pemandangannya yang menarik dan jumlah trafik yang rendah bagi memastikan yang kumpulan ini tiba dengan selamat.

Sebaik sahaja tiba di lokasi bersarapan pagi yang tersohor itu, para penunggang telah disambut oleh pemandangan sawah padi yang terbentang, dikelilingi oleh latar belakang pergunungan yang mengagumkan. Tidak hairanlah kedai sarapan pagi ini menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan penunggang motosikal, tetapi juga warga setempat.

Kodai Sarapan D’Sawah ini cukup terkenal kerana sajian sarapan mereka yang lazat seperti nasi lemak, asam laksa, pelbagai jenis roti canai, dan juga pilihan kuih-muih tempatan. Kerana jumlah pengunjung yang ramai pada hari itu, kami hanya dapat merasai sebahagian pilihan yang ada, namun, apa yang lebih penting lagi adalah para penunggang dapat menikmati sarapan yang lazat, bergembira, dan menikmati perjalanan bersama teman-teman HOG PJ mereka.

Konvoi ini juga terbuka untuk bukan ahli kumpulan yang berminat untuk mendaftar diri sebagai ahli kumpulan Harly Owners Group, Petaling Jaya. Tidak kiralah penunggang lama atau pun baharu, HOG PJ mengalu-alukan semua dengan tangan terbuka dan tiada cara yang lebih baik daripada satu tunggangan santai hari Ahad menuju ke destinasi bersarapan pagi popular di luar Lembah Klang.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kumpulan motosikal HOG Petaling Jaya, layarilah laman Facebook rasmi mereka, atau kunjungi bilik pameran Harley-Davidson Petaling Jaya yang terletak di The Gasket Alley.

Pandangan Pertama: Motosikal Cruiser Elektrik Harley-Davidson LiveWire 2019!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply