Tunggang Uji BMW S 1000 RR 2018 – “Mahakarya Jerman”

  • Motosikal BMW S 1000 RR 2018 dianggap sebagai motosikal superbike terhebat keluaran BMW Motorrad.
  • Evolusi terkini ini telah menggondol pelbagai anugerah termasuklah kemenangan di perlumbaan Isle of Man TT.
  • Dilengkapi dengan 199hp dan pakej elektronik terbaru BMW, mana-mana penggemar motosikal ssuperbike sudah pasti akan terpesona dengan mahakarya dari Jerman ini.

Sejujurnya, orang ramai yang memilih untuk membeli, memiliki, dan mengagumi motosikal superbike, mereka melakukannya disebabkan rupa bentuknya yang menggiurkan, prestasi yang menakjubkan, dan lirikan mata orang ramai setiap kali ia diparkir di kawasan awam atau memecut laju di ‘front straight’ di Litar Sepang. Terdapat pelbagai model yang boleh dipilih dalam pasaran Malaysia hari ini, dan salah satu pilihan yang paling popular sudah semestinya motosikal BMW S 1000 RR.

Generasi terbaru ini adalah antara salah sebuah motosikal paling berkuasa dan canggih yang pernah dikeluarkan oleh mana-mana pengeluar di seluruh dunia dan kami telah berpeluang untuk mengujinya bersama dua buah saudaranya, motosikal naked BMW S 1000 R dan BMW S 1000 XR. Apa yang telah kami lakukan apabila kami dapat ketiga-tiga buah motosikal tersebut pada masa yang sama? Kami telah mengembara di atasnya menuju ke Cherating, Pahang.

Pertama sekali, kita sudah sedia maklum yang motosikal BMW S 1000 RR ini dihasilkan untuk memberikan prestasi atas litar yang menakjubkan. Dalam tangan mereka yang berkemahiran, ianya satu senjata yang boleh merangkul kemenangan perlumbaan berturut-turut. Dan dengan penyertaan pengilang tersebut dalam perlumbaan seperti WorldSBK dan Isle of Man TT, model S 1000 RR ini telah berjaya mendapat kumpulan peminat setia yang besar, termasuklah pemenang Malaysia Superbike Championship (MSC) tahun lepas, Muhammad Farid Badrul Hisam, dan juga pasukan HKM Times Bike Racing Team (kini dikenali sebagai TOC HKM Racing Team).

Sumber imej: BMW Motorrad

Berseronok di atas litar hanya melibatkan sebahagian kecil komuniti ini dan kebanyakan daripada pemilik superbike telah meluangkan masa mereka bersama jentera kesayangan mereka di atas jalan raya yang terbentang luas. Kami memutuskan untuk melakukan perkara yang sama dan menguji kehebatan model BMW S 1000 RR ini sebagai jentera tunggangan harian, serta kebolehannya merentasi jarak yang jauh di luar Lembah Klang.

Melihat pada reka bentuk keseluruhannya, ia telah merubah dirinya kepada sebuah jentera yang telah menjadi ikon dalam komuniti permotosikalan. Dengan muka yang terbahagi dan lampu hadapan yang tidak simetri, motosikal S 1000 RR ini dengan mudah dapat dikenali dari jauh mahu pun dekat. Imbangan yang hebat antara garisan yang lancar dan ciri-ciri agresif memperagakan dua kebolehan utamanya; memecut laju di laluan yang lurus pada kelajuan 300km/j dan menangani selekoh sama lancar seperti sesetengah penunggang MotoGP yang terbaik.

Terdapat tiga pilihan warna yang disediakan dan kami telah mendapat jentera dengan kemasan warna Granite Grey Metallic dengan Black Metallic Storm. “Kuda Hitam” ini tampak garang mendaki bukit dan cukup menawan pada waktu malam sewaktu di dalam bandar. Dari segi rupa parasnya, sukar untuk menafikan betapa cantiknya motosikal S 1000 RR ini.

Bagi prestasinya pula, motosikal superbike terhebat BMW Motorrad ini pasti menarik perhatian ramai dengan enjin inline-4, 999cc, yang dilengkapi dengan 16 injap titanium dan DOHC. Mengaum kuat pada 13,500rpm, motosikal S 1000 RR ini menghasilkan sehingga 199hp dan 113Nm tork maksimum pada 10,500rpm. Ianya lebih dari mencukupi untuk mencapai kelajuan tiga kali ganda melebihi had laju lebuh raya.

Digandingkan dengan sistem ekzos ‘dual-flow’ yang unik, motosikal superbike ini mengagihkan tork yang mencukupi pada rpm yang lebih rendah yang membolehkan pemecutan yang amat pantas. Pada masa yang sama, ia mampu mengurangkan tekanan belakang ekzos, yang memberikannya lebih banyak kuasa yang tersedia sewaktu anda memerlukannya. Dari segi kuasa, motosikal S 1000 RR ini tidak lokek dengannya. Saksikan sahaja aksi kejar mengejar yang hebat menggunakan model S 1000 RR ini dalam filem Mission: Impossible – Rogue Nation lakonan Tom Cruise ini!

Kami dapati yang ianya sebuah jentera yang enggan ditunggang secara perlahan. Walaupun lancar dari segi agihan kuasanya, motosikal S 1000 RR ini sering kali seperti mahukan anda untuk memulas pendikitnya dan meluncur laju. Untuk penunggangan atas lebuh raya, motosikal superbike futuristik ini mampu bergerak dengan lancar pada kelajuan 110km/j dan ianya dipermudahkan lagi dengan bantuan kawalan bersiar yang dilengkapkan sebagai standard.

Tersekat dalam kesesakan trafik adalah sesuatu yang kurang digemari oleh S 1000 RR dan anda akan ketahui mengapa dengan segera. Dengan kuasa kudanya yang besar di sebalik kerangka aluminium kompositnya itu, S 1000 RR ini menjana bahang yang banyak dan BMW Motorrad telah melakukan segala yang mungkin bagi memastikan habanya dikawal, termasuklah dengan melengkapinya dengan sistem sejukan udara dan cecair. Bagaimana pun, habanya amat terasa, terutamanya sewaktu anda tersekat dalam trafik pada kelajuan 60km/j dan ke bawah. Nasihat kami? Loloskan diri dari kesesakan tersebut dengan pantas dan tambah kelajuannya (atau, pakai pakaian menunggang yang betul bagi mengelakkan rasa panas membahang di peha kiri anda).

Dari segi kebolehtunggangannya, jentera ini memberi banyak bantuan kepada penunggang, dan pada masa yang sama, amat jitu. Tiga mod tunggangan berbeza membolehkan penunggangan dalam keadaan berbeza dan ianya adalah Rain, Sport, dan Race. Mod tunggangan yang berbeza ini membolehkan modulasi dan kebebasan yang lebih hebat pada kelengkapan elektroniknya seperti tindak balas pendikit, ABS, Automatic Stability Control (ASC), dan Dynamic Traction Control (DTC).

Bagi penunggangan harian, kami lebih suka berada dalam atur cara Rain, di mana ke semuanya ditingkatkan kepada tahap maksimum untuk prestasi yang lebih lancar. Sebaik sahaja kami telah serasi dan biasa dengan tingkah laku S 1000 RR ini, kami mula menguji mod Sport dan Race-nya, dan hasilnya cukup mengujakan sekali.

Sebaik sahaja kami menuju ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT), kami telah melalui selekoh berbukit di Lebuhraya Karak. Permukaan jalannya agak berminyak pada ketika itu, namun, kami masih boleh berseronok menangani selekohnya, di mana ia beraksi dengan baik sekali. Cukup mengagumkan betapa pantasnya ia boleh bangun semula sebaik sahaja kami keluar dari selekoh dan sedia untuk memasuki selekoh yang seterusnya. Kelengkapan elektroniknya melakukan segala tugas beratnya sewaktu kami memacunya melalui jalan raya gunung tersebut sebelum tiba di lebuh raya yang terbentang luas.

Walaupun keadaan jalan raya tidaklah begitu sempurna, motosikal ini secara asasnya telah berjaya membawa kami ke bahagian ini tanpa sebarang isu atau masalah. Mengerjakan quickshifter dwi-arahnya yang bergelar Pro Shift Assistant juga membuatkan kami tersenyum gembira. Kami telah melalui perjalanan yang panjang ke Cherating dan pulang semula dan tidak sekali pun motosikal tersebut memberikan sebarang masalah mengenai pertukaran gearnya. Cukup seronok sekali.

Sepantas mana BMW S 1000 RR ini mampu bergerak, sepantas itu juga ia mampu berhenti. Ini adalah atas jasa pakej brek Brembo yang canggihnya itu, terdiri daripada dwi cakera brek hadapan 320mm dengan angkup 4 omboh, beserta dengan cakera brek belakang 220mm yang dikerjakan bersama angkup satu omboh. Ke semua ini adalah bagi memberikannya kawalan penuh untuk daya hentinya.

Dengan tangki penuh sebesar 17.5 liter, berat motosikal ini berada di sekitar 208kg, namun, menunggangnya terasa seperti menunggang sebuah motosikal ringan disebabkan teknologi binaan motosikal ini. Penggunaan bahanapi adalah sesuatu yang sukar untuk dianggarkan, namun, BMW Motorrad telah menyatakan yang ia mempunyai kemampuan untuk meliputi jarak kira-kira 260km untuk satu tangki penuh (6.7 liter/100km). Kami terlalu teruja memutar pendikitnya dengan sistem pendikit elektrik ‘Ride-by-Wire’nya yang menakjubkan itu, dan yang menariknya, S 1000 RR ini berjaya meliputi jarak 200km sebelum kami perlu berhenti untuk isian semula.

Kesimpulannya, ianya tidak mengejutkan mengapa kebanyakan peminat motosikal superbike lebih menggemari BMW S 1000 RR. Dari jumlah kuasa yang ia ada, sehinggalah pada bagaimana ia mengendalikan keseluruhan kuasa tersebut dengan bijak sekali pada satu-satu masa berdasarkan gaya penunggangan yang berbeza, model S 1000 RR ini telah menunjukkann mengapa ianya menjadi pilihan popular. Menjadi kegilaan dunia perlumbaan, lebih-lebih lagi di perlumbaan jalan raya paling merbahaya dunia, Isle of Man TT, sekali anda merasai kehebatannya, anda juga pasti akan gila bayang dengannya.

Kunjungilah bilik pameran rasmi BMW Motorrad Malaysia yang berdekatan untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila layari http://www.bmw-motorrad.com.my/shtml/model/sport/s1000rr_overview.shtml.

BMW S 1000 RR 2019 Akan Datang Dengan Teknologi MotoGP?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply