MotoGP: Marquez Menangi GP Sepanyol 2018 Yang Penuh Mendebarkan

  • Marc Marquez (Repsol Honda) telah berjaya memenangi perlumbaan MotoGP keduanya pada musim ini di hadapan penonton senegaranya sewaktu GP Sepanyol 2018.
  • Jorge Lorenzo, Andrea Dovizioso, dan Dani Pedrosa telah terlibat dalam satu pertembungan dan terbabas sewaktu bertarung bagi mendapatkan tempat ke-dua.
  • Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) dan Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar) merebut peluang yang muncul akibat kemalangan tersebut dan menamatkan perlumbaan di atas podium.

GP Sepanyol tahun ini sudah pasti akan menjadi satu perlumbaan yang tidak akan dilupakan oleh ratusan ribu peminat yang telah membanjiri litar Circuito de Jerez. Di hadapan peminat tuan rumah, Marc Marquez dari pasukan pengilang Repsol Honda telah berjaya merangkul kemenangan keduanya pada tahun ini dan juga telah melebarkan lagi jurang sebagai pendahulu kejohanan.

Memulakan perlumbaan dari petak kelima, Marquez bermula dengan garang, namun, penunggang pasukan Ducati, Jorge Lorenzo, telah berjaya membuat kejutan. Lorenzo meluru pantas mendahului kelompok hadapan dan mengekalkan kedudukannya buat beberapa pusingan. Pada ketika itu, GP Sepanyol bagaikan pertarungan di antara Ducati dan Honda.

Apabila suhu di atas litar mulai meningkat, rentak kelajuan kebanyakan penunggang mulai perlahan, dan ada di antara mereka mulai terbabas. Alex Rins (Team Suzuki Ecstar) telah menjadi mangsa yang pertama, diikuti oleh Thomas Luthi (EG 0,0 Marc VDS) serta pemenang perlumbaan di Argentina dan pendahulu kejohanan sebelum ini, Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol).

Insiden yang telah menjadi buah mulut ramai sudah pastinya pertembungan yang melibatkan Jorge Lorenzo, Andrea Dovizioso, dan Dani Pedrosa. Ketiga-tiga penunggang berkenaan pada ketika itu sedang bertarung bagi mendapatkan tempat ke-dua, dengan baki lapan pusingan, apabila ketiga-tiga mereka terbabas dalam satu insiden perlumbaan.

Sewaktu memasuki Selekoh 6, kedua-dua penunggang pasukan pengilang Ducati itu telah tersasar keluar dari garis perlumbaan, sewaktu Lorenzo cuba memintas Dovizioso. Melihat terbukanya peluang untuknya merampas tempat ke-dua, Pedrosa kekal di garis perlumbaannya yang berhampiran dengan apeks, namun malangnya, telah bertembung dengan Lorenzo, yang tidak sedar akan kehadiran Pedrosa dan menyebabkan pertembungan yang telah memulakan kesan domino tersebut.

Pada ketika itu, Marquez telah pun jauh di hadapan meninggalkan kelompok pendahulu, dan diikuti oleh Johann Zarco ( Monster Yamaha Tech 3) tempat ke-dua dan Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar) di tempat ke-tiga. Danilo Petrucci (Alma Pramac Racing) merupakan penunggang Ducati teratas pada perlumbaan ini, berada di tempat ke-empat, diikuti oleh Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) yang berada di tempat ke-lima.

Hafizh Syahrin (Monster Yamaha Tech 3) menamatkan perlumbaan di tempat ke-16, walaupun dia telah mengalami kecederaan sewaktu latihan sebelum bermulanya hujung minggu perlumbaan ini. Ianya merupakan satu usaha yang membanggakan bagi penunggang negara tersebut, lebih-lebih dengan kecederaan dan keadaan litar Jerez yang sering kali berubah.

Siri perlumbaan MotoGP bagi musim 2018 akan menuju ke litar Le Mans dalam masa dua minggu untuk perlumbaan HJC Grand Prix de France 2018. Bersiap sedialah untuk satu lagi perlumbaan yang mendebarkan!

Sumber imej: MotoGP

MotoGP: Johann Zarco SAH Berpindah Ke KTM!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.