MotoGP: Suzuki Ingin Jorge Lorenzo Bagi 2019?

  • Gosip MotoGP terbaru yang tengah panas membara telah mengandaikan yang Suzuki berminat untuk mendapatkan khidmat Jorge Lorenzo bagi tahun 2019.
  • Dengan tahap kesabaran mereka yang semakin menipis untuk Andrea Iannone, pencarian untuk penunggang yang sesuai bagi jentera Suzuki GSX-RR telah pun bermula.
  • Lorenzo pada ketika ini menghadapi kesukaran di atas jentera Ducati Desmosedici GP18, hanya mampu mengutip satu mata daripada dua pusingan perlumbaan.


Khabar angin terbaru yang tersebar di sekitar paddock MotoGP (selain daripada #TermasClash di antara Valentino Rossi dan Marc Marquez di GP Argentina) berkisar kepada seorang penunggang Sepanyol, Jorge Lorenzo. Nampaknya, Suzuki telah memulakan langkah mereka bagi mendapatkan juara dunia MotoGP sebanyak tiga kali itu untuk menyertai mereka bagi musim 2019.

Di mana pasukan Suzuki Ecstar berharap untuk memperbaharui kontrak bersama Alex Rins, ‘penunggang senior’ semasa mereka tidak mencapai jangkaan mereka dari segi proses pembangunan jentera mahu pun menghasilkan keputusan perlumbaan yang memberangsangkan.

Dengan kedudukan keseluruhan di tempat ke-13 pada tahun lalu dan fakta yang dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-sembilan di Qatar dan ke-lapan di Argentina (berbanding dengan penunggang mereka yang lebih muda, Rins, yang DNF di Qatar dan mendapat tempat ke-tiga di atas podium pada hujung minggu lalu di Argentina), tahap kesabaran Suzuki dengan penunggang dari Itali itu semakin menipis.

Sekali lagi pasukan tersebut telah tertarik dengan Jorge Lorenzo, yang mereka rasakan sebagai pasangan sesuai dengan jentera MotoGP Suzuki GSX-RR mereka. Jentera GSX-RR tersebut telah dianggap ramai seperti jentera Yamaha M1 musim lalu yang ‘dilembutkan’ sedikit, dan ianya mungkin cocok dengan gaya penunggangan lancar Lorenzo yang telah memberikannya beberapa buah kemenangan kejohanan sewaktu dia bersama dengan pasukan Yamaha.

Tawaran ini juga mungkin menarik minat Lorenzo, memandangkan yang dia menghadapi kesukaran untuk menunjukkan kebolehannya di atas jentera Ducati Desmosedici GP18. Teman sepasukannya, Andrea Dovizioso pula, tidak berhadapan dengan sebarang masalah di mana dia telah memenangi pusingan pembukaan di Qatar dan mendapat tempat ke-enam di Argentina, walaupun dengan keadaaan cuaca bercampur yang menyukarkan itu.

Namun begitu, ada syaratnya. Suzuki tidak mempunyai sumber dana yang sama seperti Ducati, jadi, sekiranya mereka berjaya memeterai perjanjian, Lorenzo akan mengambil gaji yang lebih rendah daripada gajinya bersama Duzati sekarang. Perjanjian €12 juta semasanya bersama Ducati juga tidak akan bertahan lama sekiranya keputusan perlumbaannya kekal pada tahap ini sehingga 2019.

Walau apa pun jua keadaannya, tiga perlumbaan yang berikutnya akan menjadi perlumbaan yang penting untuk setiap penunggang, terutamanya Lorenzo. Adakah dia akan terus bersama jentera Ducati yang ‘liar’, atau melompat ke pasukan Suzuki dengan harapan untuk menghasilkan keputusan perlumbaan yang memberangsangkan? Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.

Sumber imej: MotoGP

“Marquez is destroying MotoGP” – Valentino Rossi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.