MotoGP: Ducati Desmosedici GP18 Diperkenalkan Dengan Kemasan Grafik Baru

  • Ducati Team telah memperkenalkan jentera perlumbaan terkini mereka dalam bentuk Ducati Desmosedici GP18.
  • Bersama dengan Joge Lorenzo dan Andrea Dovizioso, kemasan grafik itu terdiri dari gabungan warna merah dan putih Ducati serta kelabu.
  • Tidak ada banyak maklumat yang telah diberikan mengenai motosikal pengilang Ducati MotoGP 2018 ini kecuali penambahan kuasa kudanya.

Ducati Team merupakan pasukan pertama yang memperkenalkan jentera MotoGP mereka bagi tahun 2018 pada awal hari ini. Dalam satu peragaan besar-besaran yang telah diadakan di Borgo Panigale, majlis tersebut telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domencali, Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna, Pengarah Sukan Ducati Corse, Paolo Ciabatti, serta Pengurus Pasukan, Davide Tardozzi ditemani oleh penunggang uji Michele Pirro dan sudah semestinya, Jorge Lorenzo dan Andrea Dovizioso.

Bagi tahun 2018, mereka telah memperkenalkan Ducati Desmosedici GP18 dengan kemasan grafik serba baru. Skema warna barunya ini mempunyai lebih banyak warna merah di bahagian hadapan dan dilengkapkan dengan tambahan warna putih dan kelabu yang disuaikan dengan sut perlumbaan mereka. Untuk motosikal itu sendiri, tidak ada banyak maklumat yang telah diberikan selain daripada penambahan sebanyak 2hp berbanding dengan jentera GP17 mereka.

Ianya boleh dianggap sebagai satu musim yang menakjubkan bagi pasukan pengilang Ducati pada tahun lalu di mana Andrea Dovizioso berjaya merangkul enam kemenangan dan bersaing dengan Marc Marquez (Repsol Honda) sehingga ke pusingan terakhir bagi tahun 2017 untuk kejohanan tersebut. Jorge Lorenzo mengalami permulaan yang sukar namun dengan pantas merubah nasibnya dan mula mendapat tempat di atas podium.

Menurut Luigi Dall’Igna, “Sepanjang musim sejuk kami kekal teramat fokus padanya. Kami telah berbincang secara mendalam mengenai ciri-ciri utama jentera kami dan mendapat idea-idea yang baru yang akan kami uji di Sepang. Sudah pasti kami telah mengulangkaji semula kejuruteraan motosikal berkenaan, dan kami mengerjakan enjinnya – kami telah menambah kuasa kuda pada motosikal kami, dan walaupun kebolehtunggangan akan menjadi lebih mudah – dan kami juga telah mengerjakan ciri-ciri teknikal lain untuk memperbaikinya.”

Dia kemudiannya menambah “Dari segi aerodinamik, kami kini sedang memperhalusi ciri-iri terakhir jadi anda belum boleh melihat model muktamadnya di Malaysia, atau mungkin sekali tidak sehingga perlumbaan kedua atau ketiga. Ianya tidak penting untuk mengorbankan segala-galanya demi inovasi – kami perlu menjadi amat tegas, amat berdisiplin dalam proses pengujian, dan memilih evolusi yang berguna.”

Dall’Igna meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa “2017 adalah tahun yang menakjubkan bagi kami, memenangi pelbagai perlumbaan, dan kami telah bersaing untuk Kejohanan Dunia. Terdapat pelbagai emosi yang hebat dan perasaan yang mendalam pada tahun ini, dan sekali lagi ke semua peminat serta pengikut cukup gembira dengan apa yang telah kami lakukan. Ianya bukanlah kerana usaha saya, tetapi atas kerja dan usaha para penunggang, penunggang uji, serta kakitangan di Ducati jadi izinkan saya mengucapkan terima kasih pada mereka semua. Dan kami masih perlu meneruskan kerja kami; kami perlu memperbaiki segala ciri teknikal yang masih lagi boleh diperbaiki.”

Matlamat mereka bagi tahun 2018 kekal sama seperti 2017; untuk terus bersaing bagi mendapatkan kedudukan pertama dan berdasarkan apa yang telah berlaku pada musim lalu, pasukan Ducati ini sudah pasti mempunyai kemampuan untuk mempersembahkan tahap perlumbaan yang tertinggi. Ianya pastinya bukannya mudah memandangkan pada musim ini akan ada 19 pusingan MotoGP yang perlu ditempuhi.

Teruskan setia bersama MotoMalaya dan nantikan kehadiran para penunggang handalan ini di Sepang untuk sesi ujian musim sejuk rasmi dari 28 hingga 30 Januari 2018 di mana mereka akan disertai oleh legenda MotoGP, Casey Stoner.

Sumber: MotoGP

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply