MotoGP Argentina 2018: Cal Crutchlow Peroleh Kemenangan di Argentina; Marquez Bertembung Dengan Rossi

  • Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol) telah memenangi perlumbaan ketiganya dalam MotoGP semalam di perlumbaan MotoGP Argentina 2018.
  • Johann Zarco (Monster Yamaha Tech3) menduduki tempat ke-dua dan diikuti oleh Alex Rins (Team Suzuki ECSTAR) di tempat yang ke-tiga.
  • Perlumbaan penuh drama ini telah menyaksikan pelbagai kejadian, paling hangat diperbualkan adalah pertembungan antara Marc Marquez dan Valentino Rossi.


Penunggang bagi pasukan LCR Honda Castrol, Cal Crutchlow, telah berjaya memenangi perlumbaan MotoGPnya yang ketiga semalam di MotoGP Argentina 2018. Persaingan bagi tangga teratas podium mencapai kesudahan yang hebat di mana Crutchlow melintasi garisan penamat di hadapan Johann Zarco (Monster Yamaha Tech3) dan, yang lebih mengagumkan lagi, Alex Rins (Team Suzuki ECSTAR) yang merangkul tempat ke-tiga.

Kemenangan di GP Argentina bagi penunggang LCR Honda Castrol itu bagaimanapun, dengan pantas sekali telah ditenggelami oleh kerenah penunggang dari pasukan Repsol Honda, Marc Marquez. Dengan nasib malang yang menimpa sebelum bermulanya perlumbaan tersebut lagi, berterusan sewaktu perlumbaan yang kacau-bilau dpenuhi dengan penalti dan telah menyebabkan pertembungan antara Marquez dan Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP).

Perlumbaan itu bermula dengan Jack Miller (Alma Pramac Ducati) bersendirian di Petak Pertama kerana kebanyakan penunggang telah masuk semula ke pit untuk menukar tayar. Bagi mengelakkan kekalutan memulakan perlumbaan dari dalam kawasan pitlane, para penunggang telah menduduki grid di beberapa barisan di belakang Miller, memberikan penunggang tersebut kelebihan yang besar berbanding penunggang-penunggang yang lain.

Drama bermula sebelum permulaan perlumbaan lagi, di mana jentera Marquez telah mati dan dia diarahkan untuk memulakan perlumbaan dari pit sebaik sahaja dia dapat menghidupkan semula motosikalnya.Dia tidak melakukannya dan setelah perlumbaan itu bermula, dia telah diberikan ‘Ride Through Penalty’.

Marquez kemudiannya mengejar semula kelompok hadapan dengan rentak halaju yang pantas, namun, akibat terlalu gopoh, telah menyebabkan satu insiden dengan Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini) dan juga dengan ‘The Doctor’ sendiri, Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP).

Cubaan yang terlalu berisiko untuk memintas posisi Rossi telah mengakibatkan satu pertembungan yang menyebabkan Rossi kehilangan kawalan jentera Yamaha M1 setelah tersasar naik ke atas rumput basah. Juara dunia MotoGP sebanyak sembilan kali itu berjaya menghidupkan semula motosikalnya dan menamatkan perlumbaan di posisi ketiga terakhir (P19).

Walaupun dengan taktik perlumbaannya yang hebat, Jack Miller hanya dapat menduduki tempat ke-empat, namun begitu, berada di hadapan Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) yang berada di P5, Andrea Dovizioso (Ducati) di P6, Tito Rabat (Reale Avintia Racing) di P7, dan Andrea Iannone (Team Suzuki ECSTAR) di P8.

Wira negara kita, Hafizh Syahrin telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan menamatkan perlumbaannya di Argentina GP di tempat ke-sembilan. Penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech3 itu terpaksa berhempas pulas sepanjang hujung minggu atas sebab keadaan cuaca yang tidak menentu namun telah berjaya menamatkan perlumbaan dengan hebat, meletakkannya seiring dengan Dani Pedrosa dalam kutipan mata kejohanan, dan juga sebagai penunggang rookie teratas.

Drama MotoGP akan bersambung dalam masa dua minggu di mana mereka akan menuju ke Amerika Syarikat untuk pusingan Red Bull Grand Prix of the Americas. Keadaannya sudah pasti semakin hangat, tuan-tuan dan puan-puan.

Sumber imej: MotoGP

Mengapa Saya Pilih Hafizh Syahrin – Herve Poncharal

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.