MotoGP: Jentera Perlumbaan Aprilia RS-GP 2018 Diperkenalkan!

  • Jentera perlumbaan Aprilia RS-GP 2018 baru sahaja dilancarkan baru-baru ini bersama dengan penunggang mereka bagi musim 2018, Aleix Espargaro dan Scott Redding.
  • Aldo Drudi dari Drudi Performance adalah orang yang bertanggungjawab di atas skema warna serba Itali pada jentera yang baru tersebut.
  • Evolusi terkini jentera RS-GP yang baru ini terdiri daripada kerangka, kotak udara, sistem penyejukan dan pakej aerodinamik yang baru.

Permulaan musim 2018 MotoGP telah dihangatkan lagi dengan ketibaan jentera perlumbaan Aprilia RS-GP 2018. Dengan kerja yang menyeluruh dijalankan atas projek RS-GP ini oleh Noale Racing Department, jentera yang baru itu sekali lagi telah mendapat sentuhan rekaan berjiwakan Itali oleh Aldo Drudi dari Drudi Performance.

Penunggang sedia adanya, Aleix Espargaro akan bersaing bersama seorang teman sepasukan yang baru iaitu Scott Redding dalam satu musim yang dijanjikan akan menjadi musim paling mengujakan setakat ini. Dengan kajian mendalam beserta kerja pembangunan dengan usaha yang giat dilakukan pada tahun 2017, pasukan Aprilia Racing Team Gresini ini telah berjaya mengecapi beberapa keputusan perlumbaan yang positif dan berharap dapat meneruskan momentum ini dengan kedua-dua penunggang bagi musim yang akan datang.

Jentera perlumbaan Aprilia RS-GP terbaru ini dibangunkan dengan pelbagai penambahbaikan dan tidak terbilang evolusinya. Dengan kerangka, kotak udara, sistem penyejukan dan pakej aerodinamik yang serba baru, kedua-dua pasukan dan penunggang merasa optimis yang ianya akan pasti memberikan impak yang besar sewaktu lampu dimalapkan ketika bermulanya musim baru di Qatar pada 18 Mac 2018 nanti.

Menurut Espargaro, “Tahun lalu, kami berjaya berlumba dengan baik dalam beberapa perlumbaan dan hanya akibat beberapa kesilapan telah menjejaskan kedudukan akhir kami dalam kejohanan. Saya berasa amat yakin untuk tahun 2018. Pasukan ini telah berusaha dengan baik sekali dan jentera RS-GP terbaru ini telah menunjukkan tanda-tanda yang positif. Ke semua pesaing kami telah memperbaiki diri dengan hebatnya. MotoGP adalah kejohanan tahap tertinggi, tetapi, saya yakin yang kami akan merapatkan jurang tersebut. Saya seorang individu yang positif. Saya telah pun merpersiapkan diri sebaiknya untuk musim yang baru ini dan saya percaya dengan arah yang kami tujui.”

Redding juga mempunyai beberapa perkara yang baik ingin dikatakan tentang pasukan barunya dan hala tuju mereka bagi tahun 2018. Seperti yang telah dinyatakan oleh Redding, “Ianya merupakan tahun pertama saya sebagai pasukan pengilang dan saya ingin katakan bahawa saya berasa amat positif setakat ini. Mempunyai sebuah pasukan yang menyokong saya dan bekerjasama dengan saya bagi memperbaiki motosikal tersebut merupakan satu motivasi yang hebat bagi saya. Kami telah berjaya memperbaiki kedudukan secara konsisten dengan setiap sesi, dan juga telah bereksperimen dengan beberapa penyelesaian yang merupakan satu pertaruhan, namun, sentiasa dengan tujuan yang tertentu.”

Dapatkah pasukan pengilang Aprilia MotoGP memberikan saingan buat pendahulu grid pada tahun ini? Sudah pasti ianya boleh dilakukan tetapi ianya memerlukan kesungguhan daripada kedua-dua pasukan dan penunggang mereka. Apa yang pasti ianya sudah pasti tidak membosankan.

Sumber: MotoGP

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.