Mengapa Saya Pilih Hafizh Syahrin – Herve Poncharal

Sumber Imej: MotoGP
  • Terdapat pelbagai spekulasi tentang bagaimana Hafizh Syahrin telah terpilih untuk menunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech3 dalam MotoGP.
  • Ketua pasukan, Herve Poncharal, telah mendedahkan apa yang telah berlaku di dalam satu temubual bersama MotoGP.
  • Diharap dengan pendedahannya itu dapat menghapuskan sebarang keraguan.

Ini mungkin kedengaran seperti sebuah radio kaset yang rosak, mengulangi lagu yang sama. Sebuah jenaka basi yang tidak kesampaian, satu kontroversi lapuk yang tidak berasas. Dan ianya berkenaan Hafizh Syahrin.

Lebih tepat lagi, ianya berkenaan sebilangan – termasuk warga tanah air kita sendiri – yang masih lagi mempersoalkan kebolehan Syahrin sebagai bukan sahaja seorang penunggang MotoGP (TEKAN SINI untuk membaca laporan kami), tetapi sebagai penunggang MotoGP bagi salah sebuah pasukan satelit paling berdaya saing selain Alma Pramac Ducati. Telah ada desas desus yang kurang menyenangkan yang mengatakan bahawa ada badan pentadbiran Malaysia atau SIC “telah membayar tiketnya’ bagi menyertai pasukan tersebut.

YBhg. Dato ‘ Ahmad Razlan Ahmad Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), telah menghapuskan khabar angin tersebut semasa pengumuman rasmi ikatan kontrak Hafizh Syahrin bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 (TEKAN SINI untuk liputan kami mengenai acara tersebut).

Kini, ketua pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal, telah menjelaskan segala-galanya dalam satu sesi temubual bersama MotoaGP.

Kata Poncharal, “Saya bertemu dengan Dato’ Ahmad Razlan Ahmad Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang dan sewaktu berbicara dengannya, telah timbul satu idea dalam fikiran saya. Saya bertanya padanya, ‘Apa kata Syahrin sertai MotoGP?’ Dia ingat saya bergurau.”

Dia meneruskan, “Pihak penaja dan pembekal telah bertanya pada saya, siapakah yang saya maksudkan; mereka tidak pernah mendengar namanya sebelum ini. Bermula dari saat itu, saya perlu yakinkan semua yang dia adalah penunggang yang bagus. Dan saya pasti akan tetap meneruskannya walaupun berhadapan dengan tentangan. Kami di sini untuk menikmati keseronokan berlumba.”

Tetapi, apakah yang telah membuatkan Poncharal memilih Hafizh? Pertama sekali, kita sudah sedia maklum bahawa Yonny Hernandez gagal menunjukkan prestasi yang baik sewaktu sesi ujiannya di SIC. Sejujurnya, penunggang dari Columbia itu telah berkempen bertahun lamanya, jadi, ini bukanlah kali pertama dia di atas jentera MotoGP. Tambahan pula, dan mungkin sekali faktor penentu, adalah fakta yang dia telah menandatangani perjanjian dengan pasukan WorldSBK. Poncharal sebelum ini telah pun menegaskan bahawa dia tidak berminat dengan penunggang yang sudah pun memiliki kontrak.

Jawapannya? “Apabila anda memilih penunggang, akan senantiasa ada satu elemen risiko. Saya suka mereka yang mengambil risiko dan saya juga sebegitu. Dalam pertandingan, anda perlu gemar akan cabaran – jika tidak, anda berada di tempat yang salah.”

Mujur juga bagi Hafizh (dan kita, peminat di Malaysia) kerana pasukan Monster Yamaha Tech3 bukannya sebuah pasukan pengilang, kerana ia membolehkan kita menyaksikan aksi Pescao 55, semua ini kerana Poncharal boleh membuat keputusannya sendiri. “Pengurus Pasukan bagi pasukan pengilang boleh memilih penunggang terbaik kerana mereka mempunyai lebih banyak dana yang boleh dibelanjakan…. Daripada cuba menandatangani penunggang terbaik, kerana saya tahu kami tidak mampu, saya lebih suka untuk mempertaruhkan nasib pada sesuatu yang boleh menghasilkan keputusan yang mengujakan.”

Pandangan Poncharal mengenai Hafizh pada waktu ini? “Saya benar-benar gembira pada saat ini. Saya tidak maksudkan yang dia akan menjadi penunggang terpantas, tetapi, dia telah menunjukkan aksi yang memberangsangkan.”

Jadi, pengurus dari Perancis itu yang datang mencari Hafizh, bukannya sebaliknya, dan dia suka mengambil risiko kerana pulangannya lebih lumayan. Diharap tiada lagi kata-kata sumbang yang meragui kebolehan penunggang harapan negara ini.

Pusingan MotoGP yang berikutnya akan mengambil tempat di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina, dari 6 hingga 8 April nanti. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]