Hafizh Syahrin Bakal Menyertai MotoGP!

  • Sky Sport telah menyiarkan berita bahawa Hafizh Syahrin akan menyertai kelas MotoGP.
  • Dia akan menggantikan Jonas Folger bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3.
  • Sepang Racing Team sudah pun menandatangani Zulfahmi Khairuddin bagi menggantikan tempat Hafizh dalam Moto2.

Bagaikan sebuah jalan cerita yang tidak dijangka atau ‘plot twist’ filem Hollywood à la “Memento”, Hafizh “Pescao” Syahrin hampir sudah pasti akan menyertai MotoGP bagi musim 2018!

PLOT TWIST #1

Dalam berita yang lebih awal kami ada melaporkan bahawa SIC Racing Team akan mengendalikan sebuah pasukan Moto2 dengan Hafizh Syahrin sebagai penunggangnya, setelah penunggang yang disukai ramai itu telah dilepaskan dari kontraknya oleh Petronas Raceline dan kemudiannya oleh Petronas Sprinta.

Petronas TIDAK Akan Menaja Hafizh Syahrin Untuk Moto2 Musim 2018

Ianya hampir menyebabkan Hafizh terlepas peluang untuk menyertai Kejohanan Moto2 bagi musim 2018, sehinggalah Ketua Pegawai Eksekutif SIC, YBhg. Dato’ Ahmad Razlan melontarkan talian hayat dengan menyediakan sebuah tempat buat Hafizh dalam pasukan Moto2 yang baru mereka tubuhkan, SIC Racing Team.

PLOT TWIST #2

Penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3, Jonas Folger telah didiagnos dengan satu penyakit genetik yang jarang ditemui, yang dinamakan “Gilbert’s Syndrome”, dan telah terpaksa mengundurkan diri dari kejohanan MotoGP tahun ini, yang mana telah menyebabkan pengurus pasukannya, Herve Poncharal, terkejar-kejar mencari pengganti.

Jonas Folger

Yonny Hernandez, yang telah digugurkan oleh pasukan Alma Pramac Ducati bagi musim 2018, telah diberikan peluang untuk menguji motosikal Monster Yamaha Tech 3 sewaktu Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 yang telah berlangsung beberapa hari yang lalu.

Yonny Hernandez (Sumber imej: MotoGP)

Ianya kelihatan agak bertentangan dengan apa yang telah dikatakan oleh Poncharal sebelum ini tentang kurang berkenan untuk menawarkan tempat kepada penunggang yang sudah pun berkontrak, dan Hernandez telah pun menandatangani kontrak bersama Pedercini Kawasaki untuk bersaing dalam WorldSBK.

Dan oleh kerana itu, desas desus telah tersebar di paddock bahawa pasukan Monster Yamaha Tech 3 masih lagi sedang mencari penunggang sewaktu Ujian Musim Sejuk tersebut di SIC, dan nama Hafizh adalah salah satu nama yang telah disebut.

MotoGP: Hafizh Syahrin Akan Menunggang Bagi Pasukan Monster Yamaha Tech 3?

Malah, Poncharal berada beberapa meter sahaja dari kami di Pusat Media dan dia telah menyuarakan kegusarannya tentang Hernandez pada krunya. (Dia bercakap dalam bahasa Perancis, tetapi dengan nama Hernandez sering kali diikuti dengan bunyi keluhan, faham-faham sahajalah maksudnya.)

Tetapi, bukankah Hafizh telah pun menandatangani kontrak dengan SIC Racing Team?

PLOT TWIST #3

Ya, betul, Hafizh Syahrin telah pun mengesahkan tempatnya dalam siri Moto2 bagi musim ini.

Fikir sekali lagi! Sky Sport telah menyiarkan berita mengenai Hafizh ditandatangani oleh pasukan Monster Yamaha Tech 3 dan sambutannya di atas talian internet cukup menggilakan!

SIC kemudiannya mengumumkan lewat petang semalam bahawa seorang lagi legenda GP Malaysia, Zulfahmi Khairuddin akan menunggang untuk pasukan mereka. Dia telah pun dijadualkan untuk memulakan ujian pra-musim Moto2 di Litar Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol, bermula 6 Februari.

Zulfahmi telah berlumba dalam GP 125cc dari tahun 2009 hingga 2011, dan dalam siri Moto3 dari tahun 2012 hingga tahun 2015, sebelum berpindah ke siri Supersports World Championship untuk tahun 2016 dan tahun 2017, mengemudi jentera Kawasaki ZX-6R. Pasukan barunya itu merasakan yang dia mempunyai pengalaman di atas jentera perlumbaan 600cc.

Walaupun pasukan SIC Racing Team tidak lagi memaklumkan akan masa depan Hafizh Syahrin, YBhg. Dato’ Ahmad Razlan pernah berkata yang dia berharap yang Hafizh akan lambat laun menyertai kelas premier.

Buat masa ini masih belum ada sebarang berita rasmi dari Hafizh jua. Akan adakah Plot Twist #4?

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]