Mugen Memperkenalkan Enjin Motosikal V-Twin 1,400cc, MRV1400

  • Mugen telah memperkenalkan sebuah enjin motosikal V-Twin 1,400cc sewaktu acara Pertunjukan Motosikal Tokyo 2018.
  • Mugen MRV1400 adalah sebuah enjin V-Twin 1,400cc yang telah diilhamkan oleh sebuah enjin 1,400cc yang serupa yang telah mereka bina pada tahun 1970 -an.
  • Enjin MRV1400 itu dilengkapi dengan karburetor Keihin, tiub ‘pushrod’, dan sebuah sistem transmisi berasingan.


Apakah yang akan berlaku sekiranya sebuah pengeluar kelengkapan dan penala enjin kenderaan terkemuka secara tiba-tiba memutuskan ingin membina sebuah enjin motosikal serba baru? Sebuah syarikat terkenal di Jepun yang telah sekian lama dikaitkan dengan cogan-cogan kata seperti “Without Limits”, “Unlimited”, atau “Power”, bernama Mugen telah menarik perhatian ramai apabila mereka memperagakan sesuatu yang agak menarik di acara Pertunjukan Motosikal Tokyo 2018.

Sumber imej: Visordown

Dalam satu laporan yang telah dibuat oleh Piston.my, Mugen telah memperkenalkan enjin motosikal mereka yang diberi nama MRV1400 V-Twin Concept. Diinspirasikan oleh cubaan mereka terdahulu dalam menghasilkan MRV1000 pada tahun 1970-an, Mugen sebenarnya lebih banyak terlibat dalam dunia dua roda dari apa yang anda sangka. Malah, Mugen sebenarnya telah diasaskan oleh anak lelaki Soichiro Honda, itu sahaja boleh menggambarkan sejauh mana penglibatan mereka.

Mugen MRV1000

Enjin V-Twin MRV1400 Mugen telah diperagakan sewaktu Pertunjukan Motosikal Tokyo 2018, di mana ianya bercirikan reka bentuk yang mirip dengan pendahulunya yang berkapasiti 1,000cc. Spesifikasi seperti ‘pushrod’, karburetor Keihin, dan sebuah sistem transmisi yang berasingan telah ditonjolkan bersebelahan dengan sebuah lakaran motosikal roadster naked menggiurkan yang amat mempersonakan bagi membantu para hadirin membayangkan imej ideal motosikalnya.

Selain itu, tahukah anda bahawa Mugen juga merupakan pasukan perlumbaan pendahulu dalam siri perlumbaan jalan raya Isle of Man TT dalam kategori motosikal elektrik? Bergelar Mugen Shinden Roku, motosikal tersebut telah menyertai kategori berkenaan sejak ianya mula diperkenalkan dan telah merangkul beberapa kemenangan. Mereka juga turut memiliki sebuah motosikal motorcross elektrik berinspirasikan dinosaur yang dinamakan E.Rex!

Mugen Shinden Roku

Mengenai penghasilannya, Mugen masih lagi menghimpunkan maklum balas dari peminat, penggemar, dan juga para hadirin pertunjukan motosikal tersebut. Sekiranya maklum balasnya memberangsangkan, kita mungkin sahaja akan dapat menyaksikannya dikilangkan, namun, ianya tidak akan berlaku sebelum tahun 2020. Dari sudut lain pula, enjin MRV1400 ini mungkin sekali akan melalui evolusi untuk bukan sahaja memenuhi permintaan penunggang masa kini, tetapi juga bagi mematuhi peraturan emisi yang ketat.

Bila tiba masanya nanti, pasti anda akan berasa sangat megah sekali apabila orang mengetahui yang motosikal kesayangan anda dijana oleh enjin Mugen. Bak datang, bro.

Motosikal Honda CB1000R Carbon Edition Diperkenalkan Di Tokyo