Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018: Rumusan

Sumber imej: MotoGP
  • Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 merupakan permulaan yang mengujakan untuk musim ini.
  • Jentera-jentera MotoGP tahun ini lebih pantas lagi.
  • Keputusan yang diperolehi menunjukkan taburan motosikal yang lebih pelbagai dari pasukan-pasukan yang berbeza.

Tiga hari Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 yang menyeronokkan telah pun berakhir.

Mungkin keseronokan itu sukar untuk dibayangkan bagi mereka yang mengikuti laporan dari rumah mahu pun pejabat, kerana tiadanya siaran televisyen, kecuali jika anda telah menempah pakej Videopass yang teramat mahal di laman sesawang MotoGP. Tetapi, bagi kami yang mengikutinya dari tepi litar, paddock dan Pusat Media di Litar Antarabangsa Sepang, cukup nyata sekali yang musim 2018 ini adalah musim MotoGP yang amat menyeronokkan.

Pertama sekali, tiga pengeluar terbesar siri ini telah disaingi rapat oleh pasukan satelit mereka yang telah mencatatkan masa yang hampir sama, atau pun lebih pantas lagi berbanding dengan pasukan pengilang. Jika diambil kira Alex Rins, yang telah kembali ke Suzuki setelah terpaksa berehat panjang sewaktu musim 2017, ianya menjadikan empat pengeluar yang berbeza dalam kedudukan 10 teratas.

Sumber imej: MotoGP

Sudah pasti ada pelbagai drama di sepanjang tiga hari berkenaan, terutamanya pada sesi sebelah petang. Sesi pagi digunakan untuk simulasi perlumbaan, manakala sesi sebelah petangnya telah dimanfaatkan oleh kebanyakan pasukan dan penunggang untuk menjalankan ujian kelayakan. Pada waktu inilah kebanyakan masa terpantas telah dicatatkan pada dua hari yang pertama: pusingan kedua terakhir Dani Pedrosa pada Hari Pertama, Viñales dan Rossi pada Hari Kedua.

Berbeza pula ceritanya pada Hari Ketiga, di mana lapan daripada sepuluh penunggang terpantas mencatatkan masa terpantas mereka pada waktu yang lebih awal, sewaktu litar lebih sejuk daripada sebelah petangnya. Ini menunjukkan bahawa tayar Michelin tersebut berfungsi dengan sebaiknya dalam jangkauan suhu litar yang tertentu dan mulai malap apabila suhu meningkat.

Malah, Valentino Rossi yang telah mendapat tempat ke-lapan terpantas pada hari terakhir dan tempat ke-sembilan secara keseluruhan telah berkata, “Kami telah mencuba bermacam-macam perkara dan mempunyai idea yang jelas, namun, hari ini adalah hari yang paling sukar. Kami bergelut kerama kekurangan cengkaman dan ianya telah menyebabkan kami tertinggal di belakang.”

Rossi bakal mencecah usia 38 tahun pada tahun ini dan masih lagi mengejar kejuaraan ke-10nya. Terdapat pelbagai desas-desus sama ada penunggang ulung ini akan meneruskan kerjaya selepas tahun 2018.

Sumber imej: MotoGP

Cerita utama Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 sudah semestinya mengenai Jorge Lorenzo yang kini dalam tahun keduanya bersama dengan pasukan pengilang Ducati. Kebanyakan pakar telah menjangka yang penunggang kelahiran Majorca, Sepanyol itu akan gagal memberikan impak bersama pasukan barunya itu, tetapi, menjelang penghujung musim 2017, dia telah menunjukkan kebolehannya bersama jentera pasukan pengilang tersebut.

Sumber imej: MotoGP

Dengan catatan masa pusingan terpantasnya 1:58.830, Lorenzo berjaya menggemparkan semua orang di atas jentera GP18 pada Hari Ketiga, sebagai penunggang pertama mencecah masa di bawah paras 1:58. Adakah penunggang kelahiran Majorca telah berjaya menyesuaikan diri dengan jentera tersebut atau Ducati yang membuat perubahan bagi disesuaikan dengan gaya penunggangannya? “Motosikal tersebut telah dipertingkatkan lagi dan ianya lebih sesuai dengan gaya penunggangan saya dan saya dapat memanfaatkannya dengan kelebihan yang saya ada,” kata Lorenzo. Malang sekali, catatan masa tersebut tidak akan direkodkan sebagai catatan masa pusingan terpantas, kerana ianya dicatat sewaktu ‘off-season’. Moga dia dapat mengulanginya sewaktu hujung minggu perlumbaan.

Lorenzo adalah satu-satunya penunggang yang masih menggunakan gaya “long arc”, berbanding dengan garisan”V-shape” yang telah dipraktikkan kebanyakan penunggang MotoGP.

Gaya “V-shape” telah digunakan secara efektif oleh Marc Marquez bagi mengemudi jentera Honda RC-V miliknya itu sehingga memenangi empat kejohanan MotoGP. Dia akan membrek dengan keras sehingga ke apex selekoh, menegakkan kembali motosikalnya dan memecut keluar selekoh, menggunakan kuasa Honda tersebut. Ini dicapai dengan jarak antara tayar Honda yang pendek dan pusat gravitinya yang lebih tinggi.

Gaya Lorenzo adalah gaya ‘out-in-out’ tradisional yang digunakan oleh kebanyakan penunggang 250cc. Brek awal, lepaskan, bawa lebih banyak halaju selekoh. Jentera Yamaha cukup sesuai dengan gaya Lorenzo, dengan jenteranya yang panjang dan rendah. Atas sebab inilah dia menghadapi masalah pada mulanya sewaktu dia berpindah ke Ducati.

Dani Pedrosa telah memberi cabaran buat Lorenzo dan Ducati sepanjang ujian ini. Dia mempamerkan aksi yang baik sekali dan telah mencatatkan masa terpantasnya, 1:59.009, hanya 0.179 saat di belakang catatan masa Lorenzo. SIC adalah salah sebuah litar kegemarannya, memenangi perlumbaan sebanyak tiga kali di sini. Adakah dia akan memberi cabaran untuk merangkul kejohanan sepanjang musim ini?

Sumber imej: MotoGP

Cal Crutchlow telah mengadakan ujian dengan baik sekali dan mencatat mas ketiga terpantas dengan masa 1:59.052. Penunggang dari UK tersebut itu telah melakukan ujian terhadap pakej aerodinamik Honda yang baru bersama dengan Marc Marquez dan Dani Pedrosa.

Andrea Dovizioso hampir memenangi kejohanan pertamanya dan yang pertama buat Ducati sejak Casey Stoner dalam tahun 2007, pada tahun lalu. Dia telah mengalami satu kemalangan di awal hari namun berjaya mencatat masa terpantasnya dengan masa 1:59.169.

Sumber imej: MotoGP

Salah sebuah kejutan terbesar adalah Jack Miller. Setelah beberapa musim yang kurang memberangsangkan (walaupun dia berjaya satu perlumbaan di Assen, Belanda dalam tahun 2016), Miller mengejutkan semua orang termasuklah dirinya sendiri di Sepang. Kini menunggang jentera Ducati GP17 bagi pasukan Alma Pramac Racing, “Jackass” telah berada di kedudukan lima teratas untuk setiap hari dan telah mencatatkan masa pusingan yang memberangsangkan, 1:59346. “Lebih kerap saya tunggangi motosikal ini, lebih banyak saya fahaminya dan serasi dengannya,” ujarnya.

Alex Rins adalah seorang lagi penunggang yang berjaya berada di kedudukan sepuluh teratas, mencatatkan masa keenam terpantas (1:59.348) di atas jentera Suzuki. Terpaksa berehat dengan lama pada tahun 2017, dia sering kali meletakkan jentera Suzuki berkenaan di antara sepuluh teratas untuk ketiga-tiga hari ujian tersebut.

Sebaliknya pula, Maverick Viñales nampak kurang konsisten, selain dari catatan masa terpantas pada Hari Kedua, di hadapan teman sepasukannya, Rossi. Dia menamatkan Hari Ketiga dengan catatan masa lapan belas terpantas, tetapi secara keseluruhan di tangga ketujuh atas jasa 1:59.322 dari Hari Kedua. Dia berkata, “Hari ini adalah satu hari yang sukar. Saya tidak tahu mengapa kami perlahan, terutamanya di sebelah petang – pada sebelah paginya ianya agak baik sekali.”

Bagaimana pula dengan Marquez? Juara bertahan telah menguji ke semuanya yang perlu diuji. Motosikal 2017 dengan enjin 2017, kemudian dengan enjin 2018; motosikal 2018 tanpa dan kemudiannya dengan pakej aerodinamik terbaru. Dia berada di tempat ke-lapan terpantas namun kekal positif dengan data yang dikumpul.

Sumber imej: MotoGP

Melengkapkan sepuluh teratas keseluruhan adalan Johann Zarco. Zarco telah mencatatkan masa terpantas pada sesi pagi Hari Pertama dalam keadaan litar yang basah. Dia juga turut serta menguji pakej aerodinamik baru seperti penunggang pasukan pengilang. Namun, masa terpantas 1:59.511 yang dicatatkan pada hari terakhir hanya cukup untuk tempat ke-sembilan terpantas pada hari itu dan ke-sepuluh secara keseluruhannya.

Sumber imej: MotoGP

Tetapi, jika dibandingkan dengan keputusan tahun lalu, 21 daripada 26 orang penunggang (tidak termasuk empat orang penunggang uji) telah berjaya mencatat masa yang lebih pantas berbanding catatan masa perlumbaan terpantas Jorge Lorenzo, 2:00.606 pada tahun 2015 (2016 merupakan perlumbaan dalam hujan, 2017 adalah perlumbaan dalam cuaca kering di atas litar yang sedang mengering). Karel Abraham merupakan penunggang ke-21 terpantas dengan catatan masa 2:00.574. Penunggang tempat 26 dan terakhir, Yonny Hernandez, yang menggantikan Jonas Folger untuk pasukan Monster Yamaha Tech 3, mencatatkan masa terpantasnya dengan mas 2:01.223.

Ujian ‘off-season’ akan menuju ke Buriram, Thailand, bermula dari 16 Februari, yang mana kebetulannya merupakan tarikh hari lahir Valentino Rossi, dan juga Tahun Baru Cina. Buriram adalah sebuah litar dengan jalan lurus yang panjang sebelum selekoh, mirip dengan Motegi, menekankan pada pemecutan yang laju dan pembrekan yang keras.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]