Pasukan MotoGP Malaysia Bakal Muncul Pada Tahun 2019?

  • Ada kebarangkalian bahawa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mengendalikan pasukan MotoGP Malaysia yang pertama pada tahun 2019.
  • Khabar angin telah mengatakan yang SIC akan berada di Jerez pada hujung minggu ini untuk berbincang bersama MotoGP dan Yamaha.
  • SIC mungkin akan bekerjasama dengan salah sebuah pasukan persendirian yang sedia ada dengan harapan untuk membawa bersama Hafizh, Yamaha, dan tajaan mereka dalam perjanjian tersebut.

Kita sudah sedia maklum yang tahun 2019 bakal menjadi satu tahun yang mengujakan bagi keseluruhan grid MotoGP. Dengan perubahan serta penambahan jentera satelit dan kemungkinan perpindahan para penunggang, telah timbul pula satu khabar angin mengenai Sepang International Circuit (SIC) mendapatkan tempat di atas grid bagi pasukan MotoGP Malaysia yang pertama pada musim yang akan datang.

Sumber-sumber telah mengandaikan bahawa SIC telah menuju ke Jerez pada hujung minggu ini untuk berbincang bagi mendapatkan tempat di atas grid MotoGP pada musim hadapan. Ini adalah satu cabaran yang besar memandangkan keseluruhan 24 buah tempat telah pun diisi sehingga penghujung tahun 2020.

Dan dengan berakhirnya kerjasama selama 20 tahun antara pasukan Tech 3 dan Yamaha pada hujung tahun ini, SIC juga akan berjumpa dengan pengeluar Jepun itu dengan harapan yang salah sebuah tempat di atas jentera Yamaha M1 dapat disediakan pada tahun 2019 (dan sebolehnya, pada tahun-tahun yang seterusnya) untuk penunggang negara, Hafizh Syahrin.

Matlamat SIC pada mulanya adalah untuk mendapatkan tempat bagi penunggang negara menjelang tahun 2019, tetapi, ianya telah dipercepatkan kepada tahun ini apabila Jonas Folger memutuskan untuk menarik diri dari pasukan Monster Yamaha Tech 3. Atas sebab keadaan kesihatan yang dinamakan ‘Gilbert Syndrome’, Tech 3 bersama dengan SIC telah mengaturkan semula segala perancangan bagi membolehkan Hafizh Syahrin menyertai pasukan tersebut.

Pada ketika in, Hafizh adalah penunggang baru yang teratas dengan kutipan sembilan mata dalam tiga pusingan yang pertama, meletakkannya di P13 dalam kejohanan dunia, di hadapan empat penunggang ‘rookie’ yang lain DAN tujuh penunggang MotoGP yang lebih berpengalaman (empat orang daripada mereka adalah penunggang bagi pasukan pengilang KTM, Aprilia, dan Ducati).

Terdapat beberapa cara bagi SIC untuk mencapai matlamat ini, namun, ianya pasti akan datang dengan kos yang besar. Cara terpantas (dan mungkin sekali, paling mudah) untuk mencapai matlamat ini adalah dengan ‘memberi tajaan’ atau berkerjasama dengan salah sebuah pasukan persendirian yang sedia ada seperti Aspar, Marc VDS, atau Avintia.

Ada sesetengah pasukan yang telah menunjukkan minat untuk menggunakan jentera Yamaha pada musim hadapan dan dengan suntikan tajaan yang besar dari SIC, semua orang pasti akan berasa gembira dengan perjanjian ini, sekiranya ia berjalan dengan lancar. Buat masa ini, SIC telah pun menguruskan empat orang penunggang, antaranya ialah Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki dalam Moto3 (Petronas Sprinta Racing) dan Zulfahmi Khairuddin di Moto2 (SIC Racing Team).

Walau apa pun jua, ia pasti memberangsangkan apabila kita mendengar betapa pantas dan proaktifnya SIC dalam hal-hal yang bukan sahaja mengenai kebajikan dan pembangunan penunggang mereka sahaja, tetapi juga untuk masa hadapan, bagi meneruskan penglibatan dalam sukan permotoran untuk jangka masa yang panjang. Tahniah SIC!

Sumber imej: MotoGP

MotoGP: Johann Zarco Sertai Pasukan Pengilang KTM Bagi Musim 2019?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.