ads

MotoGP: Jonas Folger TIDAK AKAN BERLUMBA Pada Tahun 2018

  • Penunggang MotoGP Jonas Folger telah mengumumkan bahawa dia tidak akan bertanding dalam musim 2018 MotoGP.
  • Setelah gagal untuk pulih secara fizikal dan mental, penunggang berusia 24 tahun dari Jerman itu telah membuat keputusan tersebut walaupun setelah melalui satu musim sebagai penunggang ‘rookie’ yang amat memberangsangkan pada tahun 2017.
  • Folger telah didiagnos dengan keadaan genetik yang jarang ditemui, dinamakan “Gilbert Syndrome”, di mana buah pinggangnya tidak dapat memproses toksin badannya dengan berkesan.

Selepas persembahan yang memberangsangkan pada tahun lalu sewaktu musim pertamanya dalam MotoGP, penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3, Jonas Folger, telah mengejutkan ramai peminat dengan menarik diri daripada perlumbaan bagi tahun 2018. Keputusan itu dibuatnya kerana penunggang berusia 24 tahun dari Jerman itu tidak dapat pulih sepenuhnya secara fizikal dan mental semenjak dia didiagnoskan dengan satu penyakit yang jarang ditemui, “Gilbert Syndrome”, lewat musim lalu.

Ianya amat memelikkan bagi kebanyakan peminat MotoGP apabila Folger memutuskan untuk tidak berlumba untuk beberapa perlumbaan di penghujung musim 2017 di mana dia secara konsistennya telah menamatkan perlumbaan dalam kedudukan sepuluh teratas. Dia juga telah memperoleh penamat di atas podium pertamanya di hadapan peminat senegaranya di Sachsenring yang mana ianya boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang amat menakjubkan buat seorang penunggang ‘rookie’ yang menunggang bagi pasukan persendirian.

Dia telah menghidapi satu penyakit yang tidak diketahui yang menyebabkan dia menjadi amat lemah dengan tiba-tiba dan setelah diuji selama berminggu-minggu, doktor akhirnya mendiagnosnya dengan satu keadaan yang jarang ditemui iaitu “Gilbert Syndrome”. Keadaan genetik yang amat jarang ditemui ini hanya boleh dijumpai pada dua hingga lima peratus daripada jumlah populasi, dan ianya menyebabkan buah pinggang untuk tidak dapat memproses toksin badan secara berkesan.

Tidak dapat pulih sepenuhnya sebelum bermulanya musim 2018, dia telah berkata, “Saya berasa amat sedih untuk mengatakannya, tetapi saya tidak akan berlumba dalam MotoGP pada tahun 2018. Saya tidak dapat pulih sebaik yang saya harapkan, dan pada tahap ini saya tidak rasa yang saya mampu menunggang jentera MotoGP pada tahap 100 peratus.”

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutamanya pada pasukan Monster Yamaha Tech 3, Yamaha Factory Japan, Monster Energy, HJC, IXON, Forma Boots dan Rudy Project. Saya harap agar dapat kembali satu hari nanti dan ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan berterusan anda semua.”

Menurut Pengurus Pasukan Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal, “Semalam (Selasa) saya telah menerima panggilan dari Bob Moore, pengurus peribadi Jonas Folger, Saya tidak dapat mempercayai apa yang Bob beritahu saya di dalam telefon, yang Jonas Folger telah memutuskan untuk tidak berlumba bagi musim 2018 MotoGP kerana dia merasakan yang dia masih belum pulih 100 peratus secara mental dan fizikal. Ianya masih lagi sukar untuk saya terima, yang dia tidak akan berlumba dengan kami pada tahun 2018, lebih-lebih kerana dia adalah seorang penunggang yang amat saya harapkan dan saya berasa amat pasti yang kami akan mencapai tahap tertinggi bersama pada tahun ini.”

“Saya menghormati keputusannya itu, walaupun ianya sukar untuk diterima. Namun, saya akan cuba mencari jalan penyelesaian untuk seorang penunggang pengganti, yang mana ianya adalah satu misi yang sukar, kerana ke semua penunggang yang berbakat telah pun diikat kontrak mereka. Namun, seperti kebiasaannya dalam dunia perlumbaan, kami perlu bertindak proaktif, dan kreatif dan berharap yang kami dapat membuatkan seorang penunggang benar-benar gembira. Kami akan memastikan anda semua dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan keadaan ini.”

Kami mengharapkan yang Jonas Folger semoga pulih dengan segera dan Monster Yamaha Tech 3 berjaya mendapat penunggang gantian.

Sumber: MotoGP

Leave a Reply