Moto2: Zulfahmi Khairuddin Bersedia Untuk Musim 2018 Dengan Jentera Dan Kemasan Grafik Baru!

  • Zulfahmi Khairuddin telah memperkenalkan motosikal perlumbaan Moto2 Kalex terbarunya semalam di Litar Antarabangsa Sepang.
  • Baru sahaja dipanggil bagi menunggang untuk pasukan SIC Racing Team, penunggang berusia 26 tahun itu tidak sabar untuk kembali berlumba dalam kategori kelas pertengahan paling berdaya saing di dalam dunia.
  • SIC Racing Team telah bekerjasama dengan KBS Malaysia bagi menaja usaha Moto2 mereka untuk tahun 2018.

Salah seorang penunggang motosikal Malaysia yang ternama, Zulfahmi Khairuddin, yang telah diumumkan pada baru-baru ini sebagai salah seorang penunggang Moto2 yang akan mewakili Malaysia bagi musim 2018 telah memperkenalkan jentera serta kemasan grafik terbarunya itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam. Penunggang negara berusia 26 tahun itu bakal berlumba bagi pasukan SIC Racing Team dengan KBS Malaysia sebagai penaja utama mereka.

Pengumuman itu telah dibuat pada saat-saat yang terakhir (pada beberapa minggu yang lalu) sewaktu khabar angin mula tersebar yang Hafizh Syahrin mungkin akan mengorak langkah menyertai kelas MotoGP lebih pantas dari apa yang telah kita jangkakan. Dengan Jonas Folger terpaksa menarik diri bagi musim 2018, pasukan Monster Yamaha Tech 3 terpaksa mencari penggantinya dengan segera yang tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dengan mana-mana pasukan.

Hanya selepas selesainya ujian musim sejuk rasmi MotoGP 2018 barulah ketua pasukan Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal, mendekati Hafizh Syahrin sebagai salah seorang calon pengganti. Sejurus selepas itu, SIC mengumumkan bahawa Zulfahmi Khairuddin akan mengambil alih tempat Hafizh Syahrin dalam skuad Moto2 negara yang telah memberikan petanda bahawa Hafizh akan berpindah ke kelas MotoGP.

Dengan sebuah pasukan dan kru yang cukup dikenali, beserta dengan jentera perlumbaan Moto2 Kalex yang terbukti kehebatannya itu, Zulfahmi Khairuddin bersedia untuk menunjukkan seluruh dunia bakat yang ada pada penunggang negara dalam kelas pertengahan ini. Setelah menyempurnakan sesi ujian tiga hari di Valencia pada minggu lalu, Zulfahmi dan keseluruhan pasukannya itu berasa yakin dengan kebolehan motosikal 600cc itu dan berharap yang ianya bakal membawakan keputusan yang memberangsangkan bagi tahun 2018.

Kemasan grafik motosikal tersebut adalah hasil karya Twofive Design yang bertapak di Shah Alam, Selangor. Bagi mereka yang berminat dengan hasil karya mereka yang mengagumkan bolehlah melihat dengan lebih lanjut di laman Instagram rasmi mereka.

Sumber: SIC Racing Team

Hafizh Syahrin Bakal Menyertai MotoGP!