MotoGP: Johann Zarco Sertai Pasukan Pengilang KTM Bagi Musim 2019?

  • Penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3,Johann Zarco, dikatakan bakal berpindah menyertai pasukan pengilang KTM bagi musim 2019.
  • Khabar angin terkini mengatakan yang penunggang kelahiran Perancis itu telah mencapai kata sepakat bersama pengeluar dari Austria tersebut.
  • Jika ianya benar, Johann Zarco akan menjadi penunggang pasukan pengilang KTM dan akan mengemudi jentera MotoGP terkini mereka, KTM RC16, pada musim 2019 dan 2020.


Satu laporan yang telah dibuat baru-baru ini oleh Motorsport.com telah menyatakan bahawa penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3, Johann Zarco, telah bersedia untuk berpindah ke KTM untuk musim hadapan. Penunggang kelahiran Perancis itu telah lama dikaitkan dengan pengeluar dari Austria tersebut sejak pasukan semasanya mengesahkan peralihan mereka ke jentera KTM pada musim yang akan datang.

Sewaktu pusingan MotoGP yang lalu di Austin, Texas, berita telah mula tersebar mengenai Zarco mencapai kata sepakat dengan Pit Beirer, Pengarah KTM Motorsport, dan Thomas Uberall, Pengurus Red Bull Motorsport bagi pasukan pengilang KTM.

Jika berita ini ternyata benar, Johann Zarco akan menjadi penunggang pasukan pengilang bagi pasukan Red Bull KTM Factory Racing. Apabila semuanya telah dimeterai, kita akan menyaksikan Zarco mengemudi jentera KTM RC16 bagi musim 2019 dan 2020. Malangnya, ini mungkin sekali bermakna yang Bradley Smith bakal digugurkan kerana teman sepasukan semasanya dalam pasukan KTM, Pol Espargaro, telah pun mengutip lapan mata dalam kejohanan musim 2018 berbanding Smith yang masih lagi gagal mengutip sebarang mata.

Satu lagi spekulasi mengenai Johann Zarco berpindah ke Repsol Honda tampak semakin malap buat masa ini. Penunggang dari Perancis pernah menyuarakan keinginannya menyertai ‘pasukan impian’ Honda dan khabar angin ini sudah semestinya menyemarakkan lagi desas desus tersebut.

Jika ianya berlaku, ia juga bermakna yang Dani Pedrosa bakal digugurkan bagi memberi ruang kepada Zarco untuk menjadi teman sepasukan baru Marc Marquez (melainkan mereka mengambil keputusan untuk menampilkan sepasukan tiga penunggang seperti mana yang telah mereka lakukan pada tahun 2011 dengan Dani Pedrosa, Andrea Dovizioso, dan Casey Stoner).

Ini, bagaimana pun, tidak disenangi oleh Zarco. Sumber yang boleh dipercayai mengatakan bahawa kemungkinan menjadi teman sepasukan Marquez adalah sesuatu yang tidak mudah untuk Zarco terima. Ianya mudah untuk difahami memandangkan Honda lebih mengutamakan atur cara jentera Marquez berbanding Pedrosa kerana Marquez telah memenangi empat kejuaraan MotoGP dalam masa lima tahun dia berada dalam kelas premier ini.

Dan dengan kedudukan KTM yang masih lagi tidak menentu pada musim ini (tidak berada di tahap yang sepatutnya), adakah anda rasa yang Zarco telah membuat keputusan yang tepat? Walau apa pun keputusannya, tempat di pasukan pengilang MotoGp sudah pasti satu tawaran yang amat menarik sekali.

Mengenai teman sepasukan Zarco dan penunggang harapan negara, Hafizh Syahrin, ianya masih terlalu awal untuk ditentukan. Setakat ini, dia melakukan tugas dengan baik berada di tempat ke-13 dengan 9 mata bagi kejohanan musim ini, di hadapan penunggang-penunggang yang lebih ternama seperti adik-beradik Espargaro, Jorge Lorenzo, dan lapan orang penunggang yang lain. Sekiranya ianya berjalan dengan lancar, dia mungkin sekali dapat mengekalkan tempatnya dalam pasukan Monster KTM Tech 3 yang baru bagi musim 2019.

Sumber imej: MotoGP

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.