Imbau Kembali: Pandu Uji Volkswagen Vento 1.2 TSi [+video]


Artikel oleh: Chris Wee

Volkswagen Vento 1.2 TSi. Saya geram dengan kereta ini. Sejak pertama kali saya memandunya pada pertengahan tahun 2016 sewaktu sesi pandu uji media rasmi (di bawah), saya telah berasa yang saya pasti akan membencinya, dan ianya nyata tepat sekali ramalan saya. Tetapi, sebelum saya menyebabkan lebih banyak kekeliruan – kerana nada sindiran sukar dibaca dalam penulisan – benarkan saya untuk menjelaskannya. Saya bencikannya kerana ianya amat hebat sekali.

VW Vento 1.2 TSi adalah sebuah kereta “baby sedan” dalam keluarga Volkswagen, tetapi, jangan anda pandang rendah akan kebolehannya. Kegeraman saya pada kereta ini berpunca dari cukai jalan tahunannya yang serendah RM55, di mana saya perlu membayar lima kali ganda daripada jumlah tersebut setiap tahun, untuk sebuah kereta yang sedikit pun tidak tercapai tahap kehebatan kereta “baby sedan” ini. Sebuah kereta dengan cukai jalan serendah RM55 tidak sepatutnya sehebat ini!

Dan itu hanyalah salah sebuah kereta yang berkapasiti lebih kecil yang saya miliki, yang saya bandingkan dengan VW Vento ini, tidak lagi saya sentuh kereta berkapasiti 2,800cc yang saya milik, yang mana saya bayar 25 kali ganda untuk cukai jalan tahunannya. Dan sekali lagi, ia tidak dapat menyentuh kehebatan kereta ini. Sedikit pun tidak. Anda fahamkan perasaan saya kini?

Sesungguhnya, VW Vento ini membuatkan saya menilai kembali pilihan gaya hidup saya untuk pengangkutan peribadi. Sebagai peminat kereta klasik dan retro, saya mula mempersoalkan kemungkinan menjual semua kereta yang saya miliki, untuk membeli kereta ‘baru’ macam Vento ini. Ianya bukan satu pencapaian yang mudah bagi Vento untuk menggugat kesetiaan saya, dan ianya ternyata melakukannya dengan baik sekali.

Pandu uji media rasmi ini menyusuri jalan-jalan persekutuan, negeri dan juga lebuh raya, untuk menguji pemecutan dan pengendaliannya. Di atas jalan raya awam, VW Vento ini beraksi dengan amat baik sekali, meluru ke selekoh demi selekoh dengan kelincahan yang menakjubkan. Di atas lebuh raya pula, sewaktu kami tidak memandunya secara santai, menikmati tahap keselesaannya yang dipertingkatkan, dan tahap NVH yang rendah, ia mampu bersaing dengan sedan berkapasiti lebih besar. Sebagai contoh, sebuah kereta sedan 2.4 yang cukup popular untuk kepantasannya.

Kereta Vento ini mampu mengekori kereta sedan tersebut pada kelajuan melebihi 190km/j (gambar sebenar di atas), dan pada masa yang sama, kekal bersahaja, bagaikan tidak didesak langsung. Pemandu bersama saya, yang memandunya pada ketika itu, seorang yang tidak mudah berpuas hati, turut berasa kagum. Begitu juga dengan saya.

105Ps dan 175Nm mungkin bukan satu jumlah yang besar, dan saya dapat rasakan ada sesuatu di sebaliknya. Ternyata benar firasat saya, di mana enjinnya adalah enjin cas turbo, suntikan terus, 4 silinder berkapasiti 1,197cc (punca mengapa cukai jalan tahunannya teramatlah rendah).

Sebagai perbandingan, motosikal Kawasaki Voyager XII yang saya miliki mempunyai enjin yang lebih besar, dan sekali lagi, bukan tandingan kereta Vento ini. Oh ya, cukai jalan tahunannya juga lima kali ganda berbanding VW Vento ini. Untuk spesifikasi penuh dan senarai Harga VW Vento ini, TEKAN SINI.

Sekiranya anda bosan membaca mengenai rungutan saya betapa tidak adilnya kereta ini, saksikanlah pula video dalam kereta sewaktu saya memperolehi kereta Vento kecil ini untuk pandu uji.

Untuk kali ini, sebagai mengimbau kembali kenangan lalu, saya telah memperolehi VW Vento ini untuk seminggu, dan setelah puas memandunya, ini rumusan saya mengenai “baby sedan” ini.

VW Vento, kereta yang telah membuatkan saya mempersoalkan segalanya yang tersemat di jiwa saya, berkaitan dengan dunia automotif, dan untuk sebab itu, dan sebab itu sahaja (…mungkin juga diatas sebab harganya yang di bawah RM100,000), saya benci akan kereta ini…. Kot… – Chris Wee.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]