KMSB Dengan Jayanya Telah Menganjurkan Kawasaki Track Day 2018

  • Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah menganjurkan acara Kawasaki Track Day 2018 pada hari Ahad (6 Mei 2018) yang lalu.
  • Kira-kira 100 orang pemilik Kawasaki telah menyertai acara hari litar yang menyeronokkan ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
  • Juara ARRC 2017, Azlan Shah Kamaruzaman juga turut serta dalam acara ini bagi menguji jentera Ninja ZX-10R milik Chia Motor PJ Racing Team bagi siri perlumbaan Malaysian Superbike Championship (MSC) musim ini.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 negara, ketegangannya semakin dapat dirasakan dan Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah menganjurkan Kawasaki Track Day 2018 semalam bagi membantu para pemilik Kawasaki untuk melepaskan tekanan itu. Dan tiada cara yang lebih baik bagi seorang peminat motosikal untuk melepaskan tekanan daripada turun untuk hari litar!

Kira-kira 100 orang pemilik motosikal Kawasaki dari seluruh negara telah berkumpul di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Tidak kiralah sama ada pemilik motosikal Kawasaki Ninja 250, hinggalah ke pemilik motosikal Kawasaki Ninja H2R, ke semua mereka telah berhimpun untuk menikmati keseronokan menunggang mengelilingi litar tersebut.

Sesi pagi semalam juga telah turut disertai oleh salah seorang penunggang professional terkenal negara, Azlan Shah Kamaruzaman. Penunggang berusia 33 tahun itu, yang juga merupakan juara kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) tahun lalu, baru sahaja memeterai perjanjian bersama pasukan Chia Motor PJ Racing dan akan bersaing dalam siri perlumbaan Malaysian Superbike Championship (MSC).

Azlan akan mengambil bahagian dalam kategori Superbike MSC dan menganggapnya sebagai pentas yang terbaik bagi menyediakan dirinya bagi tahun 2019, di mana dia akan bertanding dalam kelas Superbike 1,000cc yang pertama seadanya dalam siri perlumbaan Asia Road Racing Championship.

Ianya satu pemandangan yang menakjubkan, menyaksikan para penunggang harian mengemudi jentera kesayangan masing-masing di atas litar bertaraf dunia, seiring dengan para pelumba dan juara dalam dunia sukan permotoran. Dan ia juga amat menyeronokkan untuk menyaksikan beberapa buah jentera Kawasaki H2 dan H2R bersama pemilik mereka memecut laju di atas laluan panjangnya, bagaikan si buas yang telah kembali ke habitat asalnya, bebas dan liar.

Ahli pasukan TOC Automotive College (TOC) juga turut serta dalam kemeriahan ini bersama dengan jentera Ninja ZX-10R mereka. Pasukan perlumbaan tersebut telah dibangunkan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan Kursus Juruteknik Superbike mereka yang terkini, yang akan bermula pada bulan Julai yang akan datang. Mereka juga bakal bertanding dalam siri perlumbaan MSC, yang akan bermula pada minggu hadapan di SIC.

Ianya merupakan satu acara yang hebat sekali yang telah dianjurkan oleh KMSB, dan bagi para penggemar serta peminat Kawasaki di Malaysia (dan juga di negara-negara jiran), bersiap sedialah kerana masih ada pelbagai lagi acara yang akan dianjurkan pada masa yang terdekat ini. Buat masa ini, kita hanya perlu sabar menantikan pelancaran motosikal terbaru mereka yang amat mengujakan, Kawasaki Ninja 250 dan 400 2018!

Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk segenap berita dunia permotoran.

Tunggang Uji: Kawasaki Z900RS 2018