Tunggang Uji: KTM RC 390 2017

Artikel oleh: Sep Irran

  • Model KTM RC 390 2017 telah diperkenalkan pada bulan Oktober tahun lalu bersama dengan model KTM RC 250 2017.
  • Pelbagai kemaskini telah diterapkan pada motosikal ini, di antara adalah ‘Ride-by-Wire’, klac ‘slipper’, dan casis.
  • Ditetapkan pada harga RM29,800 (harga asas beserta GST), motosikal KTM RC 390 2017 ini sudah pasti merupakan satu pilihan yang baik untuk tunggangan di atas litar dan tunggangan hujung minggu.

Bukan penulis….

Putar balik masa kembali ke tahun 2014, dan penulis teringat akan masa dan keadaan yang berbeza. Setelah beberapa tahun bertugas di salah sebuah ‘universiti antarabangsa’, skuter kesayangan yang agak tua milik penulis, Modenas Karisma, sudah tidak mampu meneruskan hayatnya. Setelah berkhidmat bertahun lamanya, ia sudah sampai ke penghujung nyawanya.

Daripada membelanjakan sejumlah besar wang untuk memperbaiki model yang telah dihentikan tersebut, dan kemudiannya mengulanginya pada masa yang akan datang, penulis memutuskan sudah tiba masanya bagi mendapatkan sebuah motosikal serba baru. Sebuah kedai di Kota Damansara yang menjual model KTM dan Vespa telah menghubungi isteri penulis (dengan bantuan seorang lagi ahli keluarga) dan kami telah pun ke kedai tersebut keesokan harinya untuk melihat sendiri model-model yang tersedia.

Motoaladdin, Kota Damansara

Penulis akhirnya memutuskan untuk mendapatkan sebuah skuter Vespa Primavera 150cc, yang mana pada beberapa minggu pertama pemilikannya, penulis rasa seperti satu langkah yang silap (penulis telah dapatkan ekzos sistem penuh Akrapovic beberapa minggu kemudian bagi menyedapkan hati). Jauh di sudut minda, model KTM RC 390 yang berada betul-betul di hadapan kedai tersebut acap kali telah menyeru-nyeru penulis dan penulis sering teringatkan motosikal tersebut sejak itu.

Tahun lalu, KTM memperkenalkan model KTM RC 390 2017 yang telah dikemaskini bersama dengan saudaranya yang lebih kecil, RC 250. Pada harga RM29,800 (harga asas beserta GST), motosikal sekali lagi bermain di minda penulis dan kami telah berpeluang untuk menunggang ujinya pada awal bulan ini. Sejujurnya, kami berasa agak teruja dengan idea tersebut. Kami telah menunggang uji KTM 390 Duke 2017 dan juga KTM 250 Duke 2017 yang baru, dan kami telah menguji sehingga ke batasannya bagi melihat sendiri betapa berbezanya RC 390 yang baru ini berbanding dengan saudaranya yang ‘naked’ itu.

Pertama sekali, tiada banyak perbezaan yang besar pada bahagian luarannya, kecuali pada panel badan yang dikemaskini, skema warna dan ekzos sisi yang baru. Aturcara ekzos yang baru ini bagaimanapun telah memberikan kelegaan tanah yang lebih baik jadi, mereka tinggal di kawasan yang mempunyai bonggol yang besar tidak perlu terlalu risau akan masalah tersebut dengan motosikal ini.

Ergonomik penunggangannya telah disediakan untuk posisi menunggang yang lebih ke arah ‘supersport’, yang mana membayangkan bahawa motosikal RC 390 baru ini lebih elok untuk tunggangan di atas litar berbanding kegunaan perjalanan harian. Cara duduk yang agresif itu dipertingkatkan lagi dengan palang pemegang yang lebih lebar dan juga lebih tinggi, yang mana kami dapati amat baik dalam menangani selekoh dan untuk menyelusup di celah-celah kesesakan trafik.

Namun begitu, ianya bukannya kedudukan palang pemegang yang terbaik sama ada untuk penunggangan atas litar atau pun di atas jalan raya, tetapi, ianya satu imbangan yang membolehkannya ditunggang di dalam kedua-dua senario dengan baik.Oleh kerana ergonomik penunggangannya lebih ke arah tunggangan litar, motosikal RC 390 baru ini sesuai untuk penunggang yang baru berjinak-jinak dengan tunggangan atas litar, tetapi, memerlukan sedikit pengubahsuaian dan aturcara untuk penunggang yang lebih mahir.

Casis yang diperkemaskini itu berfungsi dengan cukup baik dalam semua keadaan menunggang. Secara keseluruhannya, ia menawarkan tunggangan yang teramat lancar dengan getaran yang amat kecil yang membuatkan kebanyakan penunggang terasa kurang selesa selepas beberapa kilometer. Digandingkan dengan enjin Euro4 satu silinder, 373cc, pecutan sehingga ke kelajuan lebuh raya (dan yang lebih tinggi) cukup menakjubkan.

Bagaimana pun, ada satu kelemahan pada enjin 373cc, 44hp tersebut. Radiatornya telah dipertingkatkan untuk prestasi penyejukan yang lebih baik, namun, kipas penyejuk yang disertakan telah mengeluarkan bunyi yang cukup kuat sehinggakan ia dapat menenggelami bunyi enjin sewaktu enjin tersebut dalam keadaan melahu. Satu lagi isu yang timbul adalah haba yang dihasilkan oleh RC 390 ini, dan anda pasti akan terasa bahangnya, terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat. Penyelesaiannya? Tunggang dengan pantas.

Kelajuan melebihi 170km/j boleh dicapai dengan motosikal RC 390 baru ini tetapi, sebaik sahaja enjinnya mencecah had RPM-nya, ia akan memotong kuasa enjin motosikal tersebut dan anda akan terasa ledakan rasa yang berat menarik anda ke belakang. Pengalaman ini dirasai dengan serta merta dan akan mengejutkan anda pada kali pertamanya namun ia akan mengajar anda yang motosikal ini tidak perlu didesak sehingga batasannya, lebih-lebih lagi dalam situasi penunggangan atas litar. Dalam menangani selekohlah motosikal ini mula menunjukkan kehebatannya.

Suspensi hadapan, fork hadapan terbalik 43mm WP Suspension telah diterapkan dengan DNA perlumbaan, di mana ianya mempunyai diameter yang sama dengan satu-satunya motosikal superbike KTM, RC 8. Ada yang akan mengatakan yang ianya agak lembut kerana ianya ditala untuk situasi tunggangan di atas jalan raya namun nisbah mampatan dan lantunannya cukup mengagumkan sewaktu melalui selekoh.

Malang sekali, ianya bukanlah suspensi boleh laras sepenuhnya, jadi, penunggang dengan berat 70kg (ke bawah) akan mendapat lebih manfaat dari atucara semasanya ini. Berita baiknya adalah ianya amat serasi dengan agihan kuasa keseluruhan motosikal tersebut di sepanjang jangkauan RPM. Ini juga telah dibantu dengan sistem ‘Ride-by-Wire’ serba baru yang berfungsi dengan hebat sekali dalam memodulasikan tindak balas pendikit. Tiada senggang masa dalam agihan kuasa dan ianya juga tidak terlalu serta merta.

Pakej pembrekannya juga telah dipertingkatkan lagi dengan beberapa kelengkapan seperti cakera brek hadapan yang lebih besar, 320mm, digandingkan dengan angkup empat omboh jejari ByBre dan ABS dwi-saluran. Tuil klac dan brek boleh laras juga disertakan sebagai kelengkapan standard bagi membolehkan lebih banyak versatiliti dan pembrekan dan maklumbalasnya juga tidak terlalu ketara. Hanya sedikit sahaja motosikal lumba tahap mulaan yang dapat menawarkan perasaan yang sama, dan pembrekannya adalah salah satu perkara yang mengujakan kami sewaktu menunggang motosikal RC 390 yang baru ini.

Dengan beratnya yang amat ringan (147kg), pembrekan yang keras sewaktu kelajuan tinggi tidak akan mencipta sebarang drama dari bahagian hadapannya tetapi ia cenderung membuatkan bahagian belakangnya terasa amat ringan. Brek dengan lebih kuat lagi dan anda akan mendapati yang tayar belakangnya terangkat dari tanah, namun, ianya rencah kehidupan seorang penunggang litar dan RC 390 ini memenuhi fitrah itu dengan ria sekali.

Namun begitu, ada satu kelemahan yang ketara pada brek belakangnya. Kami mendapati yang ianya agak lembut dan seakan-akan tiada gunanya sewaktu membrek keras, jadi, perubahan pada gaya pembrekan dan pembahagian berat perlu dipertimbangkan bagi menjinakkan si buas ini sebelum memasuki selekoh. Untuk tidak menghiraukan brek belakang sama sekali tidaklah digalakkan kerana ianya dapat membantu dengan prestasi daya henti, jadi, memstabilkan motosikal dengan menginjakkan berat badan ke bahagian belakang mungkin dapat membantu dalam situasi sebegini.

Ianya memerlukan latihan yang banyak dan mencari imbangan berat yang sesuai akan banyak membantu dalam mengoptimumkan prestasi pembrekan motosikal. Bagi tunggangan di atas jalan raya pula, ABS dwi saluran didatangkan sebagai kelengkapan standard dan ianya berfungsi dengan amat baik sekali. Tidak ketara sewaktu situasi penunggangan biasa namun akan berfungsi apabila diperlukan.

Anda boleh pilih untuk matikan keseluruhan ABS dengan bantuan butang rahsia ketiga pada pemaparnya (butang yang sama yang boleh dijumpai pada model sebelumnya) untuk pengalaman menunggang yang lebih baik di atas litar. Bagaimana pun, motosikal ini akan mengingatkan anda dengan memaparkan peringatan “Not Legal” apabila ABS dimatikan, jadi, gunakan ciri di atas litar, dan bukannya di atas jalan raya.

Terdapat juga satu tambahan baru, iaitu klac ‘slipper’, yang mana ianya satu tambahan yang dialukan dalam pakej RC 390 yang baru itu. Ia berfungsi dengan hebat dalam mengurangkan ‘wheel hops’ dan mencegah tayar belakang terkunci. Ciri ini juga membantu menjadikan RC 390 baru ini seronok di atas jalan raya mahu pun litar. Ia juga membantu dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan keseluruhan apabila digabungkan dengan sistem ABS motosikal tersebut supaya penunggang yang baru tidak terlalu gerun dengan prestasi motosikal tersebut.

Secara keseluruhannya, kami rasa cukup seronok dengan motosikal KTM RC 390 2017 ini tetapi sejujurnya, ianya bukan motosikal yang kami ingin tunggangi setiap hari. Harganya cukup berpatutan sebagai sebuah pakej yang menyeronokan bagi hari di litar dan tunggangan hujung minggu menaiki jalan berbukit namun sebagai tunggangan harian berulang alik dari rumah ke tempat kerja akan membuatkan anda lebih penat.

Ini dapat dielakkan sekiranya anda mempunyai kekuatan teras yang baik bersama dengan pengetahun dan pengalaman menunggang menggunakan bahagian bawah badan anda. Penunggang baru belajar sering kali meletakkan keseluruhan berat mereka pada lengan mereka, dan ke semua tekanan dan berat tersebut akan membuatkan anda berasa penat dengan pantas, jadi, anda pasti akan merasakan kesannya pada pagi yang berikutnya setelah seharian menunggang.

Motosikal KTM RC 390 2017 ini sudah semestinya satu pilihan yang baik untuk bermain di atas litar dan juga sebagai motosikal peralihan daripada 250cc sebelum anda mencuba motosikal supersport dan superbike. Pada pandangan kami, motosikal RC 390 ini akan menjadikan anda penunggang yang lebih baik sekiranya digandingkan dengan pengetahuan menunggang yang betul.

KTM 790 Duke 2018 Bakal Tiba Di Malaysia?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]