KTM 390 Duke 2017 – “Are You DUKE Enough?”

  • Motosikal KTM 390 Duke 2017 telah dilancarkan di Malaysia pada 26 September 2017 dengan slogan “Are you DUKE enough?
  • Diinspirasikan oleh saudaranya yang lebih besar dan lebih berkuasa, motosikal KTM 390 Duke R 2017, motosikal Duke tahap permulaan ini tertumpu kepada prestasi serta rekaan.
  • Dengan tanda harganya yang terletak di bawah sedikit daripada paras RM30,000, motosikal 390 Duke yang baru ini adalah salah sebuah motosikal naked tahap permulaan yang paling lengkap di pasaran buat masa ini.


Sewaktu motosikal KTM 390 Duke 2017 yang serba baru ini dilancarkan hanya beberapa minggu yang lalu, ia tampil dengan satu cogan kata yang amat gah yang kekal terpahat di minda kami hingga ke hari ini. Apakah yang telah dimaksudkan oleh KTM Malaysia apabila mereka mengutarakan kepada semua orang soalan “Are you DUKE enough?

Sehari selepas pelancarannya, kami telah diberi peluang untuk mencuba motosikal 390 Duke yang baru ini beserta dengan saudaranya yang lebih kecil, 250cc, bersama-sama dengan beberapa peserta bertuah yang lain. Kami amat kagum akan motosikal 390 Duke ini sehinggakan kami telah memutuskan untuk menunggang ujinya pada hujung minggu untuk benar-benar mendalami apa yang telah dijanjikan oleh KTM Malaysia dari segi kebolehan motosikal berkenaan dan bagaimana ia mempersembahkannya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai liputan pelancarannya, TEKAN SINI.

Yang pertama sekali, perubahan yang paling ketara (dan ianya satu perubahan yang amat baik) yang telah dibuat pada motosikal 390 Duke terbaru ini adalah rekaannya. Disuntik dengan DNA yang sama yang telah diambil daripada saudaranya yang lebih besar dan lebih berkuasa, motosikal KTM 1290 Super Duke R 2017, anda pasti akan menyedari dengan serta merta lampu hadapan LED keseluruhannya itu. Sejumlah 20 lampu LED telah diterapkan di dalam pakej lampu hadapan yang kemas ini yang menjadikannya salah sebuah ciri paling ketara motosikal ini.

Untuk membaca tanggapan tunggangan kali pertama kali motosikal KTM 390 Duke 2017 dan motosikal KTM 250 Duke 2017 yang baru, TEKAN SINI.

Meneruskan lagi cerita mengenai rekaannya, motosikal ini tidak dapat dinafikan lagi adalah antara motosikal naked tahap permulaan yang tercantik buat setakat ini. Tiada satu bahagian pun yang terdapat pada motosikal 390 Duke ini yang tampak murah atau dihasilkan dengan tergesa-gesa. Gabungan yang hebat antara bucuan-bucuan tajam dan garisan-garisan yang lancar menjadikan motosikal 390 Duke ini tarikan ramai ke mana sahaja ia pergi. Jika anda suka dan ingin di beri perhatian, motosikal ini cocok sekali dengan anda.

Satu perkara yang sudah pasti anda perasan mengenai motosikal ini adalah motosikal 390 Duke ini bersaiz lebih kecil sedikit berbanding dengan generasi sebelumnya. Ergonomik penunggangannya juga telah diubah bagi disesuaikan dengan perubahan dimensinya dan ianya satu tindakan yang bijak sekali.

Direka untuk menjadi lebih kompak, ia berhak mendapat gelarannya iaitu “The Corner Rocket”. Berbanding dengan motosikal 390 Duke yang terdahulu, model 2017 ini mempunyai ketinggian pelana dan kelegaan tanah yang lebih tinggi TETAPI jarak antara roda yang lebih pendek, membolehkannya menangani sebarang selekoh dengan lancar sekali. Jika ada apeks diletakkan di setiap selekoh di atas jalan raya, anda pasti yakin menangani setiap satu daripadanya dengan ketepatan yang jitu apabila anda bersiar-siar di atas motosikal KTM 390 Duke 2017 ini.

Anda lebih gemari penunggangan yang santai? Motosikal 390 Duke 2017 ini juga turut menawarkannya sekiranya anda inginkan persiaran yang tenang mengelilingi kejiranan anda. Enjin DOHC, sejukan cecair, satu silinder, 373cc membolehkan penunggangan yang lancar pada rpm yang lebih rendah namun sewaktu anda dambakan kuasa dan daya kilas serta merta, anda hanya perlu pulas pendikitnya (yang dikawal melalui sistem “Ride-by-Wire” yang mengagumkan) dan anda akan mendapat 44hp dan 37Nm tork maksima. Tidak kiralah bagaimana cara penunggangannya, motosikal 390 Duke 2017 ini sudah pasti akan membuatkan sesiapa sahaja tersenyum gembira.

Dengan ke semua kuasa itu, ada yang akan pasti berpendapat yang ianya bukanlah jentera berulang alik yang baik. Kami di sini merasakan sebaliknya. Dengan kedudukan menunggang yang baik yang membolehkan penunggangan yang lancar walaupun ketika meredah kesesakan trafik, motosikal 390 Duke yang baru ini cukup mudah untuk dikendalikan walaupun bagi penunggangan pergi dan balik dari tempat kerja. Digandingkan dengan kapasiti tangki bahanapi yang lebih besar pada tahap 13.4 liter, anda dapat pergi lebih jauh dan lebih lama tanpa perlu melakukan hentian untuk isian semula yang kerap di stesen minyak petrol.

Satu lagi ciri yang menakjubkan yang dapat dijumpai di atas motosikal 390 Duke terbaru ini, yang tidak ada pada mana-mana motosikal tahap permulaan yang berada di pasaran sehingga hari ini adalah paparan TFT digital pelbagai warnanya yang amat cantik itu. Skrinnya membolehkan anda mengubahsuai maklumat apakah yang berkaitan dengan motosikal yang akan terpapar hanya dengan sentuhan satu butang beserta dengan kawalannya yang diletakkan di sebelah kiri palang pemegang.

Terdapat juga pilihan untuk melaraskan sistem ABS dwi-saluran yang terdapat pada motosikal 390 Duke terbaru ini. Pada mod “Road” yang normal, kedua-dua ABS hadapan dan belakang akan bekersama bagi memberikan prestasi pembrekan yang baik dan terkawal namun sekiranya anda memilih untuk mematikannya atau menghidupkan “Supermoto Mode” untuk mematikannya hanya ABS belakangnya untuk melakukan aksi gelongsoran roda belakang ketika anda inginkan lebih kawalan di atas litar. Ya, anda boleh berseronok di atas litar dengan motosikal 390 Duke yang baru ini.

Terdapat juga sistem “KTM MY RIDE” yang membolehkan anda menghubungkan telefon pintar anda melalui Bluetooth bagi menerima sebarang panggilan yang masuk atau memainkan sebarang muzik sewaktu berada di atas jalan raya. Pastikan anda menggabungkan ciri yang mengagumkan ini dengan peranti Bluetooth yang sesuai untuk helmet anda.

Ciri-ciri yang lain yang menjadikan motosikal 390 Duke 2017 ini lebih hebat daripada pendahulunya adalah pakej suspensi keseluruhan WP (fork hadapan USD 43mm), klac ‘slipper‘, cakera brek 320mm yang lebih besar dengan angkup Brybre empat omboh (dibangunkan oleh Brembo), adalah di antara sesetengah ciri-ciri tersebut.

KTM Malaysia telah meletakkan harga motosikal KTM 390 Duke 2017 ini pada tahap RM28,800 (harga asas beserta GST). Pada saat dan waktu ini, anda tidak akan dapat jumpa mana-mana motosikal yang dinilai pada harga di bawah tahap RM30,000 dengan ciri-ciri dan spesifikasi berteknologi tinggi secanggih ini. Dari sistem “Ride-by-Wire”nya sehinggalah paparan TFT pelbagai warnanya, ianya sudah pasti di antara motosikal naked tahap permulaan yang terbaik yang berada di pasaran pada waktu ini.

Selain itu, anda juga boleh memilih untuk mengkhususkan motosikal 390 Duke anda dengan kelengkapan premium KTM PowerParts yang ditawarkan untuk pilihan motosikal naked terkini mereka. Khusus untuk model ini, anda akan dapati terdapatnya beberapa kelengkapan yang menarik seperti ekzos pautan sisi Rangkaian Slip-on Akrapovis, cakera brek hadapan beralun, penutup silinder utama hadapan dan belakang, plag penutup pencucuh pengilang dan penutup penapis minyak, kit pelindung tuil klac dan brek, tuil klac, kit pelekat ‘wheel trim ring‘, pad gelincir, pad tangki, dan pelindung rantai.

Berbalik pada soalan “Are you Duke Enough?” Jelas sekali, ianya satu cabaran. Ianya satu cabaran untuk anda mengalami sesuatu yang tidak ditawarkan oleh motosikal yang lain dalam kelasnya. Ianya satu cabaran untuk menangani segala selekoh dengan cekal dan berkarisma digabungkan dengan kelancaran mekanikal yang merupakan satu kombinasi yang jarang ada pada sebuah motosikal naked tahap permulaan.

Dan yang lebih utama lagi, ianya satu cabaran buat motosikal yang bergaya sama yang lain di pasaran untuk menandingi apa yang KTM dengan yakinnya anggap sebagai yang terbaik di antara terbaik. Motosikal KTM 390 Duke 2017 ini sudah pasti seorang pesaing yang berkebolehan tetapi brwaspadalah, ianya akan menjadi pertarungan yang sukar buat sesiapa sahaja yang cukup berani menandingi kehebatan motosikal naked terbaru yang dihasilkan oleh para bijak pandai dari Austria yang berada di KTM ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.