- Andrea Dovizioso (Ducati Team) akan memulakan perlumbaan MotoGP hari ini di Republik Czech dari Petak Pertama.
- Penunggang Movistar Yamaha, Valentino Rossi, mencatatkan masa pusingan yang pantas di saat-saat akhir yang meletakkannya di P2.
- Marc Marquez (Repsol Honda) akan memulakan perlumbaan kelas premiernya yang ke-100 di P3.
Semua mata tertumpu pada penunggang Repsol Honda, Marc Marquez, yang berharap dapat menunjukkan prestasi yang baik bagi kemunculan kali ke-100nya dalam kelas premier MotoGP. Malang sekali, tumpuan itu telah dicuri oleh penunggang Ducati, Andrea Dovizioso yang telah berjaya mempamerkan aksi yang pantas pada sesi kelayakan yang akan menyaksikannya memulakan Monster Energy Grand Prix of the Czech Republic di Petak Pertama.
Ianya pasti sesuatu yang menggembirakan buat Dovizioso, kerana ianya Petak Pertama-nya sejak MotoGP Malaysia di Sepang pada tahun 2016! Mengeruhkan lagi keadaan buat Marquez, penunggang Movistar Yamaha, Valentino Rossi, sekali lagi telah membuat kejutan dengan melonjak naik dari kedudukan terakhir ke P2 sewaktu sesi Q2.
Jorge Lorenzo (Ducati Team) mendapat kedudukan petak yang pertama di barisan kedua, diikuti oleh Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol), dan pengganti Lorenzo pada musim hadapan, Danilo Petrucci (Alma Pramac Racing) di P6. Prestasi Lorenzo di Q2 menunjukkan prestasi memberangsangkan dan berdasarkan prestasinya sejak enam perlumbaan yang lalu, kita pasti akan dapat menyaksikannya mendahului beberapa pusingan dalam perlumbaan ini, dan kemungkinannya, dia bakal mendapat tempat di atas podium.
Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) tampak seperti sudah mendapatkan rentaknya kembali selepas rehat musim panas. Mencatatkan masa 1’55.221 (0.532 saat di belakang Dovizioso), dia akan memulakan perlumbaan hari ini di Barisan 3 di hadapan pasangan penunggang Suzuki Ecstar, Andrea Iannone dan Alex Rins.
Dani Pedrosa (Repsol Honda) melengkapkan 10 teratas di Barisan 4, diikuti oleh Tito Rabat (Reale Avintia Racing), dan yang mengejutkan sekali, Maverick Viñales. Viñales serta sebilangan besar penunggang telah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan atur cara yang sesuai dengan litar Brno ini, dengan keadaan litar yang senantiasa berubah.
Penunggang kebanggaan negara, Hafizh Syahrin (Monster Yamaha Tech 3), akan memulakan perlumbaan MotoGP pertamanya di litar Brno di P16, di hadapan Jack Miller (Alma Pramac Racing), dan juga penunggang ‘wildcard’ pusingan ini, Stefan Bradl (HRC Honda Team), di Barisan 6.
Perlumbaan hari ini akan bermula dengan Moto3 pada jam 5 petang, diikuti dengan Moto2 pada jam 6.20 petang, dan akhir sekali, MotoGP pada jam 8 malam (waktu tempatan).
Sumber imej: MotoGP