Tunggang Uji: Harley-Davidson Sportster 48 Special – Rupa Paras Retro Menawan Buat Sebuah Tunggangan Dalam Bandar

  • Harley-Davidson Sportster 48 Special adalah salah sebuah model paling popular di antara model Sportster.
  • Rupa parasnya yang menawan itu hadir atas jasa susuknya yang renek dan juga tayar hadapannya yang besar dan ikonik.
  • Tangki bahanapi 8 liternya itu membuatkannya lebih sesuai sebagai sebuah tunggangan dalam bandar berbanding sebuah tunggangan jarak jauh.
  • Sekiranya anda mementingkan gaya, model 48 ini pilihan yang tepat untuk anda.
  • Model 48 Special ini dilengkapi dengan gaya retro seperti bahagian berkroma dan jalur tangki era AMF.

Di mana model Harley-Davidson Sportster Iron 1200 adalah sebuah chopper tegar berprestasi tinggi yang mampu membuatkan penggemar motosikal lumba terkesima, model Sportster 48 pula adalah sebuah cruiser yang amat santai dengan rekabentuk yang mengimbau kembali model Harley vintaj era 60-an.

Tayar hadapannya yang besar dan ikonik, susuknya yang renek, serta pelana tunggalnya, ke semuanya untuk memastikan yang motosikal ini tampak ranggi. Dan ianya sememangnya teramat ranggi.

Penulis telah meminati model 48 ini buat sekian lama. Penulis memiliki sebuah Sportster 48 2014 dan amat menyukainya, terutamanya perwatakannya yang santai, namun, pada masa yang sama, berkuasa. Dan sudah pasti kerana rupa paras klasiknya itu. Jadi, sekiranya cuaca tidak terlalu panas dan penulis tidak terlalu sibuk, saya akan bersiar dengan model 48 itu.

Model Iron 1200 mungkin sahaja mempunyai gaya ala chopper yang ikonik dan ergonominya membuatkan anda berasa amat yakin menangani selekoh. Namun, model 48 ini berbeza, ia menggalakkan anda untuk mengambil masa anda dan menikmati perjalanan tersebut, ada memanggilnya ‘thinking-man’s bike’, buat mereka yang berjiwa bebas yang ada tempat yang perlu ditujui dan orang untuk ditemui.

Model 48 ini lebih renek berbanding model Iron, lebih kurang satu inci lebih rapat ke tanah, dengan ‘rake’ dan ‘trail’ yang lebih besar, dan jarak antara roda yang lebih pendek. Tayarnya pula, sudah pasti lebih ‘sado’ dengan tayar hadapan ‘130 section’ dan rim 16 inci yang lebih kecil, manakala bagi Iron 1200 pula, tayar ‘100 section’ dengan rim 19 inci yang lebih besar. Kedua-duanya menggunakan tayar belakang 150/80B yang sama.

Roda dan posisi duduknya adalah perbezaan yang paling ketara di antara kedua-dua motosikal ini, di samping perbezaan-perbezaan yang lain. Model Iron 1200 membolehkan anda mengiring dengan lebih sewaktu memasuki selekoh, yang bermakna lebih kelajuan dan kelincahan, manakala model 48 pula terasa ia tidak puas untuk mengiring sewaktu tempat letak kakinya terseret di atas jalan raya.

Binaan motosikal ini memberikannya aura ‘heavy metal’ padanya, dan anda pasti akan terasa akan berat motosikal ini. Kabel yang menyelirati bahagian bawah palang pemegang dan bawah kerangkanya mengandaikan bahawa motosikal ini akan memberikan anda pelbagai pilihan pengkhususan pada masa yang akan datang, jadi, anda tidak akan berasa bosan memilikinya.

Tinggal di Kuala Lumpur bermakna anda sering dikelilingi trafik, pembinaan dan juga bangunan, dan walaupun model 48 terasa cocok dengan jalan raya yang menyusuri bukit di Split, Croatia, saya mesti mengakui, melalui pengalaman saya, ia juga cukup sesuai dengan kehidupan di hutan konkrit bandaraya. Ia tidaklah mempunyai radius pusingan yang baik untuk pusingan-U yang tajam, tetapi, sekurang-kurangnya anda nampak ranggi sewaktu terkial-kial cuba membuat pusingan.

Dan dengan itu, setelah meluangkan sedikit masa dengan Iron 1200, saya menunggangi pula 48 Special yang baharu. Varian Special ini dilengkapi dengan beberapa kelengkapan berkroma di sekitar bahagian ekzos dan juga bahagian berkilat yang lain. Ia juga datang dengan palang pemegang ‘mini-ape’ yang sama seperti Iron 1200, namun tanpa penutup lampu hadapan.

Sewaktu penunggangan kali pertama, kedua-dua motosikal ini menampilkan perwatakan yang serupa, di mana ianya kerana kedua-duanya menggunakan enjin 1,202cc, sejukan udara yang sama dengan 100Nm tork yang sama. Kotak gear dan keseluruhan nisbahnya juga sama.

Namun, persamaan itu lenyap sebaik sahaja memasuki selekoh yang pertama, kedua-duanya mempunyai perwatakan yang berbeza. Terasa serta merta yang model 48 ini agak keberatan untuk mengiring berbanding model Iron. Ini disebabkan oleh tayar hadapannya yang lebih tebal,namun, sebaik sahaja selesa, bahagian hadapannya terasa lebih meyakinkan, terutamanya sewaktu keluar dari selekoh, di mana model Iron terasa agak tidak meyakinkan, sebaik sahaja ia mendekam sewaktu pendikit dipulas.

Model Iron 1200 lebih sesuai merentasi jarak yang jauh. Tangki kecil 8 liter pada model 48 tersebut lebih sesuai untuk penunggangan dalam bandar. Dan dengan palang pemegang dan tempat letak kaki yang mendepang, serta pelana yang kecil, ia pasti akan menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang setelah menunggang kira-kira sejam. Cukup tidak selesa, sehingga anda ingin berhenti menunggang. Ianya masalah biasa bagi sebuah model 48, saya mengalami masalah yang sama dengan motosikal saya dan penyelesaiannya adalah untuk mendapatkan pelana yang lebih besar dan selesa. Pelana yang ada pada model Iron 1200 pula cukup hebat sekali.

Model 48 pula didatangkan dengan kemasan warna retro era-AMF yang sama, yang memberikannya rupa paras klasiknya itu. Kedua-dua model Sportster yang baharu ini, walaupun berbeza dari segi rupa parasnya, cukup serupa dari segi geometri, namun, pada masa yang sama, amat unik sekali dari segi perwatakan. Model 48 Special ternyata merupakan model yang lebih bergaya dalam rangkaian Sportster.

Motosikal Harley-Davidson Sportster 48 Special 2018 ini belum lagi tiba di pasaran Malaysia buat waktu ini. namun, kami terdengar khabar angin bahawa ini bakal tiba dalam suku akhir tahun ini, dan sebaik sahaja ianya tiba, ianya sudah pasti sebuah model Sportster yang berbaloi untuk dibelek di bilik pameran Harley-Davidson yang terletak di The Gasket Alley, di Petaling Jaya.

Tunggang Uji: Harley-Davidson Sportster Iron 1200 – Jentera Penjarah Selekoh

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.