- Johann Zarco akhirnya telah mengumumkan bahawa dia akan menyertai pasukan pengilang KTM bagi MotoGP musim 2019 dan 2020.
- Penunggang kelahiran Perancis itu akan berganding dengan Pol Espargaro yang juga telah memperbaharui kontrak dua tahun bersama KTM.
- KTM yakin yang Zarco akan mampu mengemudi jentera KTM RC16 bagi menduduki tempat di atas podium.
Penunggang MotoGP, Johann Zarco, akhirnya telah menjawab semua teka-teki mengenai ke manakah hala tujuannya sebagai penunggang bagi musim hadapan. Dia baru sahaja diumumkan akan menyertai pasukan pengilang Red Bull KTM Factory Racing bagi musim 2019 dan 2020 dan akan mengemudi jentera KTM RC16.
Pengumuman ini telah dibuat berikutan pembaharuan kontrak Pol Espargaro selama dua tahun di mana penunggang dari Sepanyol itu akan meneruskan kerjaya perlumbaannya dengan pasukan pengilang KTM sehingga penghujung musim 2020. Ini bermakna Bradley Smith bakal digugurkan pada penghujung musim ini dan masa depannya dalam MotoGP masih lagi samar.
Menurut laman Facebook Johann Zarco,”Kerjaya saya akan diteruskan di tempat di mana semuanya bermula, bermula dengan pertandingan Red Bull Rookies Cup hinggalah ke cabaran merebut gelaran MotoGP. Anda sudah sedia maklum, saya akan menyertai KTM Factory Racing untuk dua tahun yang berikutnya. Saya berasa amat gembira kerana dapat bersaing bagi pasukan KTM ini, yang mana kami mempunyai satu matlamat yang sama: Sedia untuk berlumba (Ready to race)!”
Pengarah Motorsport KTM, Pit Beirer, pula telah berkata,”Kami sentiasa mempunyai hubungan yang rapat dengan Johann sejak Red Bull Rookies Cup lagi. Kami telah memberi sokongan kepada projek Moto2 melalui WP dan Pengurus Pasukan Moto3 kami, Aki Ajo, adalah teman baiknya. Kami juga mempunyai hubungan yang baik dengan pengurusnya, Laurent Fellon.”
“Ianya satu usaha kumpulan bagi menjayakannya. Kami perlu mempercayai kebolehan kami dalam membina sebuah jentera hebat dan Johann sudah pasti tidak akan berpindah melainkan dia sendiri melihat dan merasakan kepercayaan tersebut. Kami kini menggalas tanggungjawab bagi memastikan pakej berkenaan cukup kuat bagi membolehkan Johann terus berada di tahap yang dia duduki pada waktu ini. Ianya matlamat utama kami.”
“Anda sentiasa inginkan penunggang yang terbaik mengemudi jentera anda dan ia tampak dengan jelas sekali yang Johann mampu mengatasi penunggang pasukan pengilang di atas jentera pasukan satelit dan kerap kali berkelayakan untuk bermula dari barisan pertama, yang bermakna bahawa dia adalah pesaing yang hebat dengan jiwa yang cekal. Saya yakin yang kami dapat mencapai tahap yang berikutnya dengan penunggang sehebat Johann,” tambah Beirer.
Sumber imej: MotoGP