Kolej Automotif TOC Lancarkan Kursus Juruteknik Superbike

  • Kolej Automotif TOC (TOC) adalah kolej automotif premier Malaysia.
  • TOC baru sahaja melancarkan Kursus Juruteknik Superbike kolej tersebut.
  • Pendaftaran untuk kursus ini sudah mula dibuka dan ia akan bermula pada bulan Julai 2018.
  • Turut diperkenalkan adalah jentera TOC yang akan menyertai siri perlumbaan Malaysian Superbike (MSBK).

Jika anda telah memiliki kenderaan untuk satu tempoh masa, anda mungkin pernah menghadapi masalah dalam mendapatkan khidmat mekanik atau juruteknik yang boleh anda percayai, berdasarkan pada kebolehannya menangani masalah kenderaan anda dalam cara yang tepat dan pantas.

Bad Mechanics: Horror Stories for Your Bike

Sejujurnya, masalah ini bukan sahaja menjejaskan kita sebagai penunggang motosikal, malah ia juga menghantui para pengusaha bengkel dan pengilang.

Dan ianya atas sebab inilah TOC dan Malaysian Motorcycle and Scooter Dealers Assoiation (MMSDA) telah bergabung membentuk satu kerjasama. Melalui perjanjian kerjasama ini, para pelajar yang mengikuti Kursus Juruteknik Superbike akan mendapat tempat dengan serta merta dari sejumlah 5,000 buah bengkel ahli MMSDA. Jaminan pekerjaan ini pasti melegakan para pelajar yang telah membelanjakan ribuan Ringgit Malaysia untuk pendidikan.

Penandatanganan perjanjian ini juga akan berkait rapat dengan program Bina Bakat. TOC sedar akan kewujudan individu yang mempunyai kesungguhan untuk mendalami teknologi automotif, namun, tidak dapat meneruskan minat mereka akibat kos pendidikan yang tinggi. Oleh kerana itu, pemohon yang berjaya akan menjalani latihan dengan pinjaman sehingga 100% sehinggalah sewaktu mereka memulakan kerjaya mereka.

Adelaine L.K. Foo, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas TOC, dalam ucapannya berkata, “Seiring dengan pembangunan pasaran empat roda, seharusnya ada kecekapan yang setanding melalui kemahiran yang dipertingkatkan yang perlu diberi tumpuan untuk arena motosikal, yang juga merupakan penyumbang besar dalam industri automotif.”

“Salah satu cabaran yang sering saya lihat, yang juga saya fahami sebagai seorang ibubapa, adalah kesukaran kewangan bagi ibubapa tunggal membiayai pendidikan tinggi anak-anak mereka,” ujarnya lagi. “Melalui kerjasama ini, salah satu objektif utama kami adalah untuk membantu meringankan beban kewangan dan pada masa yang sama, meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.”

Pengerusi MMSDA, Encik Wee Hong pula berkata, “Sokongan terhadap program Bina Bakat telah menambah lagi peluang bagi industri kita untuk mendapatkan akses yang lebih hebat kepada bakat berkemahiran yang berkualiti, sesuatu yang kurang diperketengahkan sebelum ini.”

Dia juga menambah, “MMSDA dan TOC berkongsi minat serta dedikasi yang sama dalam melahirkan tenaga kerja cemerlang di dalam industri motosikal. Melalui kerjasama ini, bukan sahaja kita akan dapat menyaksikan fasiliti yang dikemaskini dan dipertingkatkan untuk suasana pembelajaran yang lebih sesuai, tetapi juga peningkatan peluang pekerjaan bagi juruteknik yang berkemahiran dan berkelayakan dengan rakan kongsi dan ahli persatuan kami.”

Kursus Juruteknik Superbike ini adalah selama 18 bulan dengan 3 tahap akademik dan peluang pembangunan kerjaya. Para pelajar akan didedahkan kepada pengalaman dunia sebenar sewaktu latihan industri dengan rakan kongsi TOC sewaktu kursus ini.

Adelaine menegaskan kepentingan latihan industri kepada para pelajar, “Kita tidak boleh, sebagai contoh, melahirkan pelajar yang telah mendapat ijazah dalam semua aspek penyelenggaraan dan kejuruteraan automotif tetapi tidak pernah langsung memegang walaupun sebuah spanar.”

Ini satu berita yang baik buat pemilik motosikal di seluruh Malaysia kerana dengan adanya mekanik-mekanik yang berkemahiran, terlatih, dan berpengalaman seperti ini, kita tidak akan terlalu risau untuk membenarkan mereka menyelenggarakan motosikal kesayangan kita.

Bersempena pelancaran ini, TOC juga telah memperkenalkan motosikal perlumbaan bagi siri perlumbaan Malaysian Superbike Championship (MSBK) TOC. Pasukan ini telah diwujudkan dengan bantuan ketua pelatih Most Fun Gym (MFG), yang juga juga legenda GP Malaysia, Oh Kah Beng.

TOC telah pun mempunyai jabatan ‘School of Motorsport’ dan kini akan menyaksikan penambahan sukan perlumbaan motosikal. “Kami mahu pelajar kami untuk mengalami sendiri pengalaman perlumbaan. Memperbaiki kelengkapan dan jentera di bawah pengawasan pensyarah mereka adalah satu perkara yang berbeza berbanding sewaktu diarah oleh pengurus pasukan perlumbaan,” ujar Sebastian K.L. Foo, Ketua Operasi TOC.

Juruteknik bagi pasukan perlumbaan motosikal akan menjalani kursus menunggang dengan MFG. OH Kah Beng berkata,” Juruteknik perlu merasakan sendiri apa yang motosikal itu lakukan, selain daripada bagaimana setiap komponen berfungsi bagi memahami dengan mudah apa yang disampaikan oleh para penunggang. Melalui cara ini, mereka boleh perbetulkan segala masalah dan kepincangan pengendalian dengan lebih mudah dan pantas sewaktu perlumbaan.”

Kami juga telah melawat fasiliti TOC selepas pelancaran tersebut. Tampak jelas sekali bahawa kolej TOC ini telah dilengkapi dengan segala peralatan, jentera dan penguji terkini yang digunakan dalam industri ini. Pusat Sumber (perpustakaan) juga lengkap dengan bahan rujukan. Para pelajar juga dilatih untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang bersih. Tidak kelihatan walau setitik pun minyak di lantai bengkel. Pelajar juga diwajibkan untuk mengekalkan penampilan dan kebersihan diri yang baik.

“Para pelajar mungkin terkejut pada mulanya dengan polisi ketat kami seperti kebersihan tempat kerja, kehadiran, dan markah lulus, namun, kebanyakan daripada mereka telah kembali untuk mengucapkan terima kasih kerana menyediakan mereka, setelah mereka berjaya mendapatkan kerja di luar sana,” ujar Adelaine yang telah mengiringi kami sewaktu lawatan ini.

Kami juga telah bersemuka dengan sekumpulan pelajar yang berpakaian kemeja dan tali leher. ” Mereka sedang menjalani modul latihan Penasihat Perkhidmatan. Mereka mengambil giliran memainkan watak pelanggan yang tidak berpuas hati dan mempraktikkan teknik untuk menangani isu pelanggan dengan betul.”

“Bagi Kursus Juruteknik Superbike pula, kami telah membeli lapan buah motosikal baru untuk digunakan oleh para pelajar. Ianya tidak ditaja,” jelas Sebastian.

Permohonan bagi kelompok pertama Kursus Juruteknik Superbike telah dibuka untuk kemasukan pertama pada bulan Julai 2018. Sila layari www.toc.edu.my atau laman Facebook TOC untuk maklumat lanjut.

GALERI GAMBAR

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]