Berakhirnya Zaman Jentera Superbike MV Agusta F4

  • MV Agusta telah menyatakan bahawa mereka akang menghentikan pengeluaran motosikal superbike MV Agusta F4 menjelang hujung tahun 2018.
  • Motosikal superbike MV Agusta yang berikutnya hanya akan tiba selepas tahun 2020, di mana jenama itu kini sedang menumpukan perhatian pada model empat silinder baru yang lain dahulu.
  • Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, motosikal superbike baru akan mereka hasilkan namun ianya merupakan jentera serba baru dan bukannya motosikal F4 yang ikonik.


Satu berita yang kurang gembira buat para peminat MV Agusta. Pengeluar motosikal premium dari Itali itu akan mengucapkan selamat tinggal kepada motosikal superbike MV Agusta F4. Disebabkan oleh beberapa komplikasi yang timbul, motosikal F4 baru yang dinanti-nantikan telah ditangguhkan sama sekali.

Terdapat begitu banyak berita yang telah tersebar mengenai kemunculan semula motosikal empat silinder MV Agusta, di mana mereka merancang untuk melancarkan tiga buah model berbeza dalam masa tiga tahun yang akan datang. Bagi mematuhi peraturan emisi Eropah, jenama itu terpaksa menangguhkan penghasilan motosikal superbike yang baru ke hujung rancangan masa depan mereka.

Walaupun semua orang berasa amat teruja dengan motosikal Brutale 1000 serba baru yang akan dilancarkan sebagai model 2019, ianya akan diikuti rapat oleh sebuah lagi motosikal empat silinder ‘neo-klasikal’ pada tahun yang berikutnya sebelum mereka meneruskan sebarang rancangan yang lain. Ini bermakna ianya akan mengambil sedikit masa sebelum kita dapat menyaksikan kemunculan sebuah motosikal superbike MV Agusta yang baru.

MV Agusta juga berhadapan dengan masalah dengan motosikal F4 semasa mereka kerana mereka hanya dibenarkan sehingga hujung tahun ini untuk menjualnya kerana ia tidak mematuhi peraturan Euro4 yang terkini. Dan oleh kerana itu, pengeluar tersebut telah mengumumkan bahawa tahun ini adalah musim terakhir mereka dalam siri perlumbaan WorldSBK.

Sumber imej: Moto Revue

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Giovanni Castiglioni, “Motosikal lumba adalah sebuah pasaran yang khusus. Kami masih lagi akan terus menghasilkannya kerana ianya motosikal utama kami, namun motosikal F4 akan dihentikan pada tahun ini. Ini adalah tahun terakhir bagi F4. Kami akan mempertandingkannya pada WorldSBK tahun ini, dan kemungkinannya pada tahun hadapan, ya. Tahun yang berikutnya, saya tidak tahu sama ada ianya boleh dilakukan atau pun cukup menarik untuk diteruskan – malah untuk tahun hadapan pun kami mungkin akan menarik diri. Kita tunggu dan lihat.”

Bagi kategori pertengahan pula, jenama dari Itali itu akan terus mempertandingkan jentera F3 675 mereka, berikutan dengan keputusan yang memberangsangkan yang telah diperolehi penunggang mereka,PJ Jacobsen pada tahun lalu. Bagi WorldSBK, Castiglioni telah mengutarakan sesuatu yang agak kontroversial yang mana ianya telah menggambarkan yang WorldSBK tidak begitu popular dan dia tidak nampak akan kaitan antara kemenangan perlumbaan dan hasil jualan motosikal.

Walau bagaimana pun, ianya bukanlah berita buruk semata-mata bagi para penggemar motosikal superbike MV Agusta. Jenama itu kini sedang giat mengusahakan sebuah motosikal superbike serba baru yang dikatakan sebagai agak ‘tidak konvensional’. Berdasarkan pada segala teknologi terkini sama ada yang hibrid mahu pun jentera elektrik sepenuhnya, kita akan sama ada menyukai atau membenci motosikal MV Agusta yang baru itu sebaik sahaja ia tiba pada tahun 2021.

Motosikal Jalan Raya Empat-Silinder MV Agusta Terbaru Bakal Tiba Pada 2018!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]