Koleksi Peribadi Sultan Johor Bakal Muncul Di Malaysia Bike Week

Advertisements

  • Malaysia Bike Week 2018 (MBW2018) akan memperagakan koleksi peribadi Sultan Johor.
  • Dari motosikal Harley Davidson hinggalah ke kenderaan klasik, koleksi peribadi Baginda dikenali sebagai salah sebuah koleksi yang terbaik di seluruh dunia.
  • Festival MBW2018 akan berlangsung pada minggu hadapan (23 – 25 Mac 2018) di MAEPS Serdang.


Bersempena dengan festival Malaysia Bike Week 2018 (MBW2018) yang bakal berlangsung pada hujung minggu hadapan dari 23 hingga 25 Mac 2018, pelbagai acara yang menarik akan diadakan di Malaysia Agro Exhibition Park Serdang (MAEPS). Para hadirin akan dapat menyaksikan satu tarikan yang istimewa di mana koleksi kenderaan peribadi Sultan Johor bakal diperagakan pada acara tersebut.

Semalam, Baginda Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima rafak sembah dari delegasi Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), di mana para delegasi telah melihat sendiri koleksi kenderaan yang cantik dan amat jarang ini yang mengagumkan tersebut. Dalam satu laporan oleh NST, sebarisan motosikal Harley-davidson, trak Mack yang dikhususkan, serta kenderaan tiga roda klasik Morgan telah dipratonton di Istana Pasir Pelangi dalam persediaan untuk MBW2018.

Koleksi peribadi Sultan Johor telah diketahui ramai sebagai sebuah koleksi yang terdiri daripada pelbagai rangkaian luas kenderaan yang menakjubkan, dari motosikal hinggalah ke kenderaan klasik yang dianggap sebagai antara yang paling mengagumkan di seluruh dunia. Beberapa buah daripada kenderaan ini akan diperagakan pada hujung minggu hadapan dan anda pasti tidak mahu ketinggalan peluang untuk menyaksikannya dengan anak mata anda sendiri.

Kenderaan-kenderaan ini adalah salah satu cara Baginda merapatkan diri dengan rakyat Johor. Senantiasa memastikan dirinya memahami hati budi dan pekerti rakyatnya, Baginda juga merupakan salah satu suara yang aktif menginginkan industri permotoran dan arenanya secara keseluruhan menjadi lebih sihat dan ianya boleh dilakukan dengan bimbingan serta tauladan yang betul.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai koleksi yang amat jarang dan juga unik ini, kunjungilah Malaysia Bike Week 2018 yang akan berlangsung pada hujung minggu hadapan (23 hingga 25 Mac 2018) di Malaysia Agro Exhibition Park Serdang (MAEPS).

Sumber imej: NST