Vespa GTS Super 300 2018 Dilancarkan! RM27,072

  • Naza Premira Sdn. Bhd. dengan secara rasminya telah memperkenalkan skuter Vespa GTS Super 300 2018 awal hari ini.
  • Dijana oleh enjin satu silinder 278cc Quasar terkini mereka, tawaran terkini Vespa ini adalah gabungan warisan serta teknologi penunggangan terkini.
  • Vespa GTS Super 300 2018 ini boleh didapati pada harga RM27,072.40 (harga asas beserta GST).

Naza Premira Sdn. Bhd., pengedar tunggal bagi jenama Vespa di Malaysia dengan secara rasminya telah melancarkan skuter Vespa GTS Super 300 2018, atau juga dikenali sebagai GTS Super 300 Quasar. Pelancarannya telah diadakan di MyTown Shopping Centre yang terletak di Kuala Lumpur, awal hari ini.

Diterapkan dengan penggayaan terkini Itali yang kekal ikonik, rangkaian terbaru model skuter Vespa ini menggabungkan rupa bentuk malar segarnya dengan teknologi penunggangan terkini untuk skuter. Dianggap sebagai skuter Vespa paling dinamik, GTS Super 300 ini dipertingkatkan lagi dengan perincian yang ‘sporty’ yang dapat dilihat pada grill ikoniknya, pelitup hadapan, rim tayar 12 inci, dan semestinya, pada enjin Quasar 278cc-nya itu.

Enjin satu silinder 278cc-nya itu dilengkapi dengan empat injap dan suntikan bahanapi elektronik Magneti Marelli yang menghasilkan 21.2hp pada 7,750rpm dan 22Nm tork maksimum pada 5,000rpm. Ianya dikatakan mempunyai jarak 30.3km/liter bahanapi, jadi, secara teorinya, skuter GTS Super 300 ini mampu merentasi jarak sekitar 257km dengan tangki bahanapinya yang sebesar 8.5 liter.

Selain daripada latar belakang perlumbaan dan jiwa ‘sporty’nya itu, skuter GTS Super 300 ini juga lebih praktikal, lebih-lebih lagi dengan adanya port pengecas USB, kompartmen simpanan berganda di belakang plet pelindung kaki, dan lampu LED moden bagi memastikan keterlihatan tinggi tanpa mengira keadaan menunggang.

Mampu mencapai kelajuan tertinggi sekitar 120km/j, elemen keselamatan model terbaru Vespa ini juga telah dipertingkatkan dengan adanya ABS, dan ASR (Anti-Slip Regulation). Ini akan membekalkan pembrekan yang terkawal beserta dengan kawalan cengkaman apabila keadaan jalan raya tidak menyebelahi anda. Dan ia juga dilengkapi dengan cakera brek berganda (220mm untuk kedua-dua bahagian hadapan dan juga belakang).

Skuter Vespa GTS Super 300 2018 ini didatangkan pada harga RM27,072 (harga asas beserta GST). Terdapat empat pilihan warna yang telah disediakan; Monte Bianco (Putih), Verde Speranza (Hijau), Grigio Titianio (Hitam), dan Giallo Gelosia (Kuning). Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai model Vespa terbaru ini, kunjungilah mana-mana pengedar sah di seluruh negara.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.