Motosikal Dibenarkan Atas Lebuhraya Persekutuan Kerana Kerja-Kerja Pembaikan Laluan Motosikal

Sumber imej: ahpekbiker.blogspot.my
  • Menteri Kerja Raya telah mengesahkan yang motosikal telah dibenarkan berada di atas Lebuhraya Persekutuan atas sebab kerja-kerja penaiktarafan laluan motosikal.
  • Penjelasan beliau itu adalah bagi menjawab sebuah artikel akhbar mengenai motosikal mencerobohi lebuhraya.
  • Kerja-kerja tersebut dijangkakan siap dalam bulan April 2018.

Baru-baru ini kami telah menyorotkan perhatian kepada sebuah artikel akhbar oleh The Malay Mail, yang mempersoalkan mengapa motosikal berada di atas Lebuhraya Persekutuan dan mengapa tiada sebarang tindakan undang-undang diambil.

Motosikal Di Atas Lebuhraya Persekutuan – “Apa Lagi Pilihan Yang Kami Ada?”

“Laporan” akhbar The Malay Mail berkenaan telah mencetuskan perang tuding menuding, terutamanya oleh para pemandu kereta terhadap penunggang motosikal. Sebenarnya, seperti yang telah kita sudah sedia maklum, sebahagian daripada laluan motosikal telah ditutup bagi kerja-kerja pembinaan.

Dan itulah yang telah dijelaskan oleh Menteri Kerja Raya, Ybhg. Dato’ Sri Fadillah Bin Haji Yusof.

Sumber imej: www.tv14.my

Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (yang juga lebih dikenali dengan singkatan JKR) telah menjalankan kerja-kerja penaiktarafan di sepanjang jalan sejauh 8.1km pada kedua-dua belah bahagian jalan Lebuhraya Persekutuan itu dari Kota Darul Ehsan hingga ke Kelab Golf Negara Subang. Kerja-kerja penaiktarafaan ini dijangka akan siap pada bulan April 2018.

Dan oleh kerana itu, para penunggang motosikal telah dibenarkan untuk menggunakan laluan utama Lebuhraya Persekutuan tersebut.

Walau bagaimana pun, beliau telah menambah bahawa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyatakan bahawa mana-mana pengguna jalan raya atau pejalan kaki yang tidak mematuhi arahan dan papan tanda trafik boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000.

Peraturan ini telah dilonggarkan buat sementara waktu memandangkan kerja-kerja penaiktarafan dan Polis Trafik serta ke semua jabatan penguatkuasaan yang berkaitan telah dimaklumkan akan kerja-kerja penaiktarafan ini. Ianya cukup melegakan untuk mengetahui bahawa pihak berkuasa dapat bertindak dengan adil mengenai hal ini. Tetapi, janganlah anda anggap yang kita telah dibenarkan untuk menunggang keseluruhan jarak lebuhraya berkenaan di luar laluan motosikal. Kami sedia maklum akan bahaya laluan motosikal namun undang-undang masih perlu kita patuhi.

Beliau bagaimana pun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai situasi di mana para penunggang motosikal terpaksa keluar dari laluan motosikal akibat banjir kilat.

Kami alu-alukan usaha akhbar The Malay Mail dalam mengetengahkan isu-isu sebegini, namun, kami tertanya-tanya jika pihak The Malay Mail telah pun meminta penjelasan daripada pihak berkuasa yang berkenaan terlebih dahulu sebelum menerbitkan “laporan” tersebut. Ianya pasti lebih membina dan bukannya bagaikan tamparan buat para penunggang motosikal sekiranya mereka mendapatkan penjelasan terlibih dahulu.