MotoGP: Dovizioso Melanjutkan Pertarungan Untuk Kejohanan Ke Pusingan Terakhir Dengan Kemenangannya Di Sepang

 

 

  • Pusingan kedua terakhir MotoGP bagi musim 2017 di Sepang menyaksikan satu pertarungan di atas litar yang basah di mana kedua-dua penunggang Ducati, Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo meraikan kemenangan satu-dua.
  • Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) melengkapkan kedudukan podium dengan Marc Marquez menamatkan perlumbaannya di tempat ke-empat.
  • Dovizioso dan Marquez bakal bertarung untuk menentukan kejuaraan MotoGP 2017 di pusingan terakhir dalam masa dua minggu di Valencia.

Perlumbaan ‘flyaway‘ terakhir musim ini telah mempamerkan sebab mengapa pusingan Shell Malaysia MotoGP adalah antara pusingan yang paling menarik di dalam kalendar MotoGP saban tahun. Sebaik sahaja tamat perlumbaan Moto2 di mana gandingan penunggang pasukan KTM Red Bull Ajo memperoleh kemenangan satu-dua dan podium dilengkapkan oleh Juara Dunia Moto2 2017, Franco Morbidelli, Hujan telah turun dengan begitu lebat sekali. Walaupun hujan itu turun untuk satu jangka masa yang singkat, ianya mencukupi untuk membuatkan Arahan Perlumbaan mengisytiharkan perlumbaan ini sebagai Perlumbaan Cuaca Basah.

Dengan hanya masa tinggal beberapa minit lagi sebelum bermula, setiap pasukan dan mekanik bergegas mengaturcarakan jentera untuk keadaan cuaca basah. Dani Pedrosa (Repsol Honda) bermula di petak pertama ditemani oleh Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) dan Andrea Dovizioso (Ducati Team) di barisan hadapan.

Penunggang yang sedang mendahului kejohanan MotoGP 2017, Marc Marquez (Repsol Honda) bermula di petak ke-tujuh selepas menghadapi kesukaran sewaktu sesi kelayakan. Perlumbaan ini bermula dengan Marquez perlu bertarung dengan Valentino Rossi, Maverick Vinales, dan Jorge Lorenzo yang berada di hadapan penunggang berusia 24 tahun dari Sepanyol itu.

Dari mulanya lagi, Marquez telah meluru ke hadapan melintasi kelompok utama untuk jadi yang pertama tiba di Selekoh 1, sebelum dia lebar tersasar dari garisan perlumbaan, yang juga telah memberikan kesan buat Andrea Dovizioso. Johann Zarco dan Jorge Lorenzo mengambil peluang ini untuk memisahkan diri dari gerombolan penunggang. Zarco berjaya mendahului perlumbaan ini buat beberapa ketika sebelum Lorenzo berjaya memintas penunggang dari Perancis ini sebaik sahaja tayar belakang Zarco mulai haus.

Marquez dan Dovizioso berjaya kembali ke hadapan kelompok dan di sini kita telah menyaksikan sekali lagi kehebatan Dovizioso menunggang dalam keadaan cuaca basah di mana dia berjaya memintas Zarco dan Lorenzo pada pusingan terakhir perlumbaan ini.

Di garisan penamat perlumbaan, Dovizioso memperoleh kemenangan ini diekori rapat oleh teman sepasukannya Jorge Lorenzo dan penunggang bebas teratas musim ini dan “Rookie of the Year”, Johann Zarco di tempat ke-tiga. Marquez menamatkan perlumbaan di tempat ke-empat.

Selepas Marc Marquez, terdapat jurang yang besar dengan penamat perlumbaan yang lain bermula dengan Dani Pedrosa (Repsol Honda) yang melintasi garisan penamat di tempat ke-lima, sehinggalah Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) yang melengkapkan 10 penunggang teratas.

Buat masa ini, Marquez masih lagi menduhului kejohanan dengan 282 mata, 21 mata di hadapan Andrea Dovizioso. Ianya satu jurang yang agak selesa kerana sekali pun Dovizioso berjaya memenangi perlumbaan terakhir di Valencia, apa yang Marquez perlu lakukan hanyalah menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 atau lebih tinggi untuk merangkul kejohanan MotoGP bagi musim 2017 ini. Ianya bukanlah satu perkara yang sukar namun dalam perlumbaan, apa-apa sahaja boleh berlaku pada bila-bila masa.

Pusingan terakhir akan menuju ke Valencia dalam masa dua minggu pada 12 November 2017. Dapatkah penunggang dari Sepanyol itu mendabik dada di hadapan penyokong senegaranya atau adakah penunggang dari Itali itu bakal menjadi juara terbaru Ducati selepas Casey Stoner? Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk mengetahui kesudahannya!

Sumber: MotoGP

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.