Moto2: Morbidelli Dinobatkan Juara Dunia Moto2 2017!

 

  • Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) telah memenangi takhta Juara Dunia Moto2 2017 selepas Thomas Luthi diisytiharkan tidak cergas akibat keretakan pada buku lalinya.
  • Penunggang bagi pasukan KTM Red Bull, Miguel Oliveira dan Brad Binder sekali lagi meraikan penamat satu-dua di atas dengan Morbidelli melengkapkan tempat terakhir di atas podium.
  • Morbidelli dan Luthi bakal berpindah ke MotoGP pada musim akan datang, menjadi teman sepasukan di pasukan Marc VDS.

Pusingan Shell Malaysia MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu lalu telah berakhir dengan penuh dramatik sekali. Sepanjang hujung minggu itu, para penunggang Moto2 telah mengharungi cuaca panas yang membahang ke taburan hujan yang lebat secara tiba-tiba, yang telah membuatkan mereka sentiasa berjaga-jaga. Lebih-lebih lagi bagi dua orang penunggang yang sedang bertarung untuk kejohanan Moto2 2017, Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) dan Thomas Luthi (CarXpert Interwetten).

Dengan segala drama yang berlaku sepanjang hujung minggu itu, satu insiden yang malang telah menimpa Thomas Luthi pada hari Sabtu di mana dia mengalami ‘high side‘ apabila keluar dari Selekoh 2. Di kemudian waktunya, Thomas Luthi telah disahkan tidak cukup cergas untuk bertanding dan dengan ini mengesahkan takhta kejohanan dunia Moto2 menjadi milik penunggang pasukan Marc VDS Moto2 berkenaan.

Walaupun kejohanan dunia Moto2 2017 telah pun ditentukan sebelum bermulanya perlumbaan ini, Franco Morbidelli tetap berusaha sepenuh tenaga untuk perlumbaan ini di mana penunggang-penunggang pasukan KTM Red Bull Ajo, Miguel Oliveira dan Brad Binder sekali lagi mengulangi penamat satu-dua mereka. Morbidelli melengkapkan kedudukan di atas podium yang mana ianya lebih daripada apa yang diperlukan.

Pertarungan di belakang mereka juga amat menghiburkan buat lebih daripada 95,000 hadirin di mana Mattia Pasini (Italtrans Racing Team), Francesco Bagnaia (SKKY Racing Team VR46), Fabio Quartataro (Pons HP40), dan wira harapan negara kita, Hafizh Syahrin (Petronas Raceline Malaysia) mempersembahkan aksi-aksi yang menakjubkan penuh dengan cubaan memintas dan pertukaran kedudukan. Pasini, Bagnaia, Hafizh dan Quartataro menamatkan perlumbaan di tempat ke-empat, lima, enam, dan ke-tujuh mengikut turutan.

Xavi Vierge (Tech 3 Racing), Isaac Vinales (BE-A-VIP SAG Team), dan Tetsuta Nagashima (Teluru SAG Team) melengkapkan 10 kedudukan teratas perlumbaan.

Dan walaupun ianya pasti menarik untuk menyaksikan Luthi dan Morbidelli bertarung sehingga ke akhir kerjaya Moto2 mereka sebelum berpindah ke MotoGP pada musim hadapan, ada yang menganggap ini sebagai satu peluang untuk permulaan yang baru memandangkan kedua-dua penunggang ini akan menjadi rakan sepasukan di pasukan Marc VDS bagi kelas premier pada musim hadapan.

 

Perlumbaan-perlumbaan ‘flyaway‘ telah pun tamat dan acara MotoGP akan menuju ke pusingan terakhirnya bagi tahun 2017 di Valencia dalam masa dua minggu. Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini. Tahniah diucapkan kepada Franco! #FrankySaysRelax

Sumber: MotoGP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.