GIVI Di Shell Malaysian MotoGP 2017

 

  • Sudah menjadi satu tradisi untuk GIVI hadir di MotoGP Malaysia.
  • Mereka telah menghadiahkan pelbagai cenderahati yang menarik buat para pengunjung astaka mereka.
  • Para peserta konvoi MotoGP mereka turut menerima pelbagai hadiah yang amat menarik.

“Ianya telah menjadi satu tradisi bagi GIVI untuk menyertai dalam kemeriahan MotoGP dan menganjurkan konvoi MotoGP ini,” kata Joseph Perucca, Pengarah Operasi Luar Negara GIVI.

Kata-katanya itu ternyata benar, kerana keberadaan GIVI yang besar di MotoGP telah terbukti setiap tahun, sama ada dari segi sokongan untuk pasukan LCR Honda MotoGP dan pasukan pengilang Ducati Team, mahu pun dari segi astakanya yang amat besar, dan tidak lupa konvoi yang saban tahun diadakan.

Pada tahun ini, GIVI Malaysia telah merekacipta astaka mereka dengan sedikit perbezaan. Dan walaupun perubahannya tidaklah besar, perbezaannya agak ketara.

Pertama sekali, sebagai latarnya, mereka telah memarkir bas persiaran GIVI Malaysia yang sering kali kelihatan di lokasi-lokasi perlumbaan Cub Prix dan juga acara istimewa yang lain.

Keduanya, terdapat pelbagai jenis motosikal yang berbeza diperagakan, lengkas dihias dengan pelbagai aksesori dan kotak-kotak GIVI. Ini termasuklah motosikal Honda RS150R, Kawasaki Versysy-X 250, dan lain-lain lagi.

Ketiganya, rak perhiasan yang mempamerkan kotak-kotak, helmet, dan pakaian GIVI juga telah disediakan, dengan model helmet yang terkini.

Namun, perbezaan yang paling ketara pada tahun ini adalah GIVI telah menyertakan sebuah mesin ‘injection moulding‘, yang mana telah mereka gunakan bagi menghasilkan kotak-kotak ABS yang anda dan saya telah guna dan gemari sejak sekian lama. Tetapi, ianya bukanlah digunakan untuk menghasilkan kotak- kotak yang besar semasa MotoGP berkenaan, sebaliknya ianya telah dikonfigurasikan untuk menghasilkan kotak syiling, menggunakan bahan-bahan yang sama seperti kotak-kotak yang besar dan lengkap dengan logo merah dan perak GIVI.

Kotak-kotak kecil ini telah diberikan sebagai hadiah cenderahati buat mereka yang telah ‘like’ laman Facebook GIVI Malaysia. Barisan yang panjang telah menjulur keluar ke bahagian tengah Mall Area.

Di astaka itulah juga tempatnya di mana para penunggang MotoGP mereka hadir untuk sesi tandatangan. Penunggang bagi pasukan LCR Honda MotoGP, Cal Crutchlow, bersama dengan ketua pasukan, Lucio Cecchenello telah membuat kemunculan pada petang Sabtu bagi menandatangani poskad, poster, baju-t, helmet, apa-apa sahaja kelengkapan GIVI yang telah dibawa oleh peminat. Para peminat telah mula beratur selama dua jam sebelum bermulanya sesi tandatangan, di bawah terik matahari hari Sabtu berkenaan.

Para peserta untuk konvoi MotoGP telah berhimpun seawal jam 7pagi, di Menara KL, pada pagi Ahad. GIVI sering kali mengaitkan konvoi MotoGP mereka kepada promosi istimewa ‘top case‘ tertentu mereka, dan untuk tahun ini, ianya adalah untuk ‘top case‘ B32 “Mule” yang baru sahaja mereka lancarkan.

Tetamu undangan istimewa untuk tahun ini adalah Anita Yusof, pengembara dunia terkenal dari Malaysia, dan juga Lucio Cecchinello.

Para peserta yang telah mendaftarkan diri bagi konvoi ini telah menerima pelbagai hadiah yang menarik, termasuklah kantung pinggang kalis air terbaru RWB02, topi, balaclava, jersi edisi khas Konvoi GIVI MotoGP, dan satu tiket grandstand; selain daripada satu baucar setiap seorang untuk sebotol minyak enjin Castrol dan setin minuman tenaga Monster Energy. Tetapi, bukan itu sahaja. Para peserta juga telah menerima sebuah pelekat parkir untuk lot parkir motosikal PA1 yang terletak bertentangan dengan pintu masuk utama SIC, menjimatkan wang dan tenaga.

Kemuncak acara hujung minggu itu sudah pasti perlumbaan MotoGP.

Janganlah berasa sedih sekiranya anda terlepas keraian yang telah dianjurkan oleh GIVI pada tahun ini, cuma pastikan yang anda menyertainya untuk tahun 2018 bagi mendapatkan pengalaman penuh MotoGP.

GALERI GAMBAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.