Kawasaki – Dahulu Dan Kini

GPz900R 1984

 

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Kawasaki telah senantiasa mengujakan dunia dengan motosikal berprestasi tinggi, dari dahulu sehingga sekarang.
  • Mereka telah mencipta pelbagai motosikal keluaran terpantas dunia di sepanjang penglibatan mereka dalam industri permotosikalan.
  • Kini, mereka sedang mendominasi rekod ini dengan motosikal Ninja H2 untuk untuk kegunaan jalan raya, selain daripada motosikal H2R dan Ninja ZX-10RR untuk kegunaan litar.


Kawasaki telah senantiasa berada di perbatasan hadapan dalam mempelopori aspek prestasi motosikal, dari motosikal H1 hinggalah ke motosikal H2 dan jentera World Superbike.

Di sini, kami menyenaraikan motosikal-motosikal Kawasaki yang telah dinobatkan sebagai “Motosikal Keluaran Terpantas Dunia” – motosikal-motosikal yang telah menjadi pemangkin bagi motosikal-motosikal lain yang lebih baik serta lebih pantas di tahun-tahun yang menyusulnya. Motosikal-motosikal ini adalah ikon kelajuan.

Oleh kerana itu, kami kecualikan motosikal-motosikal dari segmen-segmen yang lain seperti dirt bike, standard, cruiser, tourer, kerana, jika tidak, sudah pasti artikel ini menjadi sepanjang 20 halaman. Mungkin pada masa akan datang kami akan senaraikan motosikal-motosikal berkenaan dalam artikel yang didedikasikan untuk segmen masing-masing.

PERMULAAN

Kawasaki bermula sebagai sebuah syarikat pembina kapal. Kawasaki Shozo telah membuka Tsukiji Shipyard di Tokyo pada tahun 1878, dan telah menggabungkannya menjadi Kawasaki Dockyard Co., Ltd. pada tahun 1896. Mereka telah melancarkan kapal penumpang kargo pertama mereka setahun kemudian. Kawasaki Dockyard juga turut membuka sebuah limbungan kering yang baru di Kobe pada tahun 1902.

Kawasaki Shozo

Kawasaki kemudiannya telah membuka Hyogo Works pada tahun 1906 bagi menghasilkan ‘rolling stock‘ – kepala keretapi, gerabak muatan dan penumpang, dan galang jambatan. Divisyen ini kemudiannya dinamakan semula sebagai Kawasaki Rolling Stock Manufacturing Co., Ltd. pada tahun 1928.

Juga pada tahun 1906, Kawasaki Dockyard telah menghasilkan dua buah kapal selam buat Tentera Laut Jepun.

Lembaran iklan untuk Kawasaki Dockyard

Pada tahun 1918 juga telah menyaksikan penubuhan Jabatan Kapal Terbang di Hyogo Works, dan kapal terbang buatan Kawasaki yang pertama telah beroperasi pada tahun 1922. Jabatan kapal terbang ini kemudiannya dinamakan Kawasaki Aircraft Co., Ltd. pada tahun 1937.

Kawasaki mula menghasilkan lebih banyak kapal terbang selepas Perang dunia ke-2, sebahagian daripadanya telah dilesenkan oleh pengeluar kapal terbang Amerika Syarikat.

Tetapi yang lebih penting bagi kita para penggemar motosikal, para jurutera di Kawasaki Aircraft Company telah merekabentuk enjin motosikal pertama mereka, dinamakan KE-1 (Kawasaki Engine-1) pada tahun 1952. Walau bagaimanapun, motosikal-motosikal ini dijual di bawah nama Meguro, kerana Kawasaki telah memperoleh milik rakan niaga mereka, Meguro Manufacturing.

Model susulan seperti B8 memiliki jatah Kawasaki Aircraft di atasnya. Pada tahun 1963, Kawasaki dan Meguro telah bergabung membentuk Kawasaki Motorcycle Co., Ltd.

TAHUN 60-AN DAN 70-AN

Menjelang 1966, Kawasaki telah mula mendapat tempat di pasaran Amerika Syarikat dengan motosikal W1, ianya pada tahun 1969 yang menandakan kemunculan Kawasaki sebagai satu kuasa besar dalam industri dengan pelancaran motosikal H1 Mach III. Motosikal 500cc, dua lejang tiga selari ini merupakan yang terpantas dalam kelasnya. Ia juga merupakan yang motosikal jalan raya berbilang silinder yang pertama mengenalkan terma CDI (capacitor discharge ignition), yang telah menggantikan pencucuh ‘breaker point‘ untuk motosikal ini. Motosikal H1 digemari ramai kerana keringannya, kuasanya, dan kecenderungannya untuk melakukan ‘wheelie‘.

H1 Mach III 1969

Namun seteru mereka, Honda, telah mengeluarkan motosikal CB750 Four pada tahun yang sama, mengejutkan Kawasaki yang sedang dalam usaha untuk membangunkan enjin empat selari mereka sendiri, membuatkan mereka menghentikan projek berkenaan.

Jadi, pada tahun 1972, Kawasaki mengenalkan motosikal H2 Mach IV, yang telah menjadi antara motosikal jalan raya yang terpantas serta ‘terjahat’ yang pernah dihasilkan, walaupun dengan segala usaha pengeluar itu untuk ‘memperlembutkan’ kegarangannya itu. Bercirikan enjin 750cc, dua lejang tiga selari yang serba baru, motosikal ini meluncur pantas merentasi suku batu (400m) dalam 12 saat dengan kelajuan sehingga 160km/j di bawah 13 saat.

H2 Mach IV 1973

Warisan Kawasaki dalam membina motosikal terpantas dunia bermula dengan motosikal 500cc H1 Mach III, dan diteruskan dengan motosikal 750cc H2 Mach IV. Motosikal H2 ini muncul sewaktu nama motosikal superbike Jepun mula meningkat naik, yang mana telah menjatuhkan penguasaan Harley- Davidson dan kemudiannya, industri motosikal British yang sedang merudum.

Tetapi apabila pasaran Amerika bertukar arus dengan membeli motosikal empat silinder empat lejang yang lebih mahal, Kawasaki membalas motosikal Honda CB750 dengan motosikal legenda Z1 pada tahun 1972. Motosikal Z1 adalah motosikal keluaran terpantas dunia pada zamannya. Dibangunkan secara rahsia di bawah kod nama “New York Steak”, motosikal Z1 merupakan motosikal empat selari, sejukan udara pertama dunia, yang yang telah menerapkan penggunaan DOHC. Enjin 900cc ini menghasilkan 82hp dan mencecah kelajuan 210km/j; menghancurkan ke semua rekod pusingan dan kelajuan sebelumnya. Yvon Duhamel (bapa kepada Miguel Duhamel) telah mencatat pusingan terpantas di litar Daytona di atas sebuah motosikal Z1 talaan Yoshimura dengan
kelajuan mencecah 256. km/j (160.288 batu/sejam).

Z1 1972

Motosikal Z1 telah mendapat pujian sebulat suara dari penerbitan di seluruh dunia dan telah menggondoli anugerah “Motorcycle of the Year” empat tahun berturut-turut di penerbitan Motorcycle News, melalui satu undian di kalangan pembacanya. Para pengumpul hari ini akan berbelanja besar untuk mendapatkan sebuah motosikal Z1.

Motosikal Z1 telah diperkemaskini lagi dan menjadi Kz900 pada tahun 1976; walau bagaimanapun, pada tahun yang sama (bagi tahun 1977), Kawasaki telah memperkenalkan sebuah lagi jentera penakluk dunia: motosikal Kz1000.

Kz1000 1977

Motosikal Kz1000 atau lebih dikenali sebagai Z1000 (ya, ianya adalah datuk kepada Z1000 semasa) dengan serta merta menjadi kuasa dominan dalam sukan permotoran di Australia, Eropah, Britain, dan sudah semestinya, di Amerika; motosikal inilah yang telah melahirkan juara dunia 500cc masa hadapan – Freddie Spencer (pada tahun 1979, sebelum dia berpindah ke Honda), Wayne Gardner (serta teman sepasukannya John Pace di perlumbaan Suzuka 8-Hour Endurance 1981), Eddie Lawson (Juara AMA pada tahun 1981 dan 1982), Wayne Rainey (teman sepasukan Lawson pada tahun 1982 dan Juara AMA pada tahun 1983).

Kz1000R 1982

Penulis masih lagi ingat akan apa yang telah ditulis oleh bekas Ketua Editor bagi Cycle World, David Edwards, selepas menyaksikan ujian pertama motosikal sediaan kilang Z1000S1 oleh Eddie Lawson. Lawson telah berkata, “Pengendaliaannya boleh diperbaiki lagi, tetapi, amboi, kuasanya!”

Eddie Lawson di atas Z1000

Dan masihkah anda mengingati rancangan televisyen bertajuk “CHiPs”? Ponch dan Jon menunggang motosikal Kawasaki Kz1000 ini.

CHiPs
TAHUN 80-AN

Anda pasti tertanya-tanya mengenai asal-usul nama Ninja yang sinonim dengan motosikal Kawasaki beserta dengan warna hijau pucuk pisangnya yang terkenal itu.

Ianya pada tahun 1984, dan penerbitan di seluruh dunia telah diperkenalkan kepada motosikal GPz900R Ninja. Dibangunkan secara rahsia selama lebih daripada enam tahun, motosikal GPz900R ini mengukuhkan lagi nama Kawasaki sebagai pengeluar motosikal terpantas dunia.

GPz900R 1984

Motosikal GPz900R adalah motosikal DOHC, 16 injap, sejukan cecair, empat selari yang pertama di dunia. Menghasilkan sehingga 115hp, ia memacu motosikal itu selaju 243km/j dan catatan masa suku batu (400 meter) motosikal ini adalah 10.976saat, atau 10.55 saat sekiranya dikemudi oleh penunggang ‘drag racer‘ professional.

Motosikal GPz1000R telah dipasarkan sebagai motosikal Ninja buat kali pertamanya. Ia mulai dikenali ramai sebagai “motosikal Top Gun” apabila ianya telah membuat kemunculan dalam filem Top Gun.

Motosikal Top Gun

Begitu hebatnya motosikal ini, keluaran serta jualannya telah berterusan selama 19 tahun sehinggalah ke motosikal Final Edition 2003 di Jepun. Malah, ia telah bertahan lebih lama daripada model selepasnya yang sepatutnya menggantikan motosikal ini. Pertama sekali, adalah motosikal GPz1000RX yang dikeluarkan pada 1986, kemudiannya motosikal ZZ-R10 (ZX-10) pada tahun 1988, dan motosikal ZZ-R1100 (ZX-11) pada tahun 1990.

Kami telah menyebut mengenai motosikal ZZR1000 (ZX-10) dan ZZR1100 (ZX-11) sebelum ini. Motosikal ZZR1000 membuat kemunculannya pada tahun 1988. Dan sekali lagi, ianya merupakan motosikal pengeluaran terpantas pada zamannya. Enjin 997cc, DOHC, empat injap per silinder, sejukan cecair itu menghasilkan 135hp dan memacu motosikal itu ke kelajuan tertinggi mencecah 266km/j. Ianya juga merupakan motosikal Kawasaki yang pertama menggunakan kerangka perimeter aluminium.

ZZR1000 (ZX-10) 1988

Kawasaki telah senantiasa aktif dalam sukan permotoran, terutamanya di dalam Kejohanan Superbike Dunia (WSBK). Pada tahun 1989, mereka telah
memperkenalkan motosikal ZXR-750 dan ZXR-750R (ZX-7 dan ZX-7R). Peraturan WSBK pada waktu itu telah berubah dari enjin 1000cc empat selari kepada 750cc.

ZXR-750RR 1989

Scott “Mr. Daytona” Russell telah mengemudi jentera ZX-7RR sediaan pasukan Muzzy Kawasaki ke kejuaraan WSBK 1993. Motosikal itu turut memenangi 12 Kejohanan Superbike AMA, dan juga World Endurance Championship 1993.

Scott Russell

Bermula daripada tahun 1996, Kawasaki telah menukar namanya kepada Ninja ZX-7R dan Ninja ZX-7RR. Ciri yang paling menonjol pada motosikal ZX-7R adalah paip ‘intake‘ berkembar yang bermula dari bahagian atas reraup hadapan ke tangki bahanapi.

ZXR-750RR 1993
TAHUN 1990-AN

Kemudian muncul pula motosikal ZZR1100 (Ninja ZX-11) pada tahun 1990, dan bermulanya perang kelajuan tertinggi. Motosikal ZZR1100 adalah motosikal yang pertama menggunakan masukan udara ‘Ram’, satu terma yang dikenali ramai pada masa ini. Motosikal ini menghasilkan 145hp, membolehkannya mencatat masa bagi 400 meter pada tahap 10.43 saat dengan kelajuan tertingginya mencecah 283km/j. Ya, motosikal ZZR1100 ini merupakan motosikal pengeluaran terpantas, walaupun ianya lebih kepada sebuah motosikal sport-tourer zaman moden.

ZZR1100 (ZX-11) 1990

Sudahkah kami perkatakan mengenai perang kelajuan tertinggi? Kawasaki dan Honda telah terlibat dalam perang “Motosikal Pengeluaran Terpantas” sejak era Honda CB750 dan Kawasaki Z1 lagi. Honda telah menghasilkan motosikal CBR1100XX Super Blackbird (287km/j) sebagai jawapan bagi ZX-11. Dan di sinilah munculnya Suzuki bersama dengan motosikal GSX-1300R Hayabusa pada tahun 1999.

Tetapi, pada tahun 1999, badan kawal selia Eropah telah mengeluarkan ancaman larangan import sekiranya para pengeluar tidak mengehadkan kelajuan tertinggi motosikal jalan raya mereka ke 299km/j, tidak syak lagi selepas menyaksikan motosikal Hayabusa mencecah kelajuan 312km/j. Ini bermakna tiada motosikal yang akan melebihi kelajuan 299km/j, walaupun ianya menghasilkan 1,000,000hp (agak melampau, tetapi anda mengerti maksudnya).

Tetapi, ianya mungkin sesuatu yang baik, bergantung pada bagaimana anda melihatnya. Tamatnya perang kelajuan tertinggi ini telah menyumbang kepada keselamatan penunggang, dan pada masa yang sama ianya membuka jalan bagi perwatakan enjin yang lebih mudah untuk penunggangan di atas jalan raya, sebagai contoh, pemecutan di sepanjang jangkauan RPM, dan bukan sahaja tertumpu kepada kuasa di tahap tertinggi. Pengeluar kini lebih membandingkan catatan masa 400 meter.

MILLENNIUM BARU

Pada tahun 2002, ZZR1200 (Ninja ZX-12) diperkenalkan. Enjinnya dibangunkan dengan 160hp dan mencecah kelajuan ‘hanya’ 274km/j, kerana Kawasaki terpaksa mengehadkan kuasanya. Namun begitu, motosikal ZX-12 ini telah meliputi jarak 400 meter dalam hanya 10.12 saat. Ia juga dianggap ramai sebagai motosikal berkarburetor paling berkuasa di dunia. Bukan setakat itu sahaja, Kawasaki juga telah melengkapkannya dengan bagasi untuk touring.

ZZR1200 (ZX-12R)

Tahun 2003 menyaksikan perubahan besar peraturan dalam WSBK. Oleh kerana MotoGP telah menggunakan enjin empat lejang 1000cc pada tahun yang sebelumnya, penganjur WSBK memutuskan untuk turut serta dalam perubahan ini. Kawasaki telah menarik diri dari musim 2003 kerana mereka tidak mempunyai motosikal superbike 1000cc. Kawasaki telah menggantikan motosikal Ninja ZX-9R dengan Ninja ZX-10R pada tahun 2004, dan menyertai kembali kejohanan itu pada tahun yang sama.

Motosikal Ninja ZX-10R telah dikemaskini setiap dua tahun di antara tahun 2004 hingga 2007, sebelum ianya dikemaskini setiap tahun supaya dapat kekal berdaya saing dalam WSBK, kerana siri perlumbaan berkenaan didasarkan atas motosikal pengeluaran.

ZX-10R 2004

Tahun 2006 menyaksikan kelahiran motosikal 190hp, ZZR1400 (Ninja ZX-14). Kelajuan tertinggi dihadkan pada 299km/j, namun ianya telah memecut deras merentasi 400 meter dalam masa 9.783 saat, pada kelajuan 235.3km/j.

ZZR1400 (ZX-14) 2006

Model 2012, dinamakan Ninja ZX-14R, telah dikemaskini dengan 208hp. Ujian Cycle World telah menghasilkan masa yang terpantas: 9.47 saat pada kelajuan 244.5km/j.

ZX-14R 2012

Enjin ZZR1400 telah digunakan untuk motosikal sport-tourer 1400GTR (Atau Concour 14 di Amerika Syarikat) pada tahun 2007, dan ia menjadi salah sebuah motosikal sport-tourer bergerek besar paling popular dunia, dan sudah semestinya, di Malaysia. Enjinnya telah ditala untuk lebih tork pada 157hp, selain daripada penggunaan bahanapi yang lebih rendah.

1400GTR 2007
TAHUN 2010 HINGGA SEKARANG

Seoarng penunggang penting telah menyertai pasukan Kawasaki yang dikendalikan oleh Paul Bird pada tahun 2010. Jentera mereka agak kurang berdaya saing di atas litar pada ketika itu, kerana Kawasaki tidak mempunyai penunggang yang berkaliber sejak ketiadaan Scott Russell. Sykes mendapat tempat ke-14 pada tahun itu.

Tom Sykes di Imola, 2010

Kawasaki telah mengemaskini semula motosikal ZX-10R bagi musim 2011. Pada tahun inilah munculnya sistem Sport Kawasaki Traction Control (S-KTRC) serta Big Piston Fork (BPF) Showa, di samping pelbagai teknologi baru yang lain. Namun, ianya satu musim yang penuh kesukaran, dengan Sykes bersara dari perlumbaan sebanyak lima kali dan tidak memulakan perlumbaan sebanyak dua kali, dan menamatkan musim itu di tempat ke-13 (walaupun dia telah mengutip lebih banyak mata berbanding tahun 2010).

Tom Sykes di Misano, 2011

Sykes menebus kesilapannya pada tahun 2012, di atas jentera ZX-10R 2012 yang mirip dengan jentera tahun lalu, dan menamatkan musim itu di tempat ke- dua, sebelum memenangi kejohanan WSBK 2013, 20 tahun selepas kejohanan yang dimenangi Russell.

Tom Sykes di Donington Park, 2013

Kemenangan itu juga menandakan permulaan dominasi Kawasaki dalam WSBK.

Pada tahun 2014, Sykes telah memenangi 8 daripada 24 pusingan, namun mengalami satu-satunya persaraan dari perlumbaan di Pusingan 1 di Sepang. Slyvan Guintoli dari pasukan Aprilia memenangi hanya lima perlumbaan. Sykes gagal mempertahankan kejohanannya itu, dengan perbezaan 6 mata sahaja.

Tahun 2016 menyaksikan penandatanganan Jonathan Rea sebagai teman sepasukan Sykes, yang telah memenangi 14 pusingan, hanya dua kali tidak menamatkan perlumbaan di atas podium dengan satu sahaja persaraan dari perlumbaan. Ianya merupakan kemenangan kejohanan yang pertama buat Rea.

Jonathan Rea, 2015

Sekali lagi Kawasaki telah mengemaskini motosikal ZX-10R secara besar-besaran. Kini ia menghasilkan 210hp, dan dilengkapi dengan Inertial Measurement Unit (IMU) Bosch. Sistem S-KTRC kini adalah yang paling canggih dengan mod kawalan mulaan, quickshifter untuk pertukaran ke gear lebih tinggi dan lebih rendah, dan ABS menyelekoh pintar pilihan KIBS. Forknya juga telah digantikan dengan Showa Balance Free Fork (BFF) dan angkup brek hadapannya adalah Brembo M50 Monoblock.

Tetapi, terdapat sebuah motosikal yang lebih mendapat sambutan daripada berita hebat ini. Motosikal Kawasaki Ninja H2R dan H2.

H2R 2015

Tetapi, mengapakah mereka menghasilkan sebuah gergasi 326hp (dengan ram air) yang dicas lampau pada masa di mana motosikal dihadkan kepada 299km/j? Menurut Kawasaki, “…. untuk mengganggu pasaran yang sedang lena.” Jentera dengan nama yang sama dengannya adalah H2 Mach IV 1972, motosikal pengeluaran yang terpantas dan ‘terjahat’ pada zamannya.

Kelajuan tertinggi dan catatan masa 400 meternya tidak disiarkan, Tetapi sewaktu James Hillier menunggang sebuah H2 di Isle of Man TT 2015 dengan kelajuan 332km/j di Sulby Straight, ianya adalah kelajuan tertinggi terpantas yang pernah direkodkan di atas pulau itu. Kelajuan itu telah disahkan oleh GPS yang ada pada aplikasi GPS Hillier.

James Hillier di Isle of Man TT, 2015

Pada tahun 2016, Juara World SuperSport lima-kali, Kenan Sofuoglu telah menunggang sebuah H2R asas dan mencapai 400km/j dalam masa 26 saat. Walaupun ianya tidak disahkan radar atau GPS, kelajuan ini telah dikira dengan mencongak masa (26 saat) yang diperlukannya untuk merentasi Jambatan Osman Gazi sejauh 2,862m di Turki itu.

Kenan Sofuoglu

Motosikal sah untuk jalan raya H2 dikeluarkan sejurus selepas motosikal H2R. Motosikal H2 berkongsi pengecas lampau yang sama dengan H2R, tetapi dengan galakan yang lebih rendah. Cycle World telah merekodkan catatan masa 400 meternya pada 9.62 saat pada kelajuan 244.64km/j.

H2 yang sah untuk kegunaan jalan raya

Oleh kerana inilah H2R dan H2 disematkan dengan “River Symbol” yang gah itu. Simbol ini hanya diberikan kepada kehebatan kejuruteraan paling penting dalam dunia Kawasaki.

“River Symbol” Kawasaki

Di WSBK pula, Rea mengulangi kejayaannya pada tahun 2016, namun telah didesak dengan hebat oleh pencabar utamanya, Chaz Davies dari Ducati. Sykes telah mendapat tempat ke-dua.

Jonathan Rea, 2016

Musim 2017 telah hampir tamat dengan perlumbaan di Qatar pada 2 dan 3 November. Kecuali untuk dua persaraan akibat terbabas, Rea telah memenangi 14 pusingan dan tidak pernah sekali pun menamatkan perlumbaan di luar podium. Dia telah pun ditabalkan Juara WSBK buat kali ketiga.

Jonathan Rea di Assen, 2017

Kawaski juga telah memperkenalkan model homologasi WSBK pada tahun 2017, dinamakan Ninja ZX-10RR dengan kepala silinder yang diubahsuai,
valvetrain‘ disalut DLC, ‘crankcase‘ yang diperkukuh, rim tujuh-jejari Marchesini, quickshifter dwi-arah, dan pelana tunggal. Model ini adalah model keluaran terhad dengan hanya 500 unit, dan pelanggan boleh memesan bahagian kit perlumbaan.

ZX-10RR 2017
KESIMPULAN

Jadi, begitulah serba sedikit tentang latar belakang motosikal Kawasaki yang telah menakluki dunia. Seperti yang telah kami katakan sebelum ini,
perbandingan secara terus antara yang lama dan baru tidak sesuai sekali, memandangkan teknologi dan kejuruteraan motosikal, serta teknologi pengeluaran, pengalaman dan bahan-bahan banyak berubah dari zaman ke zaman.

Namun, apa yang tetap ada adalah semangat Kawasaki dalam merintis kejuruteraan, prestasi dan juga rekabentuk. Dari segi ini, tiada bezanya antara yang lama dan juga baru.

Motosikal elektrik konsep Kawasaki J
Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]