ULASAN: California Superbike School Malaysia 2019

ULASAN CALIFORNIA SUPERBIKE SCHOOL MALAYSIA 2019

Setiap kali kami ke BHP Karak setiap minggu, jelas ternyata terdapat semakin rakyat Malaysia yang telah terjebak dengan dunia motosikal berkuasa tinggi. Pelbagai jenis dari pengeluar motosikal serata dunia dapat dilihat melayan ‘corner’ di Bukit Tinggi, Genting, Cameron dan banyak lagi.

Setiap minggu juga terdapat banyak kes dimana kemalangan jalan raya dapat dilihat yang disebabkan oleh pelbagai aspek. Dari keadaan jalan hingga kecuaian ‘rider’ sendiri, ini adalah antara perkara yang paling tidak diingini oleh mana-mana pihak di dalam atau luar negara.

Oleh kerana itu, terdapat pelbagai program yang telah diilhamkan untuk membantu pemilik motosikal bukan sahaja dalam membaiki teknik menunggang yang lebih optimum malah untuk mengurangkan lagi risiko ketika menunggang di jalan raya atau litar-litar antarabangsa.

Salah satu program yang paling terkenal di dunia adalah California Superbike School. Pada awal bulan Julai, SBR Trackdays telah menganjurkan California Superbike School Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan niat untuk mengukuh dan memperkemaskan lagi ‘skill’ menunggang di dalam kawasan litar.

Lebih dari 80 pemilik jentera berkuasa tinggi telah mengambil bahagian dari beberapa negara dan kami juga telah mendapat peluang untuk menduduki program 2 hari ini. Persoalan yang paling penting adalah apakah itu California Superbike School Malaysia 2019 dan kelebihannya?

California Superbike School atau CSS adalah program menunggang di litar yang telah diilhamkan oleh Keith Code, seorang warganegara Amerika Syarikat yang dianggap oleh ramai pihak sebagai salah satu tenaga pengajar menunggang motosikal yang paling ‘power’ di dunia.

Program menunggang CSS telah dijalani sejak tahun 1980 dan melalui pengalaman yang luas di dalam dunia pemotoran, program CSS telah berjaya berkembang dan berurusan dengan beribu-ribu penunggang dalam mengemaskan lagi teknik menunggang masing-masing.

Bagi rantau Asia, CSS dari Australia telah turun ke SIC bersama barisan tenaga pengajar yang berpengalaman tinggi. Secara ringkas, program mereka telah dipecahkan kepada 4 tahap berbeza dimana ia bermula dengan teori di dalam kelas, latihan di dalam litar dan perbincangan ‘debrief’ bersama jurulatih selepas sesi di dalam litar.

Kami berjaya melengkapkan Tahap 1 dan 2 selama dua hari di Sepang dan program CSS telah membuka minda kami dengan betapa ceteknya kemahiran menunggang kami selama ini. Tahap 1 dan 2 lebih fokus kepada memperkemaskan kemahiran asas atau ‘basic’ dimana jurulatih menekankan bahawa ‘basic’ itu bukanlah yang senang tetapi teknik yang digunakan selalu oleh mana-mana penunggang tidak kira jentera yang dibawa.

Kami sangat kagum dengan kaedah mengajar mereka dimana kelajuan bukan perkara yang paling penting tetapi lebih kepada menggunakan kemahiran yang betul, selamat dan efektif. Jika perkara ini dapat dipupuk, kelajuan itu akan datang secara semula jadi dan itulah yang CSS ingin diketengahkan.

Kawalan dan keyakinan menunggang telah berjaya dipupuk melalui program CSS dimana kurikulum pengajaran sangat berbeza dan juga lain dari yang lain. Sebagai contoh, jurulatih CSS memberi kesemua peserta untuk meneroka kesemua kawasan di dalam litar yang sebenarnya lebih lebar dari jangkaan awal. Jika anda hilang kawalan, sebenarnya terdapat banyak kawasan dan cara untuk mengawal jentera dengan selamat dan yakin.

Cara mereka mengajar juga sangat menarik dimana ia bermula dengan pemahaman teori di dalam kelas dengan ketua jurulatih CSS Australia, Stephanie Redman. Teknik diajar secara teori sebelum kami praktikkan di dalam litar bersama jurulatih-jurulatih terkemuka CSS.

Untuk pastikan setiap peserta mendapat manfaat, setiap jurulatih hanya mengajar tiga peserta setiap kali memasuki litar. Proses ini diulangi sebanyak 5 kali setiap hari dimana teknik dan pemahaman yang lebih maju diperkenalkan secara berperingkat.

Bagi sesi pertama di dalam litar, kami agak terkejut bila tenaga pengajar mengata bahawa kami hanya boleh menggunakan satu gear dan tanpa brek. Ini adalah untuk membiasakan diri dengan kawalan kelajuan tanpa pengaruh luar yang lain. Aspek yang paling penting dalam menunggang adalah kawalan pendikit atau ‘throttle control’.

Memang cuak pada awalnya (lebih-lebih lagi di Turn 9) tetapi dengan cara ini, kesemua peserta telah mendapat pemahaman yang lebih baik dengan kawalan kelajuan dan arah tuju. Segala aspek dari kawalan pendikit, garis perlumbaan hingga kawalan brek diperkenalkan pada setiap langkah dan di hujung hari, teknik tunggangan yang lebih konsisten, tepat dan selamat telah berjaya dilahirkan.

Aspek-aspek lain yang juga diperkenalkan dalam CSS adalah:

  • Titik-titik ‘cornering’ (turn points)
  • Sudut ‘cornering’ cepat (quick steer)
  • Cara tunggang ‘relax’
  • Teknik penglihatan (vision training)

Hasil segala titik peluh kesemua peserta adalah teknik menunggang yang lebih konsisten, optimum, dan efektif tanpa ragu. Walaupun ia telah membuat kami lebih pantas di dalam kawasan litar, segala teknik yang telah dipertengahkan oleh California Superbike School Malaysia 2019 boleh digunakan di kawasan jalan raya.

Dengan adanya ‘skill’ yang betul dari tenaga pengajar berpengalaman tinggi, risiko menunggang di jalan raya juga boleh dikurangkan kerana di penghujung program CSS tidak kira tahap 1,2,3 ataupun 4, anda akan menjadi sebuah penunggang yang lebih bersedia secara fizikal dan mental untuk memberi keyakinan lebih hebat.

Kami di Motomalaya.net ingin berterima kasih pengurus SBR Trackdays, Joseph Lee, yang telah memberi peluang kepada kami untuk menduduki program CSS Malaysia 2019. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua tenaga pengajar, lebih-lebih lagi kepada Stephanie Redman (Chief Ride Coach), Damian Mackie (Riding Coach), dan Gerry Signorelli (Riding Coach).

Untuk maklumat lanjut, layari https://superbikeschool.com/.

BMW R 1250 GS, R 1250 GS Adventure dan F 850 GS Kini Dilancarkan!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.