Honda ADV 150 Diperkenalkan Di GIIAS 2019

Gaikindo Indonesia International Auto Show 2019 (GIIAS) membuka tirai dengan memperkenalkan Honda ADV 150, sebuah skuter ‘adventurer’ yang sebelum ini diperkenalkan menerusi model skuter yang lebih besar, Honda X-ADV.

Meskipun didatangkan dengan enjin 150cc namun sekali pandang, jelas Honda ADV 150 memiliki reka bentuk paling unik di dalam kelasnya.

Seperti model abangnya (X-ADV), rekaan keseluruhan ADV 150 turut tampak agresif.

Honda ADV 150 turut didatangkan dengan paparan digital penuh dan lampu LED di bahagian depan dan belakang.

Meskipun bersaiz kecil namun model ini turut dilengkapi dengan cermin penghadang angin boleh laras dan ruang simpan yang luas di bawah tempat duduk.

Pada masa sama, Honda ADV 150 turut dilengkapi dengan fork teleskopik dan penyerap hentakan Showa di bahagian belakang dan beberapa ciri keselamatan penting, antaranya ABS.

Perbezaan paling ketara ADV 150 dengan X-ADV adalah penggunaan rim aloi berukuran 14 inci depan dan 13 inci di belakang namun masih didatangkan dengan tayar ‘dual-purpose’.

Honda ADV 150 dilengkapi dengan enjin 149.3cc SOHC satu silinder dengan sistem Idling Stop yang menghasilkan 14hp pada 8,500rpm dan 13.8Nm pada 6,500rpm.

Disebabkan model ini mendapat enjin 150 pastinya ia akan menjadi saingan kepada Yamaha NVX seandainya Honda membawa masuk jentera ini ke pasaran Malaysia.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.