‘Countdown’ Bagi Phuket Bike Week Ke-25 Bermula!

  • Detik ‘countdown’ bagi festival Phuket Bike Week kali ke-25 telah bermula.
  • Acara tahun ini akan berlangsung dari 12 hingga 14 April di Pantai Patong, dan 19 hingga 20 April di Phuket Boat Lagoon
  • Sekitar 50,000 orang pengunjung dijangka akan menghadiri pesta tahun ini.

Tinggal beberapa hari lagi sebelum tibanya bulan April dan para penggemar gaya hidup permotosikalan pasti sudah sedia maklum yang ianya sudah hampir tiba masanya bagi acara tahunan pesta Phuket Bike Week (PBW).

Acara tahunan ini bertambah istimewa pada tahun ini di mana ia bakal menyambut ulang tahun ke-25nya dengan slogan “World Ride Together”. Dan oleh kerana itu, ia menjanjikan sambutan terhebat bagi perhimpunan motosikal terbesar di Asia ini.

Pihak penganjur dan badan pelancongan negara Thailand menjangkakan lebih daripada 5,000 buah motosikal dari pelbagai jenis, dan 50,000 peserta dan pengunjung dari lebih 30 buah negara termasuklah dari Thailand sendiri. Mereka juga menganggarkan yang pesta ini akan membawa masuk keuntungan sebanyak 500 juta THB.

Seperti kebiasaannya, pesta PBW ini akan berlangsung di dua buah lokasi di atas pulau Phuket pada dua tarikh yang berbeza. Bahagian pertama festival ini akan diadakan di Loma Park, Pantai Patong dari 12 hingga 14 April. Acara kedua akan diadakan di Phuket Boat Lagoon dari 19 hingga 20 April.

Dan ingin kami ingatkan yang pesta PBW tahun ini diadakan serentak dengan pesta air Songkran, yang bermula dari 13 dan berakhir pada 15 April, dan dengan itu para pengunjung boleh menikmati lebih banyak keseronokan.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah disediakan adalah pameran motosikal, pertandingan motosikal buatan khas, pertandingan Miss Phuket Bike Week, konvoi amal, dan lain-lain. Hiburan termasuklah para penghibur serta kugiran rock, antaranya kugiran legenda Thailand, Carabao yang terkenal dengan lagu popular mereka, “Made in Thailand”, kugiran rock terkemuka Malaysia, Wings, dan lain-lain lagi.

Jadi, mulakanlah perancangan anda untuk berkonvoi ke PBW tahun ini!

Sila rujuk www.phuketbikeweek.com bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]