WorldSBK 2019: Alvaro Bautista Dan Ducati Kekalkan Penguasaan Pada Hari Kedua

Alvaro Bautista di atas jentera Ducati Panigale V4 R sewaktu ujian pra musim WorldSBK 2019 Phillip Island – Sumber imej: ultimatemotorcycling.com

  • Alvaro Bautista dan Ducati telah meneruskan dominasi mereka pada hari kedua bagi ujian pra musim WorldSBK 2019 yang terakhir.
  • Dia telah berjaya mencatatkan masa yang lebih pantas pada hari terakhir ujian, meletakkannya di hadapan para penunggang yang lain.
  • Sekali lagi, lima tempat teratas telah diduduki oleh empat buah pengilang yang berbeza.

Alvaro Bautista bersama dengan Ducati telah meneruskan penguasaan mereka pada hari kedua ujian pra musim WorldSBK 2019 yang terakhir sebelum bermulanya musim yang baharu.

Gandingan Bautista dengan jentera Ducati Panigale V4 R telah menghasilkan catatan masa terpantas 1:30.743 pada hari pertama, menjadikannya satu-satunya penunggang yang berjaya mencatat masa di bawah 1 minit 31 saat. Penunggang kedua terpantas adalah Tom Sykes, yang mengemudi motosikal BMW S 1000 RR baharu, ketinggalan hampir 0.6 saat di belakang Bautista dengan catatan masa 1:31.300.

Sekiranya catatan masa Alvaro Bautista sukar untuk diatasi pada hari pertama, hari keduanya menjadi bertambah sukar apabila Bautista mencatatkan masa 1:30.303 yang teramat pantas.

Lebih utama lagi, Bautista kekal konsisten dalam catatan masanya. Secara keseluruhannya, Bautista telah melakukan 33 pusingan pada sesi kedua. Dari jumlah berkenaan, dia berjaya mencatat masa 1 minit 30 saat dalam 17 pusingan, dan 8 pusingan dengan catatan masa 1 minit 31 saat, selebihnya adalah pusingan pemanas dan pusingan sebelum memasuki pit. Ianya satu kemajuan yang menakjubkan buat penunggang baharu pasukan Aruba.it Racing Ducati WorldSBK itu. Bautista turut merekodkan kelajuan tertinggi di kalangan pelumba dengan catatan 314.9 km/j.

Dominasi ini adalah satu berita mengujakan buat Ducati, yang merupakan “Raja perlumbaan Superbike” pada tahun 90-an dan awal 2000.

Lima penunggang terpantas telah memperbaiki catatan masa mereka pada hari kedua, mereka semua telah mencatatkan masa di bawah 1 minit 31 saat. Tom Sykes merupakan penunggang kedua terpantas di atas motosikal BMW dengan catatan masa 1:30.539; penunggang baharu Kawasaki, Leon Camier menjadi penunggang ketiga terpantas dengan catatan masa 1:30.686, juara 2018 dan juga sebanyak empat kali, Jonathan Rea di tempat keempat bersama jentera Kawasaki dengan catatan masa 1:30.722; manakala penunggang pasukan persendirian Yamaha, Marco Melandri mencatatkan masa kelima terpantas dengan 1:30.760 di hadapan penunggang pengilang Yamaha, Michael van der Mark.

Sekali lagi empat buah pengilang berbeza telah mengisi lima tempat teratas. Nampaknya kita bakal menyaksikan kejohanan WorldSBK musim 2019 yang amat mengujakan!

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.