Kejuaraan Dunia WorldSBK 2021 Jadi Milik Toprak Razgatlioglu

Pelumba Yamaha, Toprak Razgatlioglu muncul juara dunia Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2021 meskipun menamatkan pusingan akhir di Litar Mandalika di belakang pesaing utama, Jonathan Rea.

Meskipun perlumbaan Race 1 dengan 20-lap itu pada awalnya terganggu dengan hujan namun tempat kedua sudah cukup buat Razgatlioglu mengukuhkan kedudukan mata untuk muncul juara dunia meskipun masih berbaki satu perlumbaan lagi.

Razgatlioglu menjadi pelumba pertama untuk merangkul takhta WorldSBK buat Yamaha sejak Ben Spies melakukannya pada 2009.

Razgatlioglu juga muncul pelumba Turki pertama yang berjaya melakar kejayaan tersebut.

Sementara itu, kejayaan Razgatlioglu juga menyaksikan dia menamatkan dominasi enam tahun berturut-turut Rea di pentas WorldSBK.

“Sukar untuk saya jelaskan perasaan saya ketika ini.

“Impian saya musim ini sememangnya mahu muncul juara dunia untuk arwah ayah saya jadi hari ini cukup istimewa.

“Pada awalnya saya berasa gerun kerana tayar depan tergelincir beberapa kali. Ini adalah hari yang sangat istimewa buat saya,” jelas Razgatlioglu selepas Race 1 selesai.

Rea mendahului perlumbaan sebaik aksi bermula dengan Razgatlioglu jatuh ke tempat keempat sebelum kembali mengejar dan memintas Garret Gerloff dan Scott Redding untuk mengambil tempat kedua sementara Redding ketiga.

Kejuaraan ini juga bermakna, Razgatlioglu sertai juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo yang berjaya menghadiahkan kejuaraan untuk Yamaha dalam musim sama.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.