Tunggang Uji Ducati Scrambler 1100 Sport – Kemuncak Sebuah Scrambler

  • Motosikal Ducati Scrambler 1100 Sport merupakan model utama dalam rangkaian Scrambler.
  • Ia dilengkapi dengan pelbagai komponen yang tercanggih.
  • Motosikal ini juga didatangkan dengan Kawalan Cengkaman Menyelekoh berasaskan IMU Bosch dan ABS Menyelekoh.

Sewaktu penulis menunggang motosikal Ducati Scrambler 1100 Sport, suatu kesedaran telah melanda diri; rangkaian ini telah banyak berubah sejak pengenalan motosikal Scrambler Icon yang pertama pada tahun 2015.

Pada ketika itu, sukar bagi kita untuk menerima idea menunggang sebuah Ducati yang tidak terasa seperti sebuah Ducati. Dalam minda kita telah tersemat satu imej dan penunggangan tradisional sebuah Ducati: suspensi dan stereng yang keras, posisi menunggang yang menonggek, dan bermacam-macam lagi. Namun, yang lebih ketara lagi, motosikal Ducati wajib berwarna MERAH.

Kami menjadi lebih keliru apabila kami mula menunggangnya. Enjinnya tidak syak lagi berbunyi seperti sebuah Ducati, namun, suspensi, pengendalian, posisi duduknya, semua terasa ‘asing’. Bukannya ianya sesuatu yang buruk, tidak. Ianya hanya bermakna yang kita cuba melepaskan diri dari belenggu yang mengatakan “Ducati itu merah”. Dan menjelang penghujung penunggangan itu kami dapati diri agak menyukainya, di mana kami mula memahami falsafah keseluruhan berkaitan model ini.

Sejak itu, rangkaian Scrambler ini telah berkembang daripada model Icon yang asas kepada pelbagai varian yang berbeza termasuklah Urban Enduro, Full Throttle, Classic, Café Racer, dan Desert Sled. Sebuah varian 400cc yang digelar Sixty2 juga turut diperkenalkan. Ducati telah menjual 56,000 buah Scrambler pada ketika itu.

Kini, Ducati telah memperkenalkan dua buah model 1100cc baharu bagi melengkapkan lagi rangkaian ini. Dua varian baharu ini adalah model 1100 Special dan 1100 Sport yang telah kami tunggang uji.

Pengenalan kepada motosikal Scrambler 1100 Sport

Motosikal Scrambler 1100 Sport merupakan motosikal utama dalam keseluruhan rangkaian Scrambler.

Enjin L-Twin (V-Twin dengan engkolan 90º), 2 injap bagi setiap silinder, sejukan udara/minyak, 1,079cc ini diambil dari motosikal Monster 1100 Evo. Ia menghasilkan 86hp dan 88Nm tork.

Tanda nama “Sport”-nya ditonjolkan dengan penyertaan sepasang fork terbalik boleh laras 48mm Öhlins bersama dengan penyerap hentakan belakang tunggal Öhlins. Penyerap hentakan berkenaan boleh dilaras untuk pra muatan dan redaman lantunan. Selain itu, angkup brek hadapannya adalah dari jenis Brembo M4.32B Monobloc. Ini adalah angkup yang sama dilengkapkan pada motosikal 899 Panigale.

Kedua-dua model 1100 ini menggunakan Kawalan Cengkaman Menyelekoh Bosch dan ABS. Selain itu, terdapat tiga mod penunggangan. ACTIVE memberikan tindak balas pendikit yang langsung; JOURNEY memberikan tindak balas pendikit yang lebih lembut pada kuasa yang penuh dan CITY, yang mengehadkan kuasa kepada 75hp dengan tindak balas lembut. Memilih mod penunggangan yang berbeza turut menukar tahap kawalan cengkaman (DTC).

Akhir sekali, ekzosnya. Di mana model Scrambler yang lain mempunyai hujung paip ekzos yang rendah, motosikal 1100 ini menempatkan hujung paip ekzos ini di tempat yang tinggi, hanya di bawah dan ke sisi pelana pembonceng. Unit tunggang uji kami telah dilengkapi dengan ekzos pilihan tambahan Termignoni yang meletakkan kedua-dua hujung paip ekzos di sebelah kanan. Ia berbunyi amat merdu sekali.

Penunggangan Ducati Scrambler 1100 Sport

Posisi duduknya masih kekal seperti sebuah Ducati Scrambler – neutral dan semulajadi. Kami amat menyukai posisi palang pemegang yang sama seperti model Full Throttle dan lebih rendah berbanding Icon. Ia meletakkan batang badan kami ke hadapan sedikit di atas tangki bahanapi.

Pulas pendikitnya dan daya kilas enjin V-Twin-nya akan mengambil alih. Hanya perlu pulas dan ia akan bergerak. Namun ini tidak bermakna yang ianya sukar dikawal. Sebaliknya, tindak balas pendikitnya teramatlah lancar dan linear walaupun dibandingkan dengan enjin 803cc.

Apa yang ia lakukan adalah meningkatkan halajunya sedikit demi sedikit. Ini adalah suatu perkara yang bagus kerana penunggang tidak dikejutkan dengan peningkatan kelajuan yang mendadak.

Kotak gearnya juga telah jauh dipertingkatkan, memberikan rasa positif setiap kali ia memasuki gear baharu. Tiada lagi rasa seperti ‘tercari-cari’ seperti yang dirasai pada motosikal Ducati dan kami tidak terlepas satu pun gear. Tetapi ia masih sebuah Ducati dan akan berbunyi ‘chugga-chugga-chugga’ jika anda cuba memasuki gear yang terlalu tinggi.

Palang pemegangnya yang lebar memberikan kawalan yang baik pada bahagian hadapan kerana ia memberikan lebih banyak daya penuasan. Pengendaliannya cukup hebat sekali kerana ianya dikawal oleh Öhlins. Motosikal 1100 Sport ini dipegas dengan lebih ‘sporty’, tanpa terasa teapung seperti sebuah motosikal Icon. Malah, pengendaliannya lebih mirip kepada sebuah Monster.

Anda nampak radius selekohnya yang makin mengecilnya itu? Ambil laluan yang lebih lebar dan beloklah motosikal ini memasukinya. Kemudian, pulas pendikitnya bagi memecut keluar dari selekoh. Bukan cara yang paling ideal untuk menunggang namun ia mempamerkan akan kebolehan motosikal ini. Perwatakan pengendalian sebegini teramatlah berguna sewaktu anda menunggang di jalan yang sempit seperti menaiki Genting Highlands, Ulu Yam, Titi Kelawang.

Suspensinya itulah yang telah membolehkannya untuk menangani selekoh dengan cara sebegini, manakala kawalan cengkamannya berfungsi dalam mengawal reaksi roda belakang sewaktu anda memulas pendikit ketika mengiring.

Atau ketika di pusat bandar Kuala Lumpur.

Hayun motosikal ke kiri, hayun motosikal ke kanan. Pecut dengan deras dan pada masa yang sama, orkestra mekanikalnya akan mengalunkan lagunya buat para pengguna jalan raya yang lain, dan anda boleh mengharapkan breknya yang kuat dan casis yang hebat bagi membantu anda untuk melepasi sebarang halangan.

Motosikal Scrambler 1100 Sport bukan sahaja hebat ketika bergerak. Rupa parasnya yang klasik dan pada masa yang sama, ‘sado’, sudah pasti akan menarik perhatian ramai.

Kesimpulan

Motosikal Ducati Scrambler 1100 Sport adalah motosikal utama yang layak mengetuai rangkaian Scrambler. Bahagian istimewanya bukan sahaja menambahkan lagi faktor keranggiannya tetapi ia juga meningkatkan lagi tahap prestasi motosikal ini.

Sila kunjungi bilik pameran Ducati Petaling Jaya untuk menunggang uji motosikal ini.

GALERI GAMBAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.