Ducati Scrambler 1100 2018 Telah Tiba Di Malaysia! Dari RM83,000

  • Next Bike Sdn Bhd dengan secara rasminya telah melancarkan model Ducati Scrambler 1100 varian Special dan Sport 2018 di Malaysia.
  • Pelancaran rasminya telah diadakan di festival Art of Speed 2018 yang sedang berlangsung pada hujung minggu ini di MAEPS Serdang.
  • Motosikal Ducati Scrambler 1100 Special datang dengan harga RM83,000, manakala varian Sport pula pada harga RM85,000 (harga atas jalan, tidak termasuk insuran, beserta 0% GST).

Next Bike Sdn Bhd, pengedar tunggal Ducati di Malaysia telah memperkenalkan secara rasmi Ducati Scrambler terkini dan paling berkuasa pernah dibina bagi pasaran Malaysia. Motosikal Ducati Scrambler 1100 2018 tampil dengan dua varian berbeza, iaitu Ducati Scrambler 1100 Special dan Ducati Scrambler 1100 Sport.

Menurut Encik Nazman Shah, Ketua Jabatan Dua-Roda, Naza Corporation Holdings, “Motosikal Scrambler 1100 tampil bagi memenuhi segala permintaan penggemar motosikal dengan menerapkan lebih banyak keseronokan, gaya, dan kebebasan yang menjadi tanda aras rangkaian Scrambler ini.”

Jualan global bagi rangkaian Scrambler telah melonjak melebihi paras 46,000 unit sejak pengenalannya pada tahun 2015 dan kini, dengan ketibaan model Ducati Scrambler 1100 di Malaysia telah melengkapkan rangkaian tawaran Scrambler kami di sini, di mana keseluruhan rangkaian Scrambler kini boleh didapati melalui Ducati Malaysia,” tambah Encik Nazman sewaktu ucapan pelancaran rasmi motosikal berkenaan di festival Art of Speed Malaysia 2018.

Dilancarkan sewaktu pertunjukan EICMA tahun lalu di Milan, motosikal Ducati Scrambler 1100 ini tidak disangkal lagi adalah motosikal Scrambler paling berkuasa dikeluarkan Ducati setakat ini. Ianya diperkukuhkan lagi dengan enjin 1,079cc, sejukan udara, ‘L-Twin’ yang mampu menghasilkan sehingga 86hp pada 7,500rpm dan 88.4Nm tork pada 4,750rpm, dan pada masa yang sama, mematuhi piawaian emisi ketat Euro-4.

Dari segi faktor keriangan, penggayaan, dan keterselahan diri, motosikal Scrambler 1100 ini tidak memberi walaupun sedikit kompromi dalam setiap tahap pembangunannya, yang mana dapat di lihat pada hasilnya. Bagi mereka yang lebih gemar pada motosikal dengan tarikan yang lebih klasik dan kontemporari, mereka boleh memilih model Scrambler 1100 Special, dan bagi mereka yang lebih ‘liar’, boleh sahaja memilih model Scrambler 1100 Sport yang lebih sporty dan kekar.

Ducati dapat mencapai ke semua faktor prestasi ini dan pada masa yang sama mengekalkan asasnya pada motosikal yang dibina pada tahun 70-an, dan sudah semestinya, pada semangat “Land of Joy”. Bagi merumahkan enjin yang lebih besar dan berkuasa ini, model Scrambler ini telah dibesarkan dan dilebarkan, yang mana juga turut membantu dalam meningkatkan keselesaan penunggangan keseluruhan bagi kedua-dua penunggang dan pembonceng.

Ciri berprestasi tinggi yang lain termasuklah:

  • Kerangka keluli ‘upper spar’ Trellis serba baharu.
  • Sub rangka belakang aluminium.
  • Tangki bahanapi 15 liter.
  • Kit suspensi Öhlins (set Kayaba bagi Scrambler 1100 Special).
  • Fork hadapan terbalik 45mm.
  • Cornering ABS Bosch 9.1 MP.
  • Ducati Traction Control.
  • Dwi cakera hadapan 330mm dengan angkup 4 omboh Brembo M4.32B monobloc.
  • Mod penunggangan boleh pilih (Active, Journey, City).

Ducati Scrambler 1100 Special datang dalam skema warna Custom Grey yang amat menggiurkan, cocok skali dengan kerangka dan rodanya yang dilegapkan, manakala varian Sport pula dilengkapi dengan skema warna Viper Black dengan kemasan kuning meliputi keseluruhan jentera.

Untuk harganya pula, Next Bike Sdn Bhd telah menetapkan harga jualan bagi varian Special pada RM83,000, dan RM85,000 bagi varian Sport (harga atas jalan, tidak termasuk insurans, beserta 0% GST). Bagi mereka yang menempah motosikal ini bermula sekarang hingga 5 Ogos 2018 akan dapat menikmati pengecualian cukai SST istimewa untuk harga akhirnya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila kunjungi mana-mana bilik pameran rasmi Ducati di seluruh Malaysia.

12 Buah Motosikal Ducati Panigale V4 S Kemasan Grafik Perlumbaan Akan Dilelong!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]