Tunggangan Tour Melaka 2018

  • Konvoi “Tour Melaka 2018” telah diadakan bagi mempromosikan Melaka sebagai destinasi yang menyeronokkan buat penunggang motosikal, yang merupakan sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Melaka 2019.
  • Oleh itu, pihak penganjurnya telah menjemput para penunggang dari Thailand dan Singapura.
  • Konvoi ini membawa para peserta mengunjungi tempat-tempat tarikan pelancong paling popular di sekitar Melaka dalam tempoh dua hari.

Konvoi “Tour Melaka 2018” telah diadakan pada bulan Disember tahun lalu dan merupakan sebahagian daripada promosi yang dijalankan oleh negeri Melaka.

Tunggangan berkenaan telah dianjurkan oleh Fast Bikes Club (FBC) bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, dan Kebudayaan Negeri Melaka.

Ia telah dianJurkan bagi mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019. Dan dengan itu, Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, dan Kebudayaan Negeri Melaka berharap yang negeri berkenaan bakal menjadi destinasi buat para penunggang dari rantau ini.

Para penunggang dari seluruh pelusuk Malaysia, Singapura, dan Thailand telah menghadiri konvoi ini. Acara ini telah ditaja oleh KTM Malaysia dan Harley-Davidson Petaling Jaya, bersama para penaja yang lain.

Hari Pertama

Sejumlah peserta telah memulakan perjalanan dari HDPJ. Hujan mulai turun sebaik sahaja konvoi bermula tetapi ke semua peserta selamat sampai di R&R Ayer Keroh. Satu lagi kumpulan telah menunggu di lokasi berkenaan untuk menyertai mereka.

Kumpulan itu kemudiannya telah meneruskan perjalanan mereka ke Hotel Mudzaffar yang terletak berhampiran Planetarium Melaka dan laluan utama Ayer Keroh yang sibuk.

Para peserta berkumpul semula di sebelah malam untuk makan malam. Mereka telah diiringi oleh Polis Trafik ke Restoran Halia Inc., yang terletak berseberangan The Stadhuys di Bandar Hilir (pusat bandar), dan tidak jauh dari Jonker Walk.

Ketua penganjur, Cik Nini, mengalukan ketibaan para penunggang dan memberikan taklimat kepada semua mengenai misi tunggangan ini. Mereka semua telah diberikan peluang untuk mengalami sendiri apa yang boleh dinikmati di Melaka, antaranya warisan, budaya dan aktiviti yang menyeronokkan.

Selepas itu, para penari menaiki pentas bagi mempersembahkan tarian tradisional Melayu.

Selepas makan malam, para peserta telah dibawa ke jeti Melaka River Cruise untuk menaiki feri. Seorang pemandu pelancong dengan penuh bersemangat menceritakan sejarah dan budaya negeri Melaka ketika mereka menyusuri sungai, menikmati udara malam yang dingin ditemani pemandangan yang mengagumkan.

Hari Kedua

Satu lagi hari yang penuh dengan keseronokan menanti para penunggang pada keesokan harinya. Ia bermula dengan Hotel Mudzaffar memperkenalkan hidangan ikan asam pedas mereka sendiri. Berikutnya, Ketua Pegawai Eksekutif Taming Sari telah mempromosikan Menara Taming Sari dan menggalakkan pihak media untuk mempromosikan tarikan tersebut.

Konvoi kemudiannya memulakan perjalanan dari hotel menuju ke Masjid Lama Rumbia. Di sana, para peserta bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran masjid.

Selesai tugas di sana, konvoi ini bergerak untuk menikmati makan tengah hari sebelum menuju ke Menara Taming Sari. Platform pemandangannya itu naik ke atas kira-kira 100 meter bagi membolehkan para pelawat untuk menikmati pemandangan dari atas Bandaraya Melaka.

Para peserta kemudiannya diiring ke Klebang bagi menikmati ‘coconut shake’ yang asli. Seperti biasa, kawasan itu dipenuhi dengan para pengunjung, namun, mereka berjaya menikmati minuman yang menyejukkan itu.

Kemudiannya, konvoi berkenaan telah diiring ke Kampung Sungai Petai untuk menjalankan satu lagi aktiviti khidmat masyarakat dan juga permainan bersama penduduk kampung.

Jawatankuasa tunggangan berkenaan bersama para penduduk kampung telah mengadakan permainan tradisional seperti tarik upih, tiup tepung, permainan boling menggunakan buah kelapa, bola sepak dengan menggunakan buah kelapa manakala para peserta mengenakan kain sarung, dan kerusi muzikal.

Akhir sekali, hadiah telah diberikan kepada penduduk kampung dan satu cabutan bertuah telah diadakan, disertai penduduk kampung dan peserta konvoi.

GALERI GAMBAR