Moto Guzzi Tuscany Experience : Demi Cinta Terhadap Pengembaraan Dan Jenama Moto Guzzi

“Anda telah datang ke tempat yang sesuai untuk menunggang motosikal. Selatan Itali terlalu terpengaruh dengan budaya mediterranean, dan Utara Itali pula dipengaruhi dengan Jerman dan Swiss. Bahagian Tengah Itali masih lagi Itali yang sejati, segala-galanya sama ada budaya mahu pun landskapnya,” ujar pemandu teksi di stesen keretapi Siena, dalam perjalanan ke Hetol Montaperti, yang terletak lebih kurang 20 minit dari bandar.

Siena adalah sebuah bandar Zaman Pertengahan (medieval) Itali yang mempunyai sejarah berabad lamanya, seawal 900Sebelum Masihi. Dan seperti bandar-bandar Itali lain yang bersejarah, Siena dihiasi dengan bangunan batu-bata lama, medan di tengah-tengah bandar, menara jam yang tinggi, dan juga sebuah Gereja Katolik besar dengan rekaan yang rumit.

Penulis baharu sahaja tiba dari Kuala Lumpur setelah menjalani penerbangan selama 25 jam. Penulis ada masa sehari untuk beristirehat sebelum menyertai konvoi yang akan datang. Kepenatan, penulis memutuskan untuk berehat kira-kira jam 7 petang waktu Itali (1 pagi pada waktu Malaysia), tetapi, sebelum itu, penulis telah turun ke kawasan parkir hotel untuk melihat pelbagai jentera Guzzi yang menawan.

Tersusun rapi, terdapat hampir keseluruhan rangkaian motosikal Moto Guzzi moden, termasuklah model MGX-21 yang gergasi, model Audace yang mendominasi, keseluruhan rangkaian V7 III, serta model V9. Tidak sabar menanti hari penunggangan nanti, tetapi, sebelum itu, penulis perlu berehat secukupnya. Oh ya, ada juga beberapa buah motosikal Aprilia, yang akan digunakan marsyal bagi mengawal kumpulan konvoi nanti.

Jenama Moto Guzzi mulai mendapat sambutan semula di Malaysia. Pengeluar motosikal dari Itali ini adalah salah sebuah pengeluar tertua dunia, dan juga merupakan yang pertama memiliki terowong angin dalam kilangnya, serta, pada satu masa, merupakan motosikal terlaris dunia, selain merupakan pengeluar motosikal pertama yang menggunakan enjin V pautan melintang, sebuah ciri masih dapat dilihat pada hari ini pada semua motosikal Moto Guzzi.

Terbitnya mentari keesokan harinya, menghangatkan tanah ladang dan melenyapkan kabus malam sebelumnya bagi menyerlahkan pemandangan desa Tuscany yang menakjubkan. Penulis membelek-belek motosikal Guzzi yang tersusun, mencari pilihan sebagai tunggangan pada hari ini.

Di sebelah kiri penulis adalah motosikal MGX-21 Flying Fortress, sebuah motosikal gergasi yang diliputi karbon fiber tetapi masih tidak mampu mengurangkan berat motosikal ini. Pada pandangan penulis ia tampak ranggi, namun, walaupun meminati motosikal bagger, ia tidak begitu mencuit hati penulis, tetapi penulis tetap menunggangnya pada masa yang kemudian. Di sebelah kanan pula adalah rangkaian V7 dan V9, yang mana penulis fikir penulis akan tunggang pada lain hari memandangkan penulis ada empat hari penunggangan yang akan datang.

Dan akhir sekali, model Audace, sebuah motosikal yang baharu sahaja dilancarkan di Malaysia dan penulis telah mendengar banyak perkara yang baik daripada kebanyakan pengedar yang turut hadir untuk penunggangan ini. Jadi penulis memutuskan untuk menunggang Audace dalam warna Matte Impetouso Red Guzzi.. Meletakkan helmet penulis di atasnya mengesahkannya sebagai tunggangan penulis untuk hari berkenaan, persetujuan budiman yang difahami semua.

Hari pertama tunggangan tersebut lebih kepada penunggangan untuk membiasakan diri bagi semua – kerana tunggangan ini menghimpunkan sekumpulan penunggang dari UK, Australia, New Zealand, serta dari seluruh pelusuk dunia, hari pertama adalah peluang bagi semua untuk membiasakan diri menunggang di jalan raya Itali, dan membiasakan diri pada cuaca sejuk penghujung musim panas. Kami telah menunggang kira-kira 150km pada hari pertama, dan ianya cukup menakjubkan, melewati daerah “Crete Senesi”, merentasi bukit yang menghijau, melalui kampung-kampung lama, dan hentian di “Abbey of Monte Oliveto Maggiore”, yang ditubuhkan pada tahun 1313.

Digelar secara rasmi sebagai “Moto Guzzi Tuscany Experience”, tunggangan ini diadakan di beberapa buah tempat yang berbeza di seluruh Eropah pada musim yang berbeza. Selepas Tuscany, pasukan penganjur telah menuju ke Sardinia untuk tunggangan yang serupa dengan kumpulan pemilik dan pengedar yang berlainan. “Moto Guzzi Experience of Tuscany” adalah satu bahgian daripada tiga penunggangan yang berbeza, setiap satu direka untuk mempersembahkan kepada para pemilik dengan pengalaman pemilikan Moto Guzzi yang muktamad, dikelilingi antara landskap yang paling menakjubkan boleh dinikmati seorang penunggang motosikal.

Hari 2 melibatkan penunggangan sekitar 240km dengan hentian di Muzium Piaggio untuk makan tengah hari di samping menikmati pemandangan model lama dan baharu Vespa dan Aprilia, dan hanya sedikit model Moto Guzzi, yang mana boleh difahami memandangkan jenama tersebut beribu pejabat di Mandello del Lario, yang mana lebih dekat dengan Milan.

Penulis kekal dengan model Audace ini dengan lebih lama, ianya cukup sesuai sekali untuk jalan raya desa yang sempit, ketara sekali direka dan dibina untuk tunggangan santai dan pada masa yang sama, mempunyai sisi yang liar. Ianya dijana oleh enjin ‘V-Twin’ 1,380cc yang menghasilkan 96hp dan 121Nm tork. Pantas dan selesa, motosikal Audace ini barang kali kegemaran ramai peserta kerana kami semua tampak agak keberatan untuk melepaskannya kepada penunggang yang berikutnya, termasuklah penulis sendiri.

Setelah meneroka kawasan desa, kami berhenti di pekan bertembok Volterra, sebuah pekan lama yang telah didiami seawal abad ke 8 sebelum masihi. Selepas menikmati gelato dan mengelilingi persekitaran pekan ini, kami bertukar motosikal bagi tunggangan pulang ke hotel. Kali ini, penulis menunggangi V9 Bobber.

Penulis memiliki sebuah motosikal Harley-Davidson Sportster 48, dan pada pandangan penulis, ianya motosikal Bobber paling tulen sekali dalam pasaran, walaupun dengan pelbagai interpretasi dari pelbagai jenama yang lain. Tayar hadapan ’90 section’ yang tebal itu mungkin sekali membuatkan model 48 ini terasa agak kekok pada bahagian hadapannya, tetapi, tidak dinafikan akan nilai visual yang ada pada tayar besar yang gemuk. V9 Bobber pula merupakan satu penemuan yang mengejutkan, walaupun tidak mempunyai tarikan visual seperti model 48 atau pun Triumph Bobber.

Ia juga mempunyai tayar hadapan ’90 section’, tetapi, dengan kaki anda diletakkan pada tempat letak kaki tengah. Posisi duduknya selesa dan agak sporty, yang mana menjadikan motosikal Bobber agak hebat dalam mengendalikan selekoh. Namun secara semula jadinya, pengendaliannya itu agak terhad kerana tayar hadapannya yang besar itu.

Motosikal V9 Bobber tersebut memiliki enjin ‘V-Twin’ 853cc yang sama seperti model Roamer, dengan hasil keluaran 55hp dan 62Nm yang sama. Walaupun tidaklah terlalu laju, motosikal Bobber ini agak seronok untuk ditunggang, dan agak selesa walaupun dengan pelananya yang nipis. Dari segi ciri teknikal, motosikal V9 Bobber agak ringkas sahaja, atur cara suspensinya terdiri daripada fork hidraulik teleskopik di hadapan dan penyerap hentakan berganda yang dipaut pada lengan ayun aloi ringan dengan pra muatan boleh laras. Sistem pembrekannya terdiri daripada cakera brek 320mm yang diapit oleh angkup empat omboh Brembo di hadapan dan cakera brek 260mm dengan angkup dwi-omboh di belakangnya. ABS ditawarkan sebagai standard.

Satu tempat di mana motosikal 48 penulis benar-benar ketinggalan adalah jarak perbatuannya kerana tangki 8 liternya yang kecil itu. Penulis sering risau sewaktu menunggang jarak jauh di atas model 48 dan oleh kerana itu sering kali berhenti untuk isian semula lebih kerap dari diperlukan, dan atas sebab itulah penulis berkira-kira untuk menjualnya untuk sesuatu yang lebih sesuai. Dan itulah satu masalah yang tidak menghantui model V9 Bobber dengan tangkinya yang sebesar 15 liter itu. Ia mampu bergerak dengan lebih jauh dan cukup menyeronokkan sekali.

Hari 3 – Tunggangan 200km. Motosikal MGX-21 Flying Fortress adalah sebuah drama visual. Ia menarik perhatian ramai ke mana sahaja ia pergi, dan peminat motosikal lumba akan menyukai penggunaan meluas karbon fiber di hampir ke semua tempat yang boleh anda fikirkan (sila belek roda hadapan karbon fibernya di bawah). Namun begitu, walaupun diperbuat dengan salah sebuah elemen paling ringan di dunia, motosikal MGX-21 ini masih mempunyai berat sehingga 336kg! Ianya amat berat sekali, dan percayalah, Flying Fortress ini bukan mudah untuk ditunggangi, lebih-lebih lagi pada kelajuan rendah melalui trafik.

Penulis dapati motosikal agak cemerkap, dan kerana beratnya itu, ianya agak sukar untuk dikendali di selekoh. Ianya cukup mudah dikendali dalam laluan lurus, selesa dan santai untuk ditunggang, tetapi tidak pada kelajuan rendah. Motosikal ini mungkin sekali tidak akan tiba di tanah air kita, tetapi, dari segi rupa paras yang dramatik, Flying Fortress ini tampak seperti sesuatu yang muncul dari halaman komik Marvel.

Seterusnya saya tunggangi Moto Guzzi California, bagi perjalanan menuju ke bandar pengeluar wain, Montepulciano.

Seperti mana bandar-bandar lain yang telah kami kunjungi, Montepulciano juga telah wujud sejak sekian lama, dan dikelilingi oleh landskap yang mengagumkan. Pekan ini dibina di atas rabung batu kapur setinggi 2,000 kaki, jadi anda boleh bayangkan sahaja pemandangannya. Namun begitu, bandar ini lebih dikenali kerana wain yang dikeluarkannya, terutamanya ‘Vino Nobile’, yang dianggap sebagai wain terbaik Itali.

Model California ini dijana oleh enjin 1,380cc yang sama seperti motosikal MGX-21, dan juga turut menghasilkan 96hp dan 121Nm tork. Ia juga seberat 336kg, namun, tidak seperti motosikal MGX, motosikal California ini tidak dilengkapi langsung dengan karbon fiber. Ianya lebih kepada sebuah motosikal cruiser yang santai dengan penghadang angin tinggi dan lantai kaki yang luas. Pengendaliannya mirip dengan model MGX, tetapi, bagi model California ini ianya lebih selesa, barang kali kerana pelananya, atau kerana harapan saya terhadapnya lebih rendah kerana ia tidak dilengkapi dengan bahagian karbon fiber. Walau apa pun jua hakikatnya, penulis cukup seronok menunggang motosikal California ini, membiarkannya merasakan segalanya yang ada di atas jalan raya, dengan cermat memulas pendikit tanpa menurunkan gear, menikmati pemandangan yang ada. Ianya cukup sempurna.

Penulis menunggang model V7 III Rough baharu pada hari terakhir, di mana kami melalui perjalanan sejauh 100km ke bandar Siena. Model Rough ini boleh dianggap sebagai cubaan Guzzi dalam menghasilkan sebuah Scrambler, lengkap dengan tayar ‘knobby’, palang pemegang yang dibina khas, dan dapra aluminium yang nipis, seperti motosikal scrambler lama. Ada yang menganggap model Rough ini sebagai respon Moto Guzzi kepada Ducati dan Triumph, namun, tidak seperti model-model saingannya, model Rough ini bukan model ‘standalone’.

Seperti ke semua model V7 III, asas motosikal ini kekal sama, dengan enjin ‘V-Twin’ 744cc yang sama menjana ke semua motosikalnya, kerangka sama, saiz roda yang sama, fork yang sama, ke semua spesifikasi teknikal motosikal ini serupa seperti ke semua model V7 III. Dan dengan itu model Rough ini tiada bezanya, hanya bahagian visualnya membezakan sebuah motosikal dengan motosikal yang berikutnya.

Tunggangan model Rough ini hampir sama seperti model V7 yang lain, tetapi tayar ‘knobby’nya itu perlu diberi lebih perhatian di selekoh. Tetapi di atas jalan raya batu buntar yang ada di sekitar bandar, tayar ini cukup sesuai sekali, memberikan motosikal ini tahap keyakinan yang jauh lebih tinggi berbanding model V7 lain, dan ini pun sewaktu kawalan cengkamannya dimatikan. Dan inilah kelebihan bagi rangkaian motosikal Moto Guzzi V7, setiap satu model V7 III ini mungkin dari asas yang sama, tetapi apabila anda menunggang motosikal-motosikal ini, perbezaan antara satu sama lain amat jelas ketara sekali.

Setelah memarkir motosikal di katedral yang berada di tengah-tengah bandar, penulis berjalan-jalan dengan ke semua ahli pasukan Malaysia dan menerokai bandar Siena ini. Dan di sinilah penulis terdengar seseorang berkata:

“Hi kawan, cantik baju-t, anda tunggang motosikal Guzzi?” datang dari satu suara dari belakang dalam dialek Selatan Amerika Syarikat yang cukup dikenali ramai, jenis yang selalu didengari dalam filem John Wayne lama. Belum sempat penulis menoleh ke belakang, lelaki berkenaan telah pun berada di sebelah penulis, lngkap dengan topi koboi dan misai yang tebal. “Ya, benar, kami semua menunggang motosikal Guzzi,” ujar penulis kepadanya, menunjuk kepada ke semua ahli konvoi, yang mana selepas empat hari terasa lebih seperti ahli keluarga.

“Saya dari Texas dan saya memiliki Moto Guzzi, jarang ada orang seperti kita tetapi kita yang menunggang motosikal Guzzi ini adalah kumpulan yang istimewa. Mereka mengenali motosikal masing-masing, dan mereka lebih selesa menongkah arus perdana.” ujarnya ringkas. Penulis ketawa dan bersetuju dengan telahannya dan selepas berbual seketika dan bersalaman, dia menghilangkan diri dalam gerombolan pelancong.

Ianya telah membuatkan penulis berfikir, ada ramai penggemar Moto Guzzi di luar sana yang menggemarinya kerana kehalusan kerja sebuah Guzzi, seperti enjin ‘V-Twin’ 90 darjahnya, atau pun kerana kebijaksanaan kejuruteraannya, atau mungkin kerana mereka suka akan sejarah jenama ini. Walau apa pun jua sebabnya, rasa kasih sayang dan semangat terhadap jenama ini mulai tersebar dengan luas, ianya cukup menakjubkan dapat meluangkan masa beberapa hari berbicara dan mempelajari mengenainya dari mereka yang mempunyai minat yang sama, ada antara lebih tua berbanding penulis dengan berdekad lamanya pengalaman bersama motosikal Guzzi.

Kembali di Kuala Lumpur dan di atas motosikal Moto Guzzi V7 III Anniversario penulis sendiri, penulis dapati diri lebih menghargai motosikal ini jauh lebih hebat berbanding sebelum ini. Setelah bertemu dengan mereka dari syarikat yang membina motosikal ini dan dengan mereka yang mencintai jenama berkenaan, tersisip satu kebanggaan dapat menunggang sebuah Moto Guzzi di Malaysia. Ia mungkin sekali bukan jentera tercanggih atau pun terpantas, tetapi ianya sebuah Moto Guzzi dan ianya adalah hasil daripada kejuruteraan selama 100 tahun dan usaha bagi memastikan jenama ini kekal bernyawa. Dan penulis mulai menghargai hakikat tersebut dan hakikat bahawa ianya masih lagi dibina penuh di Itali.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Moto Guzzi Experience atau untuk mendaftarkan diri bagi tunggangan 2019, sila layari laman
www.motoguzzi.com atau theclan.motoguzzi.com, atau anda boleh menghantar emel ke [email protected].

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply