ads

Ulasan Tanggapan Pertama: Moto Guzzi Audace Carbon 2018

  • Moto Guzzi Audace Carbon 2018 melambangkan sisi “budak jahat” rangkaian pengeluar berkenaan.
  • Ia dihasilkan sebagai sebuah motosikal power cruiser, lengkap dengan pelbagai perincian yang menawan.
  • Harganya bermula dari RM123,000 (harga asas, tidak termasuk SST, cukai jalan dan insurans).

Moto Guzzi mungkin sahaja melambangkan sisi ‘warisan’ dalam kumpulan jenama motosikal di bawah Piaggio Group, namun, ianya tidak bermakna yang jenama itu hanya menghasilkan motosikal yang mempunyai satu perwatakan sahaja. Ambil contoh Audace Carbon ini.

Model Audace Carbon ini melambangkan perwatakan “budak jahat” dalam rangkaian Guzzi, seiringan dengan MGX21, mencerminkan namanya yang membawa maksud “berani” (atau lebih tepat lagi, ‘hati kering’). Tiada satu pun bahagiannya yang disaluti krom. Anda boleh kata yang ianya sebuah model Audace versi “goth”.

Antara bahagian-bahagian yang telah membezakannya dengan Audace biasa ialah pelitup karbon fiber dikedua-dua belah tangki bahanapi dan madgad hadapan. Selain itu, pelitup kepala silinder dan angkup brek hadapan Brembo telah dicat dengan warna “Mandello Red”, bagi menandakan susur galur jahat yang dikongsinya dengan MGX21 dan V7 III Carbon.

Moto Guzzi Malaysia Perkenalkan V7 III Carbon Edisi Terhad – RM74,900

Menjana motosikal Audace Carbon ini adalah sebuah enjin V-Twin 90°, pautan melintang, 1,400cc yang mampu menghasilkan sehingga 96hp. Namun begitu, sebagai sebuah motosikal cruiser, daya kilasnya jauh lebih penting daripada kuasa kuda. Oleh kerana itu, enjinnya telah ditala bagi menghasilkan tork sehingga 121Nm pada kitaran serendah 3,000rpm. Ia juga mematuhi piawaian Euro4, bercirikan dua palam pencucuh bagi setiap silinder dan penukar bermangkin tiga hala. Dan dengan mod ‘Eco Ride’, anda dapat imbangan terbaik antara prestasi dan kecekapan bahanapi sewaktu merantau jauh.

Model Audace Carbon ini dilingkapi dengan tiga mod kuasa: “Veloce” (Sport), “Turismo” (Touring), serta “Pioggia” (Rain). Pemetaan kuasanya disambung ke “Moto Guzzi Traction Control” (MGTC) yang boleh dilaras. Mod kuasa ini wujud kerana adanya pendikit “Ride-by-Wire”.

Ia juga dilengkapi dengan fungsi kawalan bersiar, yang boleh diaktifkan dengan satu suis pada palang pemegang sebelah kiri.

Akhir sekali, motosikal Audace Carbon ini dilengkapi dengan “Moto Guzzi Multimedia Platform” (MG-MP), yang boleh dipautkan dengan aplikasi dalam telefon pintar anda bagi memberikan maklumat penunggangan yang lengkap. Sistem itu juga akan turut menunjukkan lokasi stesen minyak paling hampir dalam jangkauan tunggangan sewaktu tahap bahanapi berada di tahap simpanan.

Ditetapkan pada harga yang bermula dari RM123,000 (harga asas, tidak termasuk SST, cukai jalan dan insurans), Moto Guzzi Audace Carbon 2018 ini sudah berada di bilik pameran Moto Guzzi Malaysia. Layarilah laman Facebook rasmi Moto Guzzi Malaysia untuk maklumat selanjutnya.

GALERI GAMBAR

Leave a Reply