MSC – Azlan Shah Dan Chia PJ Kawasaki Ditabalkan Juara Superbike!

  • Azlan Shah Kamaruzaman dan Chia PJ Kawasaki telah dinobatkan sebagai juara kategori Superbike bagi kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018 (MSC).
  • Penunggang berusia 33 tahun itu berjaya memenangi tiga perlumbaan dan memperolehi satu tempat ketiga dalam dua pusingan terakhir pada hujung minggu ini.
  • Azlan Shah berjaya mempamerkan aksi yang menakjubkan tersebut di atas jentera Kawasaki Ninja ZX-10R.

Ianya satu hujung minggu yang telah dipenuhi dengan drama buat Chia PJ Kawasaki Racing Team sewaktu mereka bertanding dalam dua pusingan terakhir bagi kejohanan Malaysia Superbike Championship (MSC) 2018. Dengan empat perlumbaan telah diatur bagi hari Sabtu dan Ahad, jentera sedia perlumbaan mereka, Kawasaki Ninja ZX-10R, bersama dengan penunggang utama mereka, Azlan Shah Kamaruzaman, telah bersedia untuk menggondoli kejohanan ini.

Memasuki Pusingan 4 pada hari Sabtu, Azlan Shah berjaya mendapat Petak Pertama selepas mencatat rekod catatan masa pusingan baharu dalam siri perlumbaan ini dengan masa 2;07.708. Dia telah memenangi Perlumbaan 1 dengan penuh bergaya di mana Azlan Shah telah melintasi garisan penamat di hadapan Rajini Krishnan dari Team RACR adn Jonathan Serrapica.

Lain pula ceritanya bagi Perlumbaan 2, di mana Azlan telah mengalami kerosakan brek pada jentera Kawasaki Ninja ZX-10Rnya. Dengan jurang yang agak besar di hadapan para penunggang lain sewaktu pertengahan perlumbaan, penunggang berusia 33 tahun tersebut berjaya mengemudi jenteranya melintasi garisan penamat di tempat ketiga. Ini tidak mencukupi bagi dirinya dan pasukan Chia PJ Kawasaki untuk meraikannya buat waktu ini, di mana mereka perlu beraksi cemerlang bagi pusingan akhir pada hari Ahad.

Memasuki Pusingan 5,Azlan Shah bermula dengan garang sekali dengan satu lagi kemenangan, meninggalkan pencabar terdekatnya, Rajini Krishnan dan jentera Yamaha YZF-R1, sejauh 11 saat. Kemenangan ini sudah mencukupi bagi menobatkan Azlan Shah sebagai juara kategori Superbike MSC 2018, dan ianya juga atas berkat usaha dan tenaga pasukan yang hebat dibelakangnya, Chia PJ Kawasaki.

Perlumbaan terakhir bagi musim ini telah pun sedia bermula, namun, hujan yang turun dengan tidak semena-mena telah memaksa para penunggang Superbike meninggalkan grid permulaan bersama jentera spesifikasi cuaca kering mereka. Dan apabila perlumbaan terakhir bagi musim ini diumumkan sebagai perlumbaan cuaca basah, ke semua pasukan mula bertungkus lumus bagi menyediakan jentera pasukan masing-masing untuk bertarung dalam cuaca yang basah.

Ianya tidak mencukupi bagi menghalang kemaraan Azlan dan motosikal Kawasaki Ninja ZX-10Rnya, di mana dia telah berjaya memenangi satu lagi perlumbaan bagi pasukannya. Ianya merupakan satu tahun yang telah membuahkan hasil buat penunggang berusia 33 tahun tesebut, dan juga bagi pasukan Chia PJ Kawasaki Racing Team. Sudah semestinya mereka akan kembali dengan lebih hebat bagi mempertahankan takhta kejohanan mereka pada musim yang akan datang. Tahniah diucapkan kepada Azlan Shah dan Chia PJ Kawasaki!

 

Tunggang Uji Kawasaki Ninja 250 2018 – Kecil-Kecil Cili Padi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.