MSC – Takhta Kategori Superstock Buat Hafiq Azmi Dan TOC HKM RACING!

  • Amirul Hafiq Azmi dan TOC HKM Racing Team telah berjaya memenangi keempat-empat perlumbaan dalam pusingan terakhir bagi kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSC) 2018.
  • Mengemudi jentera BMW S 1000 RRnya, penunggang berusia 21 tahun itu telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim 2018 bagi kategori Superstock.
  • Untuk kategori Superbike, Mohd Ramdan Rosli dan Muhammad Jamalul Tarmizi beraksi cemerlang bertarung dengan 3 penunggang teratas dan berjaya mendapatkan tempat di atas podium buat beberapa kali.

Ianya satu hujung minggu yang menakjubkan buat TOC HKM Racing Team dalam dua pusingan terakhir bagi kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018 (MSC). Penunggang utama mereka, Amirul Hafiq Azmi, berjaya menyapu bersih keseluruhan perlumbaan dan memenangi keempat-empat perlumbaan bagi dua pusingan terakhir ini, di mana dia telah berjaya merangkul takhta sebagai juara kategori Superstock di atas jentera BMW S 1000 R tunggangannya.

Dan dengan empat kemenangan yang telah diperolehinya itu, Hafiq Azmi telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Superstock untuk kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018. Penunggang berusia 21 tahun itu membuatkannya tampak amat mudah apabila dia melintasi garisan penamat dengan jurang masa yang agak besar sewaktu setiap perlumbaan yang telah berlangsung pada hujung minggu ini.

Hafiq Azmi telah berjaya menangkis serangan dari Muhammad Farid dengan jentera Honda CBR1000RR-nya yang bersaing untuk pasukan Moto SP Ravenol Racing, Sharulnizam Ramli dengan motosikal BMW S 1000 R-nya, dari pasukan FTA Liqui Moly Racing, Mohd Radzi Omar serta jentera Honda CBR1000RR dari pasukan Gagak Hitam Racing Team, serta pelbagai pasukan dan penunggang yang lain.

Penunggang kedua bagi TOC HKM Racing Team, Nasarudin Mat Yusop, juga telah berjaya mendapatkan beberapa tempat di atas podium sebelum ini, telah bertarung untuk mendapatkan beberapa kedudukan di tempat keempat dan kelima sepanjang hujung minggu. Motosikal BMW S 1000 RR warna kuning terangnya itu cukup pantas di atas Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun, ianya Hafiq Azmi yang telah berjaya menggondoli kejuaraan pada hujung musim ini.

Bagi kategori Superbike pula, Mohd Ramdan Rosli dan Muhammad Jamalul Tarmizi juga telah mengemudi jentera BMW S 1000 RR mereka dengan cukup baik sekali dan berjaya mendapatkan tempat di atas podium buat beberapa kali, berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima (dan satu lagi P2 buat Ramdan dalam perlumbaan terakhir).

Ianya satu pertarungan yang sukar menentang para penunggang handalan seperti Azlan Shah Kamaruzaman dengan jentera Kawasaki Ninja ZX-10R dari pasukan Chia PJ Kawasaki Racing Team, Rajini Krishnan dari Team RACR, dan Jonathan Serrapica di atas jentera Yamaha YZF-R1nya, namun, ianya tetap satu usaha yang cukup membanggakan buat kedua-dua orang penunggang berkenaan.

Secara keseluruhannya, TOC HKM Racing Team telah melakukan tugas yang menakjubkan dalam kedua-dua kategori Superstock dan Superbike dalam musim ini. Yang pasti, mereka akan kembali dengan azam dan kesungguhan yang lebih tinggi untuk musim Pirelli Malaysia Superbike Championship yang akan datang. Tahniah kami ucapkan!

Kejar Impian Anda Melalui Program Bina Bakat TOC

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]