PDRM: Marsyal Tiada Hak Untuk Hentikan Trafik Sewaktu Konvoi

  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi memberi peringatan bahawa marsyal tiada kuasa untuk mengawal lalu lintas.
  • Marsyal hanya boleh ada dengan kehadiran pengiring Polis Trafik.
  • Selain itu, penganjur konvoi perlu memohon kebenaran untuk mengadakan konvoi dengan Bahagian Kawalan Lalulintas.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi telah memberikan peringatan bahawa marsyal dalam konvoi motosikal dilarang sama sekali daripada menghentikan atau mengawal lalu lintas.

Satu pos status di laman Facebook rasmi PDRM juga telah menyatakan bahawa penggunaan marsyal dalam pertandingan, konvoi , atau program di atas jalan raya awam perlu dihadiri Polis Trafik.

Orang awam atau pengguna jalan raya juga dianggap mengingkari arahan ini sekiranya mereka meminta untuk diberikan laluan, menghentikan lalu intas, mengawal lalu lintas atau sebarang aktiviti yang serupa.

Selain itu, marsyal konvoi hanya boleh ada dengan kehadiran pengiring polis. Marsyal juga tidak dibenarkan untuk mengawal trafik sewaktu kehadiran pengiring polis. Tugas marsyal adalah untuk memastikan peserta konvoi mematuhi undang-undang jalan raya.

Pihak polis akan mengambil tindakan terhadap individu yang cuba mengawal aliran lalu lintas tanpa kehadiran pengiring polis di bawah Seksyen 21, Akta Polis (1967), atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (1987).

Kami juga telah menghubungi Bahagian Kawalan Lalulintas PDRM di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur bagi mendapatkan kepastian mengenai hal ini. Permohonan untuk mengadakan konvoi telah wujud sejak bertahun lamanya.

Kami dimaklumkan bahawa setiap konvoi motosikal perlu memohon di Bahagian Kawalan Lalulintas dengan lebih awal untuk mendapatkan kebenaran. Selain itu, Polis Trafik pengiring adalah khusus untuk hal ehwal penting negara, dan dengan itu, pengiring untuk konvoi motosikal adalah atas budi pekerti pihak PDRM.

Bahagian Kawalan Lalulintas boleh dihubungi di talian 03-22663358. Anda boleh serahkan permohonan anda di:

Bahagian Kawalan Lalulintas
Tingkat 1, Menara 1
Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia
Bukit Aman
50560 Kuala Lumpur.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]