Azlan Shah Sertai Chia Motor PJ Untuk MSC 2018

  • Azlan Shah telah menandatangani perjanjian dengan Chia Motor PJ Kawasaki Racing Team untuk bersaing dalam kejohanan Malaysia Superbike Championship (MSC) tahun ini.
  • Pelumba berusia 33 tahun dari Klang itu telah bersedia untuk menghadapi cabaran mengemudi jentera Kawasaki Ninja ZX-10R.
  • MSC bakal menjadi pentas yang sesuai buat Azlan sebelum dia berpindah ke kelas 1,000cc yang pertama dalam kejohanan Road Racing Championship (ARRC) bermula tahun hadapan.


Salah seorang pelumba terkemuka negara, Azlan Shah Kamaruzaman telah memeterai perjanjian bersama Chia Motor PJ Kawasaki Racing Team. Kerjasama yang baru terbentuk ini akan menyaksikan penunggang handalan tersebut mengemudi jentera Kawasaki Ninja ZX-10R bagi kejohanan Malaysia Superbike Championship (MSC) untuk musim 2018.

Chia Motor PJ Kawasaki merupakan satu nama yang cukup gah sekali dalam Malaysia Superbike Championship sejak kebelakangan ini. Untuk kali ini, mereka akan menumpukan sepenuh usaha mereka pada seorang penunggang sahaja dalam kelas perlumbaan premier MSC, iaitu kategori Superbike.

Tumpuan utama pasukan tersebut adalah bagi memastikan Azlan Shah serasi dengan jentera perlumbaan Kawasaki Ninja ZX-10R, bersaing dengan penunggang handalan Asia yang lain. Barisan penunggang Superbike juga telah diisi oleh seorang pelumba yang amat terkenal dari Australia, iaitu Cameron Donald. Pemenang perlumbaan Isle of Man TT tersebut telah bertanding dalam kejohanan MSC bagi mengekalkan ketajaman kemahiran perlumbaannya.

Bagi Azlan Shah pula, MSC bakal menjadi pentas yang sempurna, bukan sahaja bagi memperoleh kejayaan buat pasukan Chia Motor PJ Kawasaki Racing, tetapi juga medan latihan yang sesuai sebelum berpindah ke kelas 1,000cc pertama dalam kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC), yang akan bermula pada tahun hadapan.

Lima pusingan kejohanan MSC akan membantu Azlan Shah mengasah lagi kemahiran perlumbaannya dari bulan Mei hingga Oktober di atas jentera perlumbaan satu liter, di samping melaksanakan tugas perlumbaannya dalam kategori Supersport 600 dalam ARRC. Dengan sokongan padu daripada penaja seperti K-Tech Suspension, Kratos Motorsports, Bel-Ray Malaysia, dan yang lain-lain, Azlan Shah bakal menjadi penunggang yang digeruni dalam siri perlumbaan kebangsaan.

Pasukan perlumbaan yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini pernah berlumba dalam ke semua empat kategori MSC, bermula dari Super 250, sehinggalah kategori Superbike. Dengan para penunggang seperti Rajini Krishnan (India), Karhu Jouni (Finland), Muhammad Jazil Juraimi (Singapura), dan yang lain-lain, mereka telah mendominasi arena ini bersama dengan jentera Kawasaki, dan kini, mereka kelihatan seperti akan meneruskan penguasaan itu dengan penunggang handalan mereka yang terbaru.

Pusingan pertama bagi kejohanan Malaysia Superbike Championship 2018 akan bermula pada hujung minggu yang akan datang, dari 11 hingga 13 Mei 2018. Masuk ke Grandstand Litar Antarabangsa Sepang (SIC) adalah percuma. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai MSC 2018, TEKAN SINI.

MSC 2016 Rd 3 – A First Timer’s Perspective

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply