Suzuka 8 Hours 2017 – Penunggang Negara Azlan Shah & Kawasaki Team Green Di Tempat KE-DUA!

  • Penunggang kelahiran Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman telah berjaya menduduki tempat di atas podium di tempat ke-dua bersama dengan pasukan Kawasaki Team Green bagi perlumbaan Suzuka 8 Hours 2017 FIM World Endurance Championship pada hari Ahad lalu.
  • Bersama dengan penunggang BSB, Leon Haslam, dan penunggang dari Jepun,Kazuma Watanabe, Team Green merangkul tempat ke-dua dibelakang pasukan Yamaha Factory Racing Team yang membawa pulang kemenangan ke-tiga berturut-turut.
  • Pasukan F.C.C TSR Honda menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga dengan jentera perlumbaan mereka, Honda CBR1000R SP2 yang telah dikemudi oleh Randy de Puniet, Dominique Aegerter dan Josh Hook.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Selain daripada acara tahunan festival Art of Speed Malaysia 2017, Coca Cola Suzuka 8 Hours FIM World Endurance Championship kali ke-40 juga telah berlangsung di Suzuka, Jepun pada hujung minggu yang lalu. Hujung minggu ini juga telah menandakan satu detik yang bersejarah dimana tiga penunggang Malaysia telah bersaing dalam perlumbaan lapan jam yang ikonik ini namun apa yang lebih menakjubkan adalah salah seorang daripada mereka berjaya menduduki tempat di atas podium!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penunggang yang dikata-katakan itu tidak lain dan tidak bukan Azlan Shah Kamaruzaman. Penunggang berusia 32 tahun yang berasal dari Klang, Selangor itu telah dipilih untuk berlumba bersama dengan penunggang British Superbike Championship (BSB), Leon Haslam dari UK dan juga penunggang dari Jepun, Kazuma Watanabe. Bersama dengan ahli pasukan Team Green dan juga jentera perlumbaan mereka, Kawasaki Ninja ZX-10RR, mereka telah mencipta sejarah dengan melintasi garisan penamat di tempat ke-dua!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Yamaha sekali lagi meneruskan penguasaan mereka dalam perlumbaan ketahanan dunia setelah merangkul kemenangan ketiga berturut-turut sejak kembali pada tahun 2015. Untuk tahun ini, penunggang WorldSBK, Alex Lowes, bersama-sama dengan teman sepasukannya dari World Superbike, Michael van der Park, disertai oleh penunggang legenda Jepun, Katsuyuki Nakasuga. Kemenangan ini juga telah menandakan detik bersejarah buat Nakasuga sebagai penunggang pertama memenangi perlumbaan di Suzuka tiga kali berturut-turut.

Pada permulaan perlumbaan, Team Yamaha dan juga HARC-Pro Honda telah bertarung dengan sengit sekali terutamanya pada jam yang kedua perlumbaan berkenaan dimana mereka telah berjaya memotong jentera Honda Jack Miller lalu meninggalkannya. Pasukan Honda tampak cukup teguh sekali sehinggalah penunggang Moto2, Takaaki Nakagami, terbabas dan telah meyebabkan mereka jatuh ke tempat ke-empat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bahagian ke-dua perlumbaan itu menyaksikan penunggang Kawasaki Team Green memperoleh tempat ke-dua dalam perlumbaan itu setelah pasukan F.C.C TSR Honda terpaksa membawa jentera Honda mereka masuk ke pit selepas motosikal itu mengalami kebakaran ketika perlumbaan. Mujurnya, mereka berjaya mengawal kebakaran itu dan dapat meneruskan perlumbaan setelah motosikal mereka dibenarkan untuk memasuki semula perlumbaan itu dengan Randy de Puniet, Dominique Aegerter, dan Josh Hook mengambil tempat terakhir di atas podium.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pasukan Satu HATI Honda Team Asia juga telah mendapat keputusan keseluruhan yang baik sekali di tempat ke-lapan di mana seorang lagi penunggang negara, Zaqhwan Zaidi, bersama dengan penunggang Indonesia, Dimas Ekky Pratama, dan penunggang Thailand, Ratthapong Wilairot, hanya ketinggalan sebanyak lima pusingan di belakang pemenang perlumbaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Lain pula ceritanya dengan penunggang ketiga negara, Hafizh Syahrin, yang mengalami masalah mekanikal pada jentera pasukannya, Suzuki GSX-R 1000R. Akhirnya, Pasukan Kagayama bersama dengan Naomichi Uramoto serta pemilik pasukan, Yukio Kagayama, menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kami di sini di MotoMalaya bersama dengan saudara kami di Bikes Republic ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada ketiga-tiga penunggang Malaysia ini yang telah mengharumkan lagi nama negara di atas pentas perlumbaan antarabangsa. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Azlan Shah atas kejayaannya menduduki tempat ke-dua di perlumbaan ketahanan yang terkenal di mata dunia ini. #MalaysiaBoleh!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber gambar: FIM Endurance World Championship

 

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]