Rangkaian Ducati Scrambler 2019: Full Throttle, Cafe Racer Dan Desert Sled Dilancarkan di Intermot!

  • Ducati Scrambler Icon 2019 kini telah lengkap dengan pelancaran motosikal Full Throttle, Cafe Racer, dan Desert Sled yang dikemaskini.
  • Diperkenalkan secara rasmi di INTERMOT 2018, ketiga-tiga buah motosikal ini diilhamkan oleh disiplin penunggangan yang berbeza dari perlumbaan litar hinggalah ke penunggangan off-road.
  • Rangkaian Ducati Scrambler 2019 didatangkan dengan ciri-ciri baharu seperti IMU (Inertial Measurement Unit) dan Cornering ABS yang dikemaskini sebagai kelengkapan standard.

Tidak menjadi kejutanlah apabila Ducati telah melancarkan keseluruhan rangkaian Ducati Scrambler 2019 mereka pada awal hari ini di INTERMOT 2018 dalam bentuk Ducati Scrambler Full Throttle, Cafe Racer, dan Desert Sled. Dengan pengenalan model asas Ducati Scrambler Icon 2019 baru-baru ini, yang mana telah kami tunggang uji beberapa minggu yang lalu di Tuscany, Itali, model-model yang berikutnya dalam rangkaian ini bakal memenuhi keperluan pelbagai jenis penunggang.

Sebagai salah sebuah model Ducati paling popular, motosikal Ducati Scrambler Joyvolution akan disediakan dalam empat buah varian berbeza yang mengambil ilham daripada gaya hidup dan disiplin penunggangan yang berbeza. Sebagai contoh, Ducati Scrambler Full Throttle, telah direka berdasarkan motosikal flat track Scrambler yang dikemudi oleh penunggang dari California, Frankie Garcia, dalam siri perlumbaan American Super Hooligan Championship 2018.

Datang dengan skema warna dua tona hitam dan kuning beserta tangki berjalur putih, model Full Throttle tampil sebagai sebuah jentera yang sedia untuk menghadapi saingan di atas litar tanah merah. Dengan kelengkapan baharu di bahagian belakang, pelana tunggal, palang pemegang rendah yang mendatar, serta bermacam-macam lagi kelengkapan, motosikal Full Throttle ini tidak syak lagi sebuah Scrambler dengan perwatakan yang amat ranggi.

Untuk model Ducati Scrambler Cafe Racer 2019 pula, inspirasi utamanya datang dari motosikal legenda Ducati 125GP Desmo yang mana ianya kelihatan jelas sekali dengan kemasan grafik Silver Ice Matte beserta kerangka birunya. Rupa paras motosikal perlumbaan tahun 60-an itu juga terserlah pada paip ekzos berkembarnya, ‘nose fairing’, pemegang plet nombor sisi dengan #54, sebagai penghormatan kepada pelumba GP jalan raya legenda, Bruno Spiaggiari, dan madgad pendek yang memperagakan aura motosikal lumba klasik tahun 1960-an.

Model Cafe Racer juga dilengkapi dengan pam brek hadapan radial moden, roda berjejari 17 inci, dan cermin pandang belakang hujung palang pemegang aluminium yang memberikannya sentuhan gaya dan aura premium berbanding dengan Scrambler Icon yang sudah cukup menawan.

Dan yang akhir dan tidak kurang menariknya, adalah motosikal Ducati Scrambler Desert Sled 2019. Roh motosikal ‘off-road’ Amerika Syarikat klasik amat menonjol pada model ini tanpa mengkompromikan sebarang prinsip reka bentuk gaya hidup Ducati Scrambler yang sejati.

Sebagai sebuah jentera yang mampu menangani muka bumi yang lebih mencabar, model Desert Sled ini dilengkapi dengan ‘Off-Road Riding Mode’, di mana penunggang boleh mematikan fungsi ABS bagi menikmati keseronokan di atas pasir mahu pun tanah merah. Ia juga didatangkan dengan posisi menunggang yang tetap beserta dengan suspensi boleh laras Kayaba untuk pengendalian yang lebih baik di atas permukaan jalan yang mencabar. Kelengkapan eksklusif lain termasuklah jaring pelindung lampu hadapan, madgad tinggi, dan ‘skid pan’ enjin.

Rangkaian Ducati Scrambler 2019 juga dilengkapi dengan IMU (Inertial Measurement Unit) enam paksi baharu, bersama dengan Cornering ABS yang dibangunkan bagi salah sebuah motosikal superbike tercanggih Ducati, Panigale V4. Soalan yang bermain di fikiran para penggemar motosikal di Malaysia sudah pasti mengenai bila ianya akan disediakan untuk pasaran negara. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk mendapatkan perkembangan selanjutnya.

Tunggang Uji: Ducati Scrambler Icon 2019 – Semangat Itali Sejati

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]