Tunggang Uji: Ducati Scrambler Icon 2019 – Semangat Itali Sejati

  • Ducati Scrambler Icon 2019 yang telah dikemaskini telah dilancarkan pada awal bulan ini.
  • Pengemaskinian penggayaan beserta perubahan bahagian dalaman telah mengubah model Ducati Scrambler Icon 2019 ini kepada sebuah pakej yang lebih premium.
  • Kami telah pergi ke Itali bagi mengalami sendiri motosikal Icon yang dikemaskini ini dan ianya kini lebih selamat serta selesa tanpa mengorbankan sebarang faktor keseronokannya.

Tidak ada banyak perkara dalam hidup ini yang kebanyakan orang anggap sebagai “lengkap”. Dan apabila ianya ditemui, ia akan memberikan kegembiraan yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang memperolehinya, tidak kiralah betapa kecil atau besar perkara itu.

Sama ada ianya seringkas sebungkus nasi lemak dengan telur mata kerbau, atau menghayati lagu paling sempurna dalam dunia, perasaan sebegini cukup sukar untuk dirasai pada jentera seperti motosikal.

Sebuah jentera yang kelihatan amat menawan, lengkap dengan pelbagai spesifikasi yang menakjubkan, belum cukup untuk membuatkan kita berasa sedemikian. Formulanya perlu sempurna supaya semua bergabung dalam keserasian yang sempurna dan ini memerlukan lebih dari sekadar menghasilkan jentera dan enjin pembakaran dalaman. Anda perlukan semangat, kegembiraan, keterujaan, gaya hidup, dan yang paling penting sekali, memberikan kenikmatan pada panca deria.

Tidak dinafikan lagi yang Ducati adalah salah sebuah pengeluar yang cukup bersemangat, dan dalam perjalanan kami baru-baru ini ke Bologna, Itali, mereka telah membuka mata kami kepada sifat sebenar mereka, bukan sahaja dalam penghasilan motosikal yang di antara paling mengagumkan dalam dunia, tetapi juga telah mempersembahkan bagaimana motosikal ini telah dihasilkan bagi melambangkan gaya hidup mereka yang dipenuhi dengan keseronokan, pengembaraan, dan juga intipati sebuah jiwa yang bebas.

Tugas kami adalah untuk menunggang uji model Ducati Scrambler Icon 2019 yang dikemaskini bersama dengan 30 orang wartawan, ‘influencer’, serta penggemar Ducati dari seluruh dunia. Bagi memperagakan tawaran terkini mereka dalam segmen “Land of Joy” mereka, latar belakang tempat tunggang uji adalah sejauh dua jam dari Bologna; di tengah-tengah Borgo San Luigi di Siena, Itali.

Sebaik sahaja tiba di tempat tunggang uji, kami diberikan masa seketika untuk mengambil nafas sebelum bersiap sedia untuk menunggang menuju ke pekan, yang mana adalah perkara terakhir yang diingini oleh wartawan permotoran ini selepas berada di dalam kapal terbang selama 15 jam, 3 jam waktu menunggu penerbangan sambungan, dan 2 jam lagi dihabiskan atas bas. Tanpa kami sedari, ‘keajaiban’ negara Itali, digabungkan dengan model Ducati Scrambler Icon 2019 yang baharu ini menjadi pencetus kepada satu saat yang cukup mengagumkan di mana segalanya terasa ‘sempurna’.

Kami menunggang sejauh 10km sahaja ke Colle di Val d’Elsa untuk menonton sebuah filem pendek mempersembahkan cerita di sebalik Ducati Scrambler dan model Icon baharu ini, tetapi, menunggang keluar dari hotel sewaktu matahari sedang terbenam dengan debu-debu berterbangan dari jalan tanah kerikil terasa begitu epik sekali.

Saat sempurna tersebut telah meyakinkan penulis bahawa model Ducati Scrambler Icon 2019 lebih dari sekadar sebuah motosikal. Ianya sebuah jentera gaya hidup yang perlu dialami sendiri pada saat terhebatnya.

Dua laluan penunggangan yang berbeza telah dirancang untuk kami pada hari yang berikutnya di mana kami menangani jalan berbukit yang bersimpang siur Chianti Hills yang terkenal di seluruh dunia di tengah-tengah wilayah Tuscany, dan laluan panoramik yang lebih mengagumkan melalui Casole, Sovicille, dan kembali melalui Monteriggioni.

Berdasarkan rupa paras Ducati Scrambler Icon 2019 yang baharu ini, tidak ada banyak perbezaan yang dapat dilihat selain daripada beberapa bahagian di sana dan sini dan inilah apa yang ingin dicapai oleh tema rekaan Scrambler.

Generasi sebelum ini sudah cukup menakjubkan bagi kebanyakan orang namun, ianya terasa seperti kekurangan sesuatu yang tidak dapat penulis luahkan sebelum ini. Ianya boleh diterjemahkan sebagai sentuhan premium, yang mana jelas ada pada model Icon baharu ini.

Setelah diperiksa dan apabila dibandingkan dengan model Scrambler Icon 2015, kami semua menyedari yang perubahan ini bukan sahaja telah mempertingkatkan lagi jentera 2019 ini, tetapi turut memberikan rupa paras yang malar segar dan pada waktu yang sama, mengekalkan daya tarikan moden klasiknya. Perubahan seperti lampu hadapan baharu dengan Lampu Nyalaan Siang dan corak “X” yang tampak ranggi telah menentukan suasana untuk penunggangan yang menyeronokkan.

Perubahan luaran baharu lain menambahkan lagi aura pakej premium pada model Ducati Scrambler Icon 2019 termasuklah:

  • Panel sisi aluminium yang lebih ‘sado’.
  • Lampu isyarat LED dengan ciri tutup automatik.
  • Pengemaskinian penggayaan pada roda, kepala paip ekzos, dan peredam.
  • kemasan ‘gloss’ hitam baharu untuk bekas enjin.

Ke semua perubahan kosmetik ini secara keseluruhannya menampilkan model Scrambler Icon yang lebih segar, dan ianya bukan sekadar memberi penghormatan pada model asal tetapi turut membawanya ke zaman masa hadapan di mana penunggang lebih muda dapat menghargai aura positifnya dengan dos besar budaya, semangat, dan gaya Itali, di samping keinginan untuk pengembaraan sama ada di atas jalan biasa mahu pun yang jarang ditempuhi.

Pasukan pereka Ducati Scrambler juga telah mempertingkatkan lagi pengalaman penunggangan keseluruhan motosikal berkenaan dengan memastikan motosikal yang sudah begitu serba boleh menjadi lebih selesa. Sebaik sahaja berada di atas pelana, kebanyakan daripada kami dengan serta merta telah memuji pelananya yang lebih leper itu yang menawarkan kedudukan yang lebih baik dan dengan adanya klac yang dioperasikan secara hidraulik (kini boleh dilaras seperti tuil brek), membuatkan penukaran gear jauh lebih mudah. Perubahan lain yang bersangkut paut dengan keselasaan termasuklah palang pemegang lebih lebar dan suis baharu yang ergonomik.

Paparannya tampak mirip seperti yang ada pada generasi sebelumnya, turut telah dikemaskini dengan dua ciri baharu yang penulis secara peribadinya amat alu-alukan; penunjuk gear dan tolok bahanapi!

 

Ianya mungkin satu ciri moden, namun, memenuhi kehendak komuniti berjiwa bebas, perkara terakhir yang pemilik motosikal mahu risaukan adalah akan berapa banyak minyak petrol yang masih ada dan mengintai ke dalam tangki dan menggoncangkan motosikal untuk mendengar bunyi paras bahanapi.

Penunggangan hari tersebut meliputi jarak melebihi 140km menjelajahi jalan-jalan yang berbeza di lokasi dengan pemandangan berbeza yang kita hanya dapat saksikan dalam video promosi yang epik dan filem-filem Hollywood. Pelbagai kemaskini dalaman juga memberikan motosikal Ducati Scrambler Icon 2019 baharu pengalaman menunggang yang hebat dan menawarkan keselesaan, keseronokan, kelincahan, dan juga keselamatan. Pakej suspensi telah dirombak semula yang terasa begitu mengagumkan bagi sebahagian warga media namun bagi sebahagian yang lain, terasa agak lembut.

Kami tiada sebarang rungutan mengenai hal ini kerana motosikal ini bertujuan untuk menangani pelbagai keadaan jalan raya seperti jalan raya bandar dan jalan tanah merah yang tidak terlalu sukar. Kewujudan IMU (Inertial Measurement Unit) enam-paksi dan Cornering ABS yang diambil terus dari rangkaian motosikal superbike Ducati Panigale, motosikal Scrambler Icon ini jauh lebih selamat dari sebelum ini.

Ia tiada kawalan cengkaman atau cara yang mudah untuk mematikan ABS untuk penunggangan atas jalan berkerikil yang lebih mengujakan, namun model Icon yang baharu ini mampu beraksi dengan mudah sekiranya pendikit dikendalikan dengan betul (bagaimana pun, ianya tidak menghalang sebilangan daripada kami mengerjakannya untuk keseronokan ala ‘flat track’ sewaktu sesi penggambaran jalan tanah merah).

Motosikal Icon 2019 masih menggunakan enjin L-Twin Desmodue 803cc yang patuh Euro4, yang menawarkan tindak balas lancar dan tork linear di seluruh jangkauan gear. Menangani seksyen bukit yang bersimpang siur cukup menyeronokkan dan tidak membebankan kerana penunggang hanya perlu kekal pada gear ketiga sepanjang masa. Penunggang akan ada pecutan pada setiap masa yang diperlukan dan menukar ke gear keempat dan kelima dengan mudah membawa kita ke kelajuan yang mengujakan, yang mana telah dinikmati sepenuhnya oleh kami semua.

Aspek-aspek lain pada motosikal Icon ini telah dikekalkan dari generasi sebelumnya yang mana pasukan pereka Ducati mengandaikan yang kemaskini baharunya mampu menonjolkan terbaik yang ada pada kelengkapan yang telah ditawarkan sebelum ini.

Model Icon ini bukannya sebuah jentera ‘off-road’ sepenuhnya, namun, dengan spesifikasi seperti tayar Pirelli MT60 dan lain-lain, Scrambler generasi terkini tidak akan memalapkan hasrat mereka yang berjiwa bebas ingin meneroka dan mengembara muka bumi yang lebih kasar.

Secara keseluruhannya, motosikal Ducati Scrambler Icon baharu ini adalah lambang sejati budaya, semangat, dan gaya hidup pengembaraan Itali bagi mereka yang tercari-cari sesuatu yang mengujakan dan berani, dan pada masa yang sama berjiwa muda dengan kuasa yang setara.

Setelah bersua dengan warga dan meneroka jalan Tuscany yang menawan, penunggang ini akhirnya memahami bahawa Scrambler Icon ini bukan sekadar sebuah motosikal, tetapi satu penyataan hakiki mengenai semangat dan keseronokan dalam budaya yang hauskan kebebasan.

Berat hati untuk meninggalkan Itali selepas pengalaman yang menakjubkan ini sewaktu suara dalam jiwa mengingatkan penulis yang peluang ini mungkin tidak akan muncul lagi, tetapi, perasaan ini akan boleh sentiasa dialami apabila motosikal ini dibawa masuk ke dalam Malaysia pada tahun hadapan.

Berkenaan harganya pula, generasi semasa motosikal ini telah ditetapkan pada harga RM55,900 (harga runcit yang disyorkan, tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan kami jangkakan sedikit peningkatan bagi model 2019, memandangkan kelengkapan tambahan yang disertakan padanya seperti Cornering ABS dan sebagainya.

Di mana Ducati dikenali untuk beberapa buah motosikal paling menakjubkan pernah dikilangkan dalam dunia, seperti Ducati Panigale V4, bentuk sejati #Joyvolution paling tepat diwakili oleh rangkaian Ducati Scrambler. Tiada jentera Ducati lain yang dapat membangkitkan emosi, kenikmatan, dan rasa kesedaran akan semangat Itali sebenar yang dibawakan oleh “Land of Joy” seperti mana yang dibawakan oleh Scrambler.

Ducati Malaysia Lancarkan TIGA Model Baharu! – Dari RM60,900

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.