Musim Acara Pameran Motosikal Bagi Motosikal Tahun 2019 Telah Bermula!

  • Musim acara pameran motosikal telah bermula untuk tahun ini.
  • Pelbagai pengeluar telah mempersembahkan model terbaru mereka sebelum bermulanya pertunjukan-pertunjukan ini.
  • Namun, ada banyak lagi yang masih belum diperkenalkan.

Penghujung tahun bermakna tibanya perlumbaan MotoGP, hujan lebat, dan musim mengembara di Malaysia. Di pentas antarabangsa pula, hujung tahun menandakan musim acara pameran motosikal.

Kami telah melaporkan tentang beberapa buah motosikal baharu yang telah diperkenalkan sejak beberapa bulan yang lalu, antaranya motosikal BMW janaan Boxer baharu, motosikal kembara Moto Guzzi V85 TT, motosikal Harley yang baharu dan banyak lagi yang akan dilancarkan secara rasmi dalam masa yang terdekat. Para pengeluar juga turut melakukan usikan, antaranya Triumph yang telah menjanjikan model 1200 Scrambler baharu dan Suzuki dengan model Katana mereka yang baharu.

Jadi, kami memutuskan untuk menyenaraikan semua model yang dijangka membuat kemunculan sewaktu Intermot (2 Oktober), Pertunjukan Motor Tokyo (27 Oktober), dan acara utama, EICMA (8 November).

APRILIA

Apa yang boleh kita jangkakan dari pengeluar ternama ini adalah motosikal superbike RSV4 yang dikemaskini. Namun, khabar angin ada menyebut tentang kewujudan sebuah motosikal superbike 600cc. Nantikan kemunculannya sewaktu EICMA kerana pengeluar Itali lebih gemar mempersembahkan model terbaru mereka di laman sendiri.

Khabar Angin Mengenai Motosikal Supersport Kelas Pertengahan Dua Silinder Aprilia Tampak Semakin Benar

BMW MOTORRAD

BMW dijangka akan melancarkan sembilan buah motosikal baharu bagi tahun 2019 namun ianya masih belum jelas sama ada mereka akan melakukannya sekali gus atau secara berperingkat pada tahun hadapan.

Seperti pengeluar dari Itali, pengeluar dari Jerman ini lebih cenderung untuk memperkenalkan jentera baharu mereka sewaktu Intermot yang diadakan di Jerman.

Bagaimana pun, model yang pasti akan diperkenalkan secara rasmi adalah R 1250 GS dan R 1250 RT baharu.

Selain daripada model Boxer, anda boleh jangkakan motosikal superbike S 1000 RR baharu yang dikatakan dilengkapi dengan aci engkol putaran berlawanan, serta patuh Euro5.

Ada juga desas desus mengenai kemunculan model F 800 GS Adventure.

DUCATI

Ducati telah pun memperkenalkan model Scrambler Icon yang dikemaskini.

Jadi, apa lagi yang tinggal? Oh ya, bagaimana dengan versi homologasi khas Panigale V4 R untuk siri perlumbaan World Superbike Championship?

ENERGICA

Kami berharap yang pengeluar motosikal elektrik dari Itali ini akan melancarkan versi sah jalan raya bagi jentera perlumbaan MotoE World Cup mereka.

Memperkenalkan Motosikal Lumba Elektrik MotoE World Cup 2019!

HARLEY-DAVIDSON

“The Motor Company” ini telah memperkenalkan model Touring, CVO, dan FXDR mereka beberapa bulan yang lalu, namun, motosikal kembara prototaip Pan America, Custom 1250, Streetfighter 975, dan motosikal elektrik LiveWire juga mungkin akan turut membuat kemunculan.

HONDA

Imej janaan komputer sebuah CBR1000RR – Sumber imej : MCN

Jangkaan utama adalah kemunculan model CBR1000RR Fireblade yang dikemaskini. Sekiranya ianya berlaku, ia pasti akan dipersembahkan di Pertunjukan Motor Tokyo dan kemudiannya di EICMA.

INDIAN MOTORCYCLES

Tiba masanya untuk mempersembahkan motosikal dirt tracker FTR1200!

Indian FTR1200 Akan Mula Dikilangkan Bermula Tahun 2019!

KAWASAKI

Ianya telah dilaporkan sebelum ini bahawa Kawasaki akan mempersembahkan model terkini mereka di Intermot dan bukannya di Pertunjukan Motor Tokyo. Ini mungkin menandakan yang pengeluar terkemuka dari Jepun ini mungkin ada sesuatu yang menarik untuk pasaran Eropah.

Motosikal superbike Ninja ZX-10R yang dikemaskini sudah pasti akan membuat kemunculannya, tetapi, mereka juga mungkin sahaja akan memperkenalkan motosikal lumba naked, Z400.

KTM

Peminat KTM di seluruh dunia telah ternanti-nanti akan kemunculan model 390 Adventure dan 790 Adventure. KTM mungkin akan memperagakan model yang dikemaskini bagi ‘menyambut’ kedatangan BMW dalam penggunaan teknologi pemasaan injap boleh ubah.

MV AGUSTA

Milan, bandaraya di mana acara EICMA akan diadakan, hanyalah 30 minit sahaja dari ibu pejabat MV Agusta di Varese. Bagaimana pun, tiada sebarang berita mengenai kehadiran model baharu selain untuk F3 675 yang dilengkapi dengan IMU (Inertia Measurement Unit).

MOTO GUZZI

Motosikal kembara V85 TT telah pun diperkenalkan baru-baru ini, namun, inilah kali pertama orang awam dapat melihatnya depan mata mereka sendiri.

SUZUKI

Motosikal konsep Katana di EICMA

Oh ya, Suzuki akan berada di Intermot yang diadakan sebelum acara Pertunjukan Motor Tokyo. Ini sudah pasti kerana ada sesuatu yang amat menarik dan penting. Barang kali sebuah model Katana baharu?

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa pengeluar Jepun ini sedang mengusahakan sebuah motosikal cas turbo bagi menyaingi motosikal Kawasaki Ninja H2.

Mungkinkah ia sesuatu yang gila-gila seperti Katana cas turbo?

TRIUMPH

Triumph akan melancarkan motosikal Scrambler 1200cc baharu pada 24 Oktober di Hinckley, UK, dan ini bermakna ianya akan dilancarkan selepas acara Intermot.

Bagaimana pun, ada desas desus mengenai sebuah model Rocket III baharu, dan pengganti yang telah dinanti-nantikan bagi Thunderbird dan motosikal cruiser America.

Jentera uji Daytona dengan enjin Moto2 juga semestinya akan diperagakan sewaktu Intermot.

YAMAHA

Motosikal prototaip Tenere 700 telah diperkenalkan sewaktu EICMA 2017, dan Yamaha telah pun menguji motosikal ini di seluruh pelusuk dunia semenjak itu. Ini mungkin sekali bermakna yang mereka akan melancarkan model tersebut pada tahun ini.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply