- Ducati Malaysia (Next Bike Sdn. Bhd.) dengan secara rasminya telah melancarkan tiga buah model baharu bagi tahun 2018.
- Tiga model tersebut adalah Ducati Panigale V4, Multistrada 1260 S, dan juga Monster 821 tahun 2018 yang baharu.
- Harganya bermula dari RM60,900 sehinggalah ke RM362,900.
Pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia, Next Bike Sdn. Bhd., dengan secara rasminya telah melancarkan tiga buah motosikal terkini mereka bagi tahun 2018, iaitu Ducati Panigale V4 dan V4 S 2018, Ducati Multistrada 1260 S 2018, dan model yang telah dinantikan ramai, Monster 821 2018. Pelancarannya telah diadakan di ibu kota Kuala Lumpur bersama dengan rangkaian luas model bagi tahun 2018 mereka.
Menurut Dato’ Samson Anand George, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Automotive Group untuk Naza Corporation Holdings, “Menerapkan intipati gaya Itali, motosikal Ducati telah dijurutera berlandaskan prestasi serta ketahanan yang menjadikannya sesuai untuk penunggangan di atas pelbagai jalan raya di Malaysia. Dari jalan raya bandar yang sesak ke jalan raya yang bersimpang siur menuju luar bandar, motosikal Ducati dibina untuk menangani kebanyakan permukaan jalan.”
DUCATI PANIGALE V4 2018 – Dari RM129,900 hingga RM362,900
Motosikal superbike utama keluaran Ducati ini akhirnya telah tiba secara rasmi di tanah air kita dan Next Bike Sdn. Bhd. akan menawarkan TUJUH varian berbeza bagi disuaikan dengan mana-mana penunggang yang inginkan motosikal superbike generasi seterusnya bagi menakluki jalan raya mahu pun litar. Sebagai model pengeluaran pertama yang dilengkapi dengan enjin empat-silinder, model Panigale V4 ini menjanjikan kuasa maksima, teknologi dan juga kelincahan.
Dilengkapi dengan enjin Desmosedici Stradale V4 1,103cc, yang mengambil ilham dari jentera GP Ducati Desmosedici, motosikal Panigale generasi berikutnya ini menawarkan sehingga 214hp pada tahap 13,000rpm, pada tahap maksimumnya, yang bermakna ia bernisbahkan kuasa-ke-berat 1:1 yang menakjubkan. Suntikan teknologi yang diinspirasikan dari MotoGP seperti aci engkol putaran berlawanan dan pencucuhan dwi-denyutan memberikannya tahap kelincahan yang lebih baik, yang mana telah kami rasai sendiri sewaktu sesi tunggang uji anjuran DRE Racetrack Academy, diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Untuk membaca dengan lebih lanjut ulasan lanjut kami mengenai Ducati Panigale V4 S 2018, TEKAN SINI.
Ciri-ciri menakjubkan lain yang meletakkan model Ducati Panigale V4 di aras yang lebih tinggi adalah kelengkapan elektronik tercanggih seperti unit kawalan platform data inersial enam-paksi (6D IMU), pelbagai kawalan cengkaman yang menangani gelongsoran, ‘wheelies’, dan cengkaman, ‘Cornering ABS’, dan juga Ducati Quickshifter (DQS) dwi-arah, di samping ciri-ciri hebat yang lain.
Terdapat tujuh varian berbeza yang disediakan dengan harganya seperti di bawah (harga asas beserta 10% SST, tidak termasuk pendaftaran dan insurans):
- Ducati Panigale V4 – RM129,900
- Ducati Panigale V4 Sport – RM142,900
- Ducati Panigale V4 Race – RM152,900
- Ducati Panigale V4 S – RM169,900
- Ducati Panigale V4 S Sport- RM182,900
- Ducati Panigale V4 S Race- RM192,900
- Ducati Panigale V4 S Speciale – RM362,9000
DUCATI MULTISTRADA 1260 S 2018 S – Dari RM129,900
Generasi terkini Ducati Multistrada telah tiba di Malaysia dan ianya ternyata motosikal enduro paling berkuasa pernah dikeluarkan oleh Ducati, dengan pencapaian yang mendokong dakwaan tersebut. Pasukan pengilang Ducati telah menguasai perlumbaan “Pikes Peak International Hill Climb” dan memenangi perlumbaan tersebut menggunakan jentera ini sebagai senjata utama mereka, dan berjaya merampas kembali gelaran “The King of the Mountain”.
Direka sebagai sebuah jentera yang amat serba boleh di atas sebarang permukaan jalan, tidak kiralah sama ada dalam bandar mahu pun tanah merah, model Multistrada 1260 S ini telah direka semula dari asas dan kini dilengkapi dengan enjin serba baharu, casis baharu, dan pakej elektronik terkini bagi membantu dalam memacu kuasa maksimum, di samping menawarkan tahap kebolehpanduan yang tinggi buat penunggang.
Jauh di lubuk sanubari motosikal Multistrada baharu ini adalah enjin Ducati Testastretta DVT 1,262cc baharu yang menjanjikan tahap kuasa dan daya kilas yang mengagumkan. Ia mampu menghasilkan sehingga 158hp pada 9,750rpm dan 130Nm tork pada 7,500rpm, yang mana merupakan tahap keluaran daya kilas tertinggi dalam kelasnya setakat ini. Bagi memastikan yang ke semuanya berjalan dengan amat lancar, model 1260 ini dipertingkatkan lagi dengan spesifikasi seperti ‘Ride-by-Wire’ baharu bagi memberikannya kawalan pendikit yang lebih lancar, serta Ducati Quick Shift (DQS) dwi-arah bagi memberikan pengalaman penunggangan yang lebih baik secara keseluruhan.
Ciri-ciri baharu yang lain termasuklah:
- Unit IMU Bosch baharu.
- ‘Cornering ABS’ yang diperkemaskini.
- ‘Ducati Cornering Lights’.
- Ducati Wheelie Control.
- Sistem kawalan ‘Evolution’ suspensi separa-aktif Ducati Skyhook (DSS).
- Vehicle Hold Control.
Terdapat tiga varian yang disediakan dengan harga seperti yang tertera di bawah:
- Ducati Multistrada 1260 S (Red) – RM129,900
- Ducati Multistrada 1260 S (Grey) – RM130,900
- Ducati Multistrada 1260 S Pikes Peak – RM155,900
DUCATI MONSTER 821 2018 – Dari RM60,900 hingga RM66,900
Buat para penggemar motosikal naked dan peminat Ducati di luar sana, raikanlah kehadiran Ducati Monster 821 yang baharu! Mengambil ilham daripada motosikal Monster 900 yang asal, model 821 yang baharu ini menzahirkan kualiti terbaik sebuah motosikal naked, perasaan, kuasa, kelincahan, dan gaya, terutamanya sewaktu menunggang di atas jalan raya Malaysia.
Model Monster 821 ini didatangkan dengan rupa bentuk yang merupakan tanda hormat kepada model Monster 900 yang asal, sewaktu ianya mula dilancarkan pada tahun 1993. Segala-galanya dari susuk keseluruhan hinggalah ke reka bentuk lampu hadapan adalah satu penghormatan kepada motosikal Ducati Monster yang pertama, tetapi dengan suntikan besar teknologi dalam gabungan ini. Ciri yang paling menonjol sekali? Sudah pasti skrin TFT berwarnanya!
Dijana oleh enjin V-Twin Testastretta sejukan cecair 821cc yang patuh Euro4, motosikal Monster 821 yang baharu ini menghasilkan sehingga 109hp pada 9,250rpm dan 86Nm tok maksimum sewaktu mencecah 7,750rpm. Ducati juga turut meningkatkan lagi ciri keselamatan pada motosikal Monster generasi terbaru mereka itu dengan Pek Keselamatan Ducati yang diperkemaskini, antaranya:
- ABS Bosch yang dikemaskini.
- Ducati Traction Control.
- Mod Penunggangan boleh pilih.
- Dwi cakera hadapan 320mm dengan angkup ‘monobloc’ Brembo M4-32
- Sistem suspensi belakang yang diperhaluskan dengan penyerap hentakan belakang boleh laras.
Motosikal Ducati Monster 821 2018 akan disediakan dalam dua pilihan warna; Merah pada harga RM65,900 dan warna Kuning ikoniknya pada RM66,900. Ke semua model terbaru dan semasa ada dipamerkan di ke semua bilik pameran Ducati di seluruh negara.
Sebagai bonus tambahan, Ducati juga turut menawarkan “Ducati Smart Service Program”, program perkhidmatan percuma dua tahun bagi alat ganti dan minyak pelincir, atau sehingga 30,000km, termasuklah penyelenggaraan Desmodromik. Program perkhidmatan penyelenggaraan percuma ini adalah tambahan kepada waranti dua tahun perbatuan tanpa had semasa dan ianya tersedia di ke semua wakil pengedar rasmi Ducati di seluruh negara.